1 KORINTUS 13:1-13

1 KORINTUS 13:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

Meskipun aku dapat bercakap dalam pelbagai bahasa manusia, bahkan dalam bahasa malaikat sekalipun, tetapi jika aku tidak mengasihi orang lain, maka kata-kataku hanya seperti bunyi bising yang tidak bermakna. Meskipun aku mempunyai kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah, dan memahami hal-hal yang dalam, serta hal-hal yang tersembunyi, dan aku juga sangat percaya kepada Allah sehingga dapat mengalihkan gunung, tetapi jika aku tidak mengasihi orang lain, maka aku tidak berguna. Meskipun aku mendermakan semua milikku kepada orang miskin, dan menyerahkan diriku untuk dibakar, tetapi jika aku tidak mengasihi orang lain, maka semua itu tidak berfaedah bagiku. Sesiapa yang mengasihi orang lain, sabar dan baik hati; dia tidak iri hati, tidak bercakap besar, dan tidak sombong. Dia tidak berkasar, tidak mementingkan diri sendiri, tidak cepat tersinggung, dan tidak mendendam. Sesiapa yang mengasihi orang lain, tidak gembira dengan kejahatan. Tetapi dia gembira dengan kebaikan. Dia tahan menghadapi segala sesuatu; dia mempercayai orang lain, tidak hilang harapan, dan sentiasa bersabar. Orang perlu sentiasa mengasihi orang lain. Sekarang ada orang yang dapat menyampaikan perkhabaran daripada Allah, tetapi hal itu hanya untuk sementara. Sekarang ada yang mempunyai kurnia untuk bercakap dalam pelbagai bahasa yang ajaib, tetapi hal itu akan berakhir juga. Sekarang ada orang yang mengetahui banyak hal yang dalam, tetapi semua itu pun akan dilupakan. Hal itu demikian kerana pengetahuan kita dan kebolehan kita untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah, kurang sempurna. Tetapi apabila Allah membuat semuanya sempurna, maka yang tidak sempurna akan lenyap. Semasa aku masih kanak-kanak, aku bercakap, bersikap, dan berfikir seperti kanak-kanak. Tetapi sekarang setelah dewasa, aku tidak lagi berkelakuan seperti kanak-kanak. Allah yang kita lihat sekarang ini hanya seperti bayangan kabur pada cermin muka. Tetapi kelak kita akan melihat-Nya dengan jelas. Sekarang apa yang aku ketahui belum lengkap, tetapi kelak aku akan mengetahui semuanya, seperti Allah mengetahui segala sesuatu tentang diriku. Sementara ini ada tiga perkara yang harus tetap dilakukan: percaya, berharap, dan mengasihi orang lain. Tetapi yang paling penting daripada ketiga-tiganya adalah mengasihi orang lain.

1 KORINTUS 13:1-13 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SHAHADAN jikalau aku bŭrtutor dŭngan bahsa manusia dan mŭliekat skalipun, tŭtapi tiada pŭngasihau bagieku, nŭschaya aku ini mŭnjadi spŭrti tŭmbaga yang bŭrbunyi, atau chir chir yang gŭmŭrŭnching. Dan lagi jikalau aku ada mŭmpunyai kwasa bŭrnabuat, dan mŭngatahui sagala rahsia dan sagala pŭngatahuan skali pun; dan lagi jikalau aku ada sagala iman, sahingga aku dapat mŭmindahkan bukit bukit skalipun, tŭtapi tiada pŭngasihan padaku, nŭschaya aku satu pun tidak. Dan jikalau aku mŭmblanjakan sagala hartaku akan mŭmbri makan orang orang mŭskin skalipun; dan jikalau aku sŭrahkan tubohku supaya habis dibakar skalipun, tŭtapi tiada pŭngasihan padaku, nŭschaya tiadalah bŭrfiedah padaku satu pun. Adapun pŭngasihan itu tahan lama dan sayang; pŭngasihan itu tiada bŭrdŭngki; pŭngasihan itu tiada mŭmŭgahkan dirinya, dan tiada pula chongkak: Dan tiada pula iya bŭrlaku dŭngan tiada bŭrkŭtahuan, dan tiada iya mŭnchari untong bagie dirinya sŭndiri, dan tiada iya suang suang marah, dan tiada iya bŭrfikir jahat; Maka tiada pula iya gŭmar kapada kŭsalahan, hanya iya gŭmar pada kabŭnaran itu; Maka iya mŭnanggong sagala sŭsuatu, dan pŭrchaya sagala sŭsuatu, dan harap sagala sŭsuatu, dan mŭnahani sagala sŭsuatu. Maka pŭngasihan itu tiada pŭrnah habis: tŭtapi jikalau ada nabuat nabuat, itu kŭlak akan habis; dan jikalau ada jŭnis jŭnis bahsa, itupun akan bŭrhŭnti; dan jikalau ada pŭngatahuan, itu pun kŭlak akan lŭnyap adanya. Kŭrna kami mŭngatahui sŭparoh sahja, dan kami mŭngajar pun sŭparoh sahja. Tŭtapi apabila datang kŭlak pŭrkara yang samporna itu, maka tŭtkala itulah pŭrkara yang sŭparoh itu akan ditolak kŭlak. Maka pada masa aku kanak kanak, aku bŭrkata kata spŭrti kanak kanak, dan mŭngarti pun spŭrti kanak kanak, dan bŭrfikir pun spŭrti kanak kanak: tŭtapi apabila aku sampie akal balir, aku buangkanlah sagala pŭrkara kanak kanak. Kŭrna skarang ini kami mŭnilik dŭngan chirmin, kaburlah juga, tŭtapi kumdian kŭlak muka sama muka: maka skarang ini aku mŭngatahui sŭparoh sahja; tŭtapi kumdian kŭlak aku akan mŭngatahui spŭrti aku dikŭtahui. Maka skarang ini adalah tŭrtinggal iman, dan harap, dan pŭngasihan, katiga ini; tŭtapi yang tŭrutama deripada skalian ini iya itulah pŭngasihan.

1 KORINTUS 13:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kalaupun aku dapat bertutur dalam semua lidah manusia, malah bahasa malaikat juga, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku hanya seperti gong tembaga yang berbunyi bising atau genta yang berdentang. Kalaupun aku diberi kurnia untuk bernubuat, dan mengetahui semua rahsia serta ilmu, malah memiliki kekuatan iman yang dapat mengalih gunung-ganang, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku langsung tidak bererti. Begitu juga, kalaupun aku memberikan segala milikku untuk memberi makan kepada orang miskin, atau menyerahkan tubuhku untuk dibakar, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku langsung tidak berguna. Kasih itu penyabar dan penyayang. Kasih tidak iri hati, tidak membanggakan diri, dan tidak angkuh. Kasih tidak berkelakuan biadab, tidak memburu kepentingan sendiri, tidak cepat meradang, tidak memperhitungkan kesalahan orang lain. Kasih tidak gembira dengan kejahatan, tetapi gembira meraikan kebenaran. Kasih tahan menderita segala-galanya, percaya akan segala-galanya, berharap akan segala-galanya, terus-menerus menanggung segala-galanya. Kasih tidak akan luput. Nubuat-nubuat akan berakhir, bahasa-bahasa akan berhenti, dan ilmu pengetahuan akan lenyap kerana pengetahuan dan nubuat kita tidak sempurna. Setelah yang sempurna datang, maka yang tidak sempurna akan disingkirkan. Pada zaman kanak-kanak, aku bercakap secara kanak-kanak, mengerti secara kanak-kanak, berhujah secara kanak-kanak. Tetapi setelah aku dewasa, segala sifat kanak-kanak itu kutinggalkan. Sekarang kita hanya melihat samar-samar melalui cermin, tetapi akan tiba saatnya kita melihat dengan jelas berpandang muka. Demikianlah, sekarang aku hanya mengetahui sebahagian, tetapi akan tiba masanya aku mengetahui sepenuhnya, sebagaimana aku diketahui. Hanya tiga yang tinggal: iman, harapan dan kasih. Antara ketiga-tiga ini, yang paling utama ialah kasih.

1 KORINTUS 13:1-13

1 KORINTUS 13:1-13 BM