MAZMUR 18:1-15

MAZMUR 18:1-15 BM

Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud, hamba TUHAN. Dinyanyikan kepada TUHAN pada waktu TUHAN menyelamatkan Daud daripada Raja Saul dan daripada semua musuhnya. Aku sangat mengasihi Engkau, ya TUHAN! Engkaulah pembelaku. TUHAN ialah pelindungku; Dia bagaikan kubu yang kuat bagiku. Allahku tempat perlindunganku, aku selamat bersama dengan Dia. Dia melindungi aku seperti perisai; Dia membela dan menjaga aku supaya aku selamat. Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, dan Dia menyelamatkan aku daripada musuhku. Bahaya maut mengelilingi aku, banjir kebinasaan menggenangi aku. Bahaya maut mengelilingi aku, dan kubur memasang perangkap untukku. Dalam kesusahan aku berseru kepada TUHAN; aku berseru kepada Allahku minta pertolongan. Di dalam Rumah-Nya Dia mendengar suaraku; Dia memperhatikan seruanku. Kemudian bumi bergempa dan bergoncang; tapak gunung bergoyang dan bergegar, kerana Allah murka. Asap berhembus dari hidung-Nya, api dan bara keluar dari mulut-Nya. Dia membelah langit lalu turun dengan awan gelap di bawah kaki-Nya. Dia terbang laju dengan mengenderai kerub; Dia melayang di atas sayap angin. Dia menutup diri-Nya dengan kegelapan; awan mendung yang tebal mengelilingi Dia. Hujan batu dan api datang dari kilat yang di hadapan-Nya, menembusi awan yang tebal itu. Kemudian TUHAN mengguntur dari angkasa; dan Yang Maha Tinggi memperdengar suara-Nya. Dia melepaskan anak panah-Nya dan mencerai-beraikan musuh-Nya; Dia memancarkan kilat sehingga menyebabkan mereka lari.