ROMA 12:10-21

ROMA 12:10-21 BM

Kamu harus saling mengasihi dengan mesra sebagai saudara dalam keluarga Kristus. Hendaklah kamu saling mendahului untuk memberikan hormat. Jangan malas, tetapi bekerjalah dengan rajin. Abdikanlah diri kepada Tuhan dengan semangat daripada Roh Allah. Kerana kamu berharap kepada Tuhan, bersukacitalah. Bersabarlah semasa mengalami kesusahan dan berdoalah sentiasa. Hendaklah kamu berkongsi milik dengan saudara seiman yang memerlukan bantuan, dan sambutlah saudara seiman yang tidak kamu kenal ke rumah. Berdoalah kepada Allah supaya Dia memberkati orang yang menganiaya kamu. Mintalah Allah memberkati mereka, dan janganlah minta Allah mengutuk mereka. Bersukacitalah dengan mereka yang bersukacita, dan menangislah dengan mereka yang menangis. Hendaklah kamu semua hidup rukun. Janganlah bersikap sombong, janganlah tolak tugas yang dipandang rendah. Janganlah anggap diri kamu lebih bijak daripada yang sebenarnya. Jika seseorang berbuat jahat terhadap kamu, janganlah balas dia dengan kejahatan. Berusahalah untuk melakukan apa yang dianggap baik oleh semua orang. Dengan sedaya upaya, berusahalah untuk hidup damai dengan semua orang. Saudara-saudaraku! Jangan sekali-kali balas dendam; biarlah Allah yang membalas dendam. Di dalam Alkitab tertulis, “Aku akan membalas kejahatan mereka. Aku akan menghukum mereka, firman Tuhan.” Janganlah balas dendam, tetapi lakukanlah apa yang tertulis di dalam Alkitab, “Jika musuhmu lapar, berilah dia makan; jika dia dahaga, berilah dia minuman. Kerana dengan berbuat demikian, kamu akan membuat dia malu.” Janganlah biarkan diri kamu dikalahkan oleh kejahatan, tetapi kalahkanlah kejahatan dengan kebaikan.