1 KORINTUS 7:1-40

1 KORINTUS 7:1-40 Alkitab Berita Baik (BM)

Sekarang aku akan membincangkan masalah yang kamu tulis kepadaku. Jika seorang lelaki tidak berkahwin, hal itu baik. Tetapi supaya tidak tergoda untuk melakukan perbuatan yang cabul, lebih baik setiap lelaki mempunyai isteri masing-masing dan setiap wanita mempunyai suami masing-masing. Seorang suami harus memenuhi kewajipannya sebagai suami kepada isterinya, dan seorang isteri harus memenuhi kewajipannya sebagai isteri kepada suaminya. Masing-masing harus memenuhi kewajipannya kepada yang lain. Seorang isteri tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri, tetapi suaminya yang berkuasa atas tubuhnya. Begitu juga seorang suami tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri, tetapi isterinya yang berkuasa atas tubuhnya. Janganlah saling jauhkan diri dalam hubungan sebagai suami isteri, kecuali kedua-dua belah pihak bersetuju, dan hanya untuk sementara waktu, supaya masing-masing dapat berdoa dengan tekun. Tetapi setelah itu kamu harus melanjutkan hubungan sebagai suami isteri. Dengan demikian Iblis tidak dapat menyebabkan kamu berdosa kerana kamu tidak dapat menahan nafsu. Aku mengatakan hal ini bukan sebagai perintah, melainkan sebagai nasihat. Sebenarnya aku lebih suka jika kamu semua menjadi seperti aku. Tetapi setiap orang sudah menerima kurnia yang khas daripada Allah. Seorang mempunyai kurnia ini, dan yang lain mempunyai kurnia itu. Kepada mereka yang belum berkahwin dan kepada wanita yang sudah menjadi balu, inilah nasihatku: Lebih baik kamu tetap hidup sendirian seperti aku. Tetapi jika kamu tidak dapat menahan nafsu, maka berkahwinlah. Lebih baik kamu berkahwin daripada nafsu berahi kamu berkobar-kobar. Kepada mereka yang sudah berkahwin, beginilah perintahku. Sebenarnya bukan aku yang memberikan perintah ini, tetapi Tuhan. Seorang isteri tidak boleh meninggalkan suaminya. Tetapi jika seorang isteri meninggalkan suaminya, dia harus tetap tidak bersuami, atau dia kembali kepada suaminya. Seorang suami tidak boleh menceraikan isterinya. Kepada yang lain aku berkata begini (ini nasihatku sendiri, bukan nasihat Tuhan): Jika seorang lelaki Kristian mempunyai isteri yang bukan Kristian, dan isterinya itu bersetuju hidup bersama-sama dia, orang itu tidak boleh menceraikan isterinya. Jika seorang wanita Kristian mempunyai suami yang bukan Kristian, dan suaminya bersetuju hidup bersama-sama dia, maka isteri itu tidak boleh menceraikan suaminya. Seorang suami yang tidak percaya kepada Kristus diterima oleh Allah, kerana perkahwinannya dengan isteri yang percaya kepada Kristus. Begitu juga seorang isteri yang tidak percaya kepada Kristus diterima oleh Allah, kerana perkahwinannya dengan suami yang percaya kepada Kristus. Jika tidak demikian halnya, anak-anak mereka akan menjadi seperti anak-anak orang yang tidak mengenal Allah. Sebenarnya anak-anak itu diterima oleh Allah. Tetapi jika seorang yang bukan Kristian ingin meninggalkan isteri atau suaminya yang Kristian, biarlah dia berbuat demikian. Dalam hal yang demikian, suami atau isteri yang Kristian itu bebas membuat pilihan, tetapi Allah mahu kamu hidup damai. Hai isteri yang sudah percaya kepada Kristus, bagaimana kamu boleh tahu dengan pasti bahawa kamu tidak akan menyelamatkan suami kamu? Begitu juga, hai suami yang sudah percaya kepada Kristus, bagaimana kamu boleh tahu dengan pasti bahawa kamu tidak akan menyelamatkan isteri kamu? Hendaklah masing-masing hidup menurut pimpinan Tuhan seperti yang sudah ditentukan Tuhan baginya, semasa Allah memanggil dia. Inilah peraturan yang aku ajarkan kepada jemaah. Umpamanya, jika seseorang sudah bersunat semasa Allah memanggilnya, maka orang itu tidak boleh mencuba menghapuskan tanda sunat itu. Begitu juga jika seseorang tidak bersunat semasa Allah memanggilnya, orang itu tidak usah minta disunat. Tidaklah penting sama ada orang bersunat atau tidak. Yang penting adalah mentaati perintah Allah. Hendaklah tiap-tiap orang tetap hidup dalam keadaan seperti pada masa Allah memanggilnya dahulu. Jika kamu hamba, semasa dipanggil oleh Allah, janganlah hal ini menyusahkan hati kamu. Tetapi jika kamu mendapat peluang untuk menjadi orang bebas, gunakanlah peluang itu. Hamba yang percaya kepada Tuhan, menjadi orang bebas di sisi Tuhan. Demikian juga orang bebas yang percaya kepada Kristus, menjadi hamba Kristus. Allah sudah membeli kamu dan membayar harganya dengan lunas. Oleh itu, janganlah jadi hamba manusia. Saudara-saudaraku, hendaklah setiap orang hidup bersama-sama Allah seperti dalam keadaan pada waktu dipanggil oleh Allah. Aku tidak menerima perintah daripada Tuhan tentang orang yang belum berkahwin. Tetapi biarlah aku menasihati kamu, kerana oleh belas kasihan Tuhan, aku patut dipercayai. Memandangkan segala kesusahan yang mengancam sekarang ini, aku berpendapat lebih baik seorang lelaki hidup dalam keadaannya seperti sekarang. Jika kamu sudah beristeri, janganlah cuba ceraikan isterimu. Jika kamu belum beristeri, janganlah berkahwin. Tetapi jika kamu berkahwin, kamu tidak berdosa. Begitu juga jika seorang gadis berkahwin, dia tidak berdosa. Tetapi orang yang berkahwin menghadapi banyak kesusahan, dan aku ingin kamu terhindar daripada kesusahan itu. Saudara-saudaraku, maksudku begini: Kita tidak mempunyai banyak masa. Mulai sekarang, setiap lelaki yang beristeri hendaklah hidup seolah-olah dia tidak beristeri; orang yang menangis hendaklah hidup seolah-olah tidak berdukacita; orang yang tertawa hendaklah hidup seolah-olah tidak gembira; orang yang membeli barang hendaklah bersikap seolah-olah tidak memiliki barang yang dibeli; orang yang berurusan dengan hal-hal dunia, hendaklah hidup seolah-olah tidak sibuk dengan hal-hal itu. Kamu harus berbuat demikian kerana dunia dalam keadaan yang sekarang, akan segera lenyap. Aku mahu kamu bebas daripada kekhuatiran. Seorang yang tidak beristeri akan menumpukan perhatian kepada hal-hal Tuhan, kerana dia ingin menyenangkan hati Tuhan. Tetapi seorang yang beristeri menumpukan perhatian kepada hal-hal dunia ini, kerana dia ingin menyenangkan hati isterinya. Akibatnya, hatinya berbelah bagi. Seorang wanita yang tidak bersuami, atau seorang gadis yang tidak berkahwin menumpukan perhatian kepada hal-hal Tuhan, kerana dia ingin mengabdikan seluruh jiwa raga kepada Tuhan. Tetapi seorang wanita yang sudah bersuami menumpukan perhatian kepada hal-hal dunia ini, kerana dia ingin menyenangkan hati suaminya. Aku memberikan nasihat demikian kerana aku ingin menolong kamu. Aku tidak mahu mengadakan larangan ini itu bagi kamu. Sebaliknya aku ingin kamu melakukan apa yang benar dan patut, serta mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sepenuh hati. Inilah nasihat untuk pasangan yang sudah bertunang, tetapi mengambil keputusan untuk tidak berkahwin. Jika lelaki itu merasa tidak bertindak dengan sepatutnya terhadap tunangnya dan jika dia tidak dapat menahan nafsunya, serta merasa harus berkahwin dengan gadis itu, hendaklah dia melakukan apa yang dikehendakinya. Dia tidak berdosa, jika mereka berkahwin. Tetapi jika seorang lelaki, tanpa paksaan sesiapa pun, mengambil keputusan untuk tidak berkahwin dengan tunangnya, dan jika dia dapat mengawal nafsunya dengan baik serta tahu akan apa yang hendak dilakukannya, maka lebih baik dia tidak berkahwin dengan tunangnya. Dengan demikian orang yang berkahwin, melakukan perbuatan yang baik. Tetapi orang yang tidak berkahwin, melakukan perbuatan yang lebih baik. Seorang wanita yang sudah berkahwin, terikat kepada suaminya hanya selama suaminya hidup. Setelah suaminya meninggal, wanita itu bebas berkahwin lagi dengan orang yang disukainya; tetapi lelaki itu haruslah seorang Kristian. Tetapi wanita itu akan lebih berbahagia jika dia tidak berkahwin lagi. Hal ini pendapatku sendiri, tetapi aku berpendapat bahawa aku dipimpin oleh Roh Allah.

1 KORINTUS 7:1-40 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

ADAPUN skarang deri hal pŭrkara pŭrkara yang kamu tŭlah bŭrkirim surat kapadaku itu, maka baiklah juga sa’orang laki laki itu tidak mŭnjamah pŭrampuan. Kŭndatilah, asal jangan bŭrzinah, biarlah kiranya masing masing laki itu mŭnaroh istrinya sŭndiri, dan biarlah masing masing pŭrampuan itu pun mŭnaroh lakinya sŭndiri. Maka handaklah laki itu bŭrlaku kapada istri itu dŭngan kasihan yang patut: dan dŭmkian lagi pula istri itupun kapada laki itu. Adapun istri itu tiadalah bŭrkwasa atas dirinya sŭndiri, mŭlainkan laki: dan dŭmkian lagi pula laki itu tiada bŭrkwasa atas dirinya sŭndiri, mŭlainkan istri. Maka janganlah kamu bŭrasing asing sa’orang dŭngan sa’orang, mŭlainkan kalau ada dŭngan kasukaan antara kadua pada barang kutika lamanya, supaya kamu dapat sŭnang akan puasa dan bŭrdoa; maka kumdian bŭrdampinglah pula, supaya jangan Shietan itu mŭnchobai kamu sŭbab tiada dapat kamu mŭnahani kainginanmu. Tŭtapi aku mŭngatakan ini dŭngan izin sahja, bukannya dŭngan hukum. Kŭrna kukahandaki supaya sagala manusia itu spŭrti aku ini adanya. Tŭtapi masing masing mŭndapat anugrah dŭngan spatutnya deripada Allah, sa’orang bŭgini sa’orang bŭgitu. Maka sŭbab itulah aku bŭrkata kapada yang bŭlom kahwen, dan kapada pŭrampuan pŭrampuan janda, Bahwa baik bagie marika itu jikalau iya tinggal juga spŭrti aku ini. Tŭtapi jikalau marika itu ta’bulih tahan, biarlah iya kahwen: kŭrna tŭrlebih baik bŭrkahwen deripada tŭrhangus. Tŭtapi kapada orang yang bŭrkahwen itu aku bŭrpŭsan, tŭtapi bukannya pŭsananku, mŭlainkan Tŭhan, Bahwa janganlah istri itu bŭrchŭrie deripada lakinya: Akan tŭtapi jikalau iya bŭrchŭrie, maka biarlah iya tinggal dŭngan tiada kahwen, atau jadi bŭrdamie dŭngan lakinya: maka janganlah lakinya itu mŭmbuangkan istrinya. Tŭtapi kapada orang lain lain aku bŭrkata, bukannya Tuhan: Jikalau kiranya ada kapada barang saudara sa’orang istri yang tiada bŭriman, maka jika suka pŭrampuan itu dudok dŭngan dia, maka janganlah dibuangkannya dia. Maka pŭrampuan itu yang ada sa’orang bŭrlaki yang tiada bŭriman, maka jikalau iya suka dudok dŭngan pŭrampuan itu, maka janganlah kiranya dilŭpaskan ulih pŭrampuan itu akan dia. Kŭrna laki yang tiada bŭriman disuchikan ulih istrinya, dan istri yang tiada bŭriman disuchikan ulih lakinya: maka jikalau tiada dŭmkian, maka anak anakmu itu tiada suchi; tŭtapi skarang marika itu suchi adanya. Tŭtapi jikalau yang tiada bŭriman itu pŭrgi, biarlah iya pŭrgi. Maka sa’orang saudara laki laki atau saudara pŭrampuan tiada tŭrsangkot dalam hal yang dŭmkian: tŭtapi Allah mŭnjŭmpot akan kami kapada kasŭntosaan. Kŭrna, hie istri, bagimanakah angkau mŭngatahui kalau kalau angkau bulih mŭmbri slamat kapada lakimu? atau, hie laki, bagimanakah angkau mŭngatahui kalau kalau angkau bulih mŭmbri slamat kapada istrimu? Tŭtapi spŭrti Allah tŭlah mŭmbahgikan kapada masing masing orang, spŭrti Tuhan tŭlah mŭmileh masing masing orang dŭmkianlah juga handaknya iya bŭrlakukan. Dan dŭmkian lagi aku bŭrpŭsan kapada sagala sidang jŭmaah. Adakah barang sa’orang tŭlah dipileh sudah iya bŭrsunat, maka janganlah iya mŭnjadi kulop. Adakah barang sa’orang tŭlah dipileh tŭtkala iya lagi kulop? maka janganlah iya disunatkan. Maka bŭrsunat itu tiada suatu apa, dan kulop itu pun tiada suatu apa, mŭlainkan mŭmliharakan hukum Allah. Maka biarlah masing masing orang itu tinggal dalam pangkat yang tŭlah iya dipileh itu. Adakah angkau tŭlah dipileh pada masa angkau lagi hamba? janganlah angkau pŭduli sŭbab itu: tŭtapi jikalau angkau bulih mŭnjadi mŭrdehka, lebih baiklah itu. Maka barang siapa yang dipileh ulih Tuhan, sungguh pun iya sa’orang hamba, maka iya juga jadi sa’orang mŭrdehka Tuhan: dŭmkian lagi pula barang siapa yang dipileh, sungguh pun iya sa’orang mŭrdehka, maka iya itu hamba Almasih. Adapun kamu ini tŭlah ditŭbos dŭngan suatu harga; maka janganlah kamu mŭnjadi hamba manusia. Hie saudara saudara, bahwa handaklah masing masing orang yang dalam pangkat mana iya tŭlah dipileh, disitulah juga tinggal kŭrna Allah. Adapun deri hal sagala anak darah, maka tiadalah bagieku hukum deripada Tuhan: tŭtapi aku bri akhtiarku, spŭrti sa’orang yang tŭlah mŭndapat kamurahan deripada Tuhan, supaya mŭnjadi sŭtiawan. Maka sŭbab itulah pada sangkaku, iya itu baik juga deri sŭbab kasukaran yang ada pada masa ini, maka baiklah juga orang itu tinggal dŭmkian. Adakah angkau tŭrikat dŭngan suatu istri? maka janganlah angkau chari jalan mŭlŭpaskan dia. Adakah angkau tŭrlŭpas deripada sa’orang istri? maka janganlah angkau mŭnchari istri lain. Tŭtapi jikalau angkau kahwen, maka tiada angkau bŭrdosa; dan jikalau sa’orang anak darah kahwen, maka tiada iya bŭrdosa; mŭlainkan orang yang bŭrbuat dŭmkian, iya itu kŭlak mŭndapat susah dirinya: tapi aku sayangkan kamu. Tŭtapi aku bŭrkata ini, hie saudara saudara, adapun waktu itu picheklah: dalam hal yang dŭmkian, orang yang bŭristri itu kiranya spŭrti orang yang tiada bŭristri. Dan orang yang mŭnangis, itupun spŭrti orang yang tiada mŭnangis; dan orang yang tŭrmasa itu spŭrti orang yang tiada tŭrmasa; dan orang yang mŭmbli itupun spŭrti orang yang tiada mŭmpunyai. Dan orang yang mŭmakie dunia ini, spŭrti orang yang mŭmakie dia dŭngan tiada bŭrsalah: kŭrna adat dunia ini akan lŭnyap. Bahwa aku kahandaki kamu janganlah bŭrsusah susah. Adapun orang yang tiada bŭrkahwen itu dia mŭngindahkan pŭrkara deripada Tuhan, bagimana iya bulih mŭnyukakan Tuhan: Tŭtapi orang yang kahwen itu mŭngindahkan pŭrkara dunia ini, bagimana iya bulih mŭnyukakan istrinya. Maka adalah kŭlainannya diantara istri dŭngan anak darah itu. Bahwa pŭrampuan yang bŭlom kahwen itu mŭngindahkan akan pŭrkara Tuhan, supaya iya bulih mŭnjadi suchi kaduanya, iya itu tuboh dan jiwa; tŭtapi pŭrampuan yang sudah kahwen itu, iya mŭngindahkan akan pŭrkara dunia, bagimanakah iya bulih mŭnyukakan lakinya. Maka pŭrkataan ini kukatakan ulih untong kamu sŭndiri; bukannya supaya aku buangkan jŭrat ka’atas kamu, tŭtapi kŭrna supaya mŭndatangkan mulia, dan supaya kamu bulih bŭrkhodmat kapada Tuhan dŭngan tiada tŭrkachau. Tŭtapi jikalau barang sa’orang mŭnyangka iya mŭlakukan dirinya itu tiada dŭngan spatutnya kapada anak darahnya, jikalau anak itu sudah balir, dan patutlah dipŭrsuamikannya, maka biarlah dipŭrbuatnya spŭrti yang dikahandakinya, maka tiada iya bŭrdosa: biarlah dia orang kahwen. Tŭtapi barang siapa yang bŭrdiri tŭtap dalam hatinya, dŭngan tiada dipaksa, mŭlainkan adalah iya mŭmpunyai kwasa atas kahandaknya sŭndiri, sŭtlah sudah ditŭntukannya dŭmkian dalam hatinya yang iya akan mŭnyimpan akan darahnya itu, baiklah. Maka sŭbab dŭmkianlah, orang yang mŭmbri dia kahwen itupun baiklah; dan orang yang tiada mŭmbri iya kahwen itupun tŭrlebih baiklah. Adapun istri itu bŭrgantong ulih hukum slagi lakinya itu hidop; tŭtapi jikalau lakinya itu mati, maka bibaslah iya, bulih iya kahwen dŭngan barang siapa yang disukainya; mŭlainkan dŭngan kŭrna Tuhan. Tŭtapi tŭrlebih sŭnanglah bagie pŭrampuan itu jikalau iya tinggal dŭmkian, spŭrti akhtiarku: dan aku pun sangka bahwa aku mŭmpunyai Roh Allah.

1 KORINTUS 7:1-40 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sekarang aku akan membincangkan masalah yang kamu kemukakan dalam suratmu. Jika seorang lelaki tidak berkahwin, itu memang baik. Namun demikian, supaya tidak tergoda melakukan perbuatan yang cabul, lebih baiklah setiap lelaki itu beristeri dan setiap perempuan bersuami. Seorang suami harus menunaikan kewajipan kepada isterinya, begitu juga seorang isteri kepada suaminya. Seorang isteri tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri; suaminya berkuasa atas tubuhnya. Demikianlah juga, seorang suami tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri; isterinya yang berkuasa atas tubuhnya. Jangan renggangkan hubungan sebagai suami isteri, kecuali sementara waktu dengan persetujuan bersama untuk bertumpu kepada ibadat doa. Tetapi setelah itu teruskan hubungan sebagai suami isteri, supaya Iblis tidak berjaya menggodamu kerana kamu tidak dapat menahan nafsu. Aku menyampaikan ini bukanlah sebagai perintah tetapi sebagai nasihat. Memanglah aku lebih suka sekiranya kamu semua sepertiku. Tetapi Allah memberikan kurnia yang khusus; yang seorang kurnia ini, yang lain kurnia itu. Kepada yang belum berkahwin dan kepada wanita yang telah menjadi balu. Inilah nasihatku: Memang baik kamu terus hidup sendirian seperti aku. Tetapi sekiranya kamu tidak dapat menahan nafsu, berkahwinlah. Ini lebih baik daripada membiarkan hawa nafsu bergelora. Kepada yang sudah berkahwin, inilah perintahku, yang sebenarnya bukan perintah aku tetapi perintah Tuhan. Seorang isteri tidak boleh meninggalkan suaminya. Tetapi jika seorang isteri telah meninggalkan suaminya, dia mesti terus hidup bersendirian, atau dia boleh balik kepada suaminya. Seorang suami tidak boleh menceraikan isterinya. Kepada yang lain aku memberikan nasihat ini, iaitu nasihatku sendiri, bukan perintah Tuhan: Jika seorang lelaki beriman mempunyai isteri yang tidak beriman dan isteri itu bersetuju terus hidup bersamanya, maka lelaki itu tidak boleh menceraikan isterinya. Jika seorang wanita beriman mempunyai suami yang tidak beriman dan suami itu bersetuju untuk terus hidup bersamanya, maka wanita itu tidak boleh menceraikan suaminya. Seorang suami yang tidak beriman menjadi suci kerana isterinya. Demikian juga, seorang isteri yang tidak beriman menjadi suci kerana suami. Jika tidak, anak-anakmu akan menjadi anak-anak yang tercela. Tetapi dengan demikian mereka ialah anak-anak yang suci. Namun demikian, jika seseorang yang tidak beriman hendak meninggalkan isteri atau suaminya yang beriman, biarkanlah dia berbuat demikian. Jika ini terjadi, saudara atau saudari itu tidak terikat lagi. Allah mahu kamu semua hidup aman damai. Wahai isteri yang beriman, bagaimana kamu boleh pasti bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan suamimu? Demikian juga, wahai suami yang beriman, bagaimana kamu boleh pasti bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan isterimu? Setiap orang harus hidup dalam keadaan yang ditetapkan Tuhan untuknya ketika Allah memanggilnya. Demikianlah ajaran yang telah kusampaikan kepada semua jemaah. Contohnya, jika seseorang itu sudah pun bersunat sewaktu Allah memanggilnya, janganlah pula dia cuba menghilangkan tanda sunat itu. Demikian juga, sekiranya seseorang itu tidak bersunat semasa Allah memanggilnya, janganlah dia meminta disunatkan. Bersunat atau tidak bersunat bukan perkara yang terpenting. Yang terpenting ialah taat akan perintah Allah. Setiap orang harus terus hidup dalam keadaannya ketika dia telah dipanggil Allah. Jika kamu hamba ketika dipanggil Allah, janganlah bersusah hati kerana itu; tetapi jika kamu mendapat peluang untuk menjadi orang merdeka, ambillah peluang itu. Hamba yang beriman kepada Tuhan menjadi orang merdeka di mata Tuhan. Begitu juga orang merdeka yang beriman kepada Kristus menjadi hamba kepada Kristus. Kamu telah dibeli dengan harga yang dibayar sepenuhnya; maka janganlah kamu menjadi hamba manusia. Saudara-saudaraku, masing-masing hiduplah bersama Allah dalam keadaan yang sama seperti ketika dipanggil Allah. Tuhan tidak memberiku perintah tentang orang yang belum kahwin; tetapi aku menasihatimu, kerana dengan belas kasihan Tuhan aku boleh dipercayai. Oleh sebab kini kita diancam pelbagai pancaroba, aku yakin bahawa setiap lelaki baiklah meneruskan hidup dalam keadaannya sekarang. Sekiranya kamu sudah beristeri, janganlah cuba menceraikan isterimu. Jika kamu belum beristeri, usahlah berkahwin. Namun demikian, kalau kamu berkahwin, kamu tidaklah berdosa. Demikian juga, jika seorang gadis berkahwin, dia tidak berdosa. Tetapi orang yang berkahwin banyak menghadapi masalah; aku mahu kamu bebas daripada masalah itu. Saudara-saudaraku, maksudku demikian: Masa kita sudah semakin suntuk. Mulai sekarang, setiap lelaki yang beristeri, hiduplah seolah-olah tidak beristeri; orang yang menangis, hiduplah seolah-olah tidak bersedih; orang yang tertawa, hiduplah seolah-olah tidak gembira; orang yang membeli barang, sifatkanlah seolah-olah barang yang dibeli itu tidak dimilikinya; Orang yang menggunakan barang-barang yang ada di dunia seolah-olah tidak menggunakannya kerana dunia dalam keadaan sekarang sedang lenyap. Aku mahu kamu bebas daripada kerunsingan. Seorang yang tidak beristeri akan menumpukan minat kepada hal-hal Tuhan untuk mendapat keredaan Tuhan. Sebaliknya, seorang yang mempunyai isteri akan menumpukan perhatian kepada hal-hal duniawi untuk menggembirakan isterinya. Dengan demikian perasaannya berbelah bagi. Seorang wanita atau gadis yang tidak bersuami menumpukan minatnya kepada hal-hal Tuhan kerana ingin mengabdikan seluruh jiwa raganya kepada Tuhan. Tetapi seorang wanita yang telah bersuami akan memusatkan perhatian kepada hal-hal duniawi untuk menyukakan hati suaminya. Aku menasihati kamu demikian untuk menolongmu. Aku tidak mahu melarangmu membuat itu dan ini. Aku ingin kamu melakukan apa yang wajar dan mengabdikan diri sepenuh hati kepada Tuhan. Sekiranya seorang lelaki berasa dia tidak adil terhadap tunangnya, dan jika gadis itu semakin meningkat usianya, dan dia berasa dia patut berkahwin dengan gadis itu, maka dia harus bertindak menurut hasratnya. Dia tidaklah berdosa jika berkahwin. Tetapi jika seorang lelaki dengan kerelaannya sendiri mengambil keputusan dalam hatinya untuk tidak berkahwin dengan gadis tunangnya itu, dan dia dapat mengawal nafsunya, serta tahu apa yang akan dilakukannya, maka lebih baiklah dia tidak berkahwin. Tegasnya, berkahwin itu baik, tetapi tidak berkahwin lebih baik lagi. Seorang wanita yang telah berkahwin terikat kepada suaminya hanya sepanjang hayat suaminya itu. Setelah suaminya meninggal dunia, wanita itu bebas berkahwin lagi dengan sesiapa sahaja lelaki pilihannya asalkan dia seorang beriman dalam Tuhan. Tetapi wanita itu akan lebih berbahagia jika tidak berkahwin lagi. Ini fikiranku sendiri, tetapi aku yakin aku mendapat panduan daripada Roh Allah.