MAZMUR 30

30
Doa Kesyukuran
1Mazmur Daud. Lagu untuk pentahbisan Rumah TUHAN.
2Aku memuji Engkau, ya TUHAN, kerana Engkau telah menyelamatkan aku
dan tidak membiarkan musuhku mentertawakan aku.
3Aku berseru kepada-Mu meminta pertolongan, ya TUHAN, Allahku,
dan Engkau menyembuhkan aku.
4Engkau menghalang aku turun ke alam maut,
dan menyelamatkan aku dari dunia orang mati.
5Nyanyikanlah pujian kepada TUHAN,
hai umat-Nya yang setia!
Ingatlah perkara yang telah dilakukan Yang Maha Suci
dan bersyukurlah kepada-Nya!
6Kemurkaan-Nya hanya sekejap sahaja,
tetapi kebaikan-Nya berlangsung sepanjang umur.
Air mata mungkin mengalir pada waktu malam,
tetapi fajar membawa kegembiraan.
7Ketika aku berasa selamat, aku berkata,
“Aku tidak akan dikalahkan.”
8Engkau sungguh baik kepadaku, ya TUHAN;
seperti gunung yang kuat Engkau melindungi aku.
Tetapi apabila Engkau menyembunyikan diri daripadaku,
aku berasa takut.
9Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN;
aku memohon pertolongan,
10“Faedah apakah yang Kauperoleh daripada kematianku?
Keuntungan apakah yang Kaudapat jika aku masuk ke lubang kubur?
Adakah orang mati memuji-Mu?
Dapatkah mereka memberitakan kesetiaan-Mu?
11Dengarlah aku, ya TUHAN, dan kasihanilah aku.
TUHAN tolonglah aku!”
12Engkau telah mengubah kedukaanku menjadi tarian gembira;
Engkau telah mengambil kesedihanku dan meliputi aku dengan kegembiraan.
13Maka aku tidak akan berdiam diri;
aku akan menyanyikan pujian kepada-Mu.
Ya TUHAN, Engkaulah Allahku,
aku akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya.

Terpilih Sekarang Ini:

MAZMUR 30: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk