1 YOHANES 5:1-12
1 YOHANES 5:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Sesiapa percaya bahawa Kristus Penyelamat yang diutus oleh Allah, orang itu anak Allah. Sesiapa yang mengasihi seorang bapa, mengasihi anak bapa itu juga. Inilah caranya kita tahu bahawa kita mengasihi anak-anak Allah: Kita mengasihi Allah dan kita mentaati perintah-Nya. Apabila kita mentaati perintah Allah, maka kita mengasihi Allah. Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita, kerana setiap anak Allah dapat mengalahkan dunia ini. Kita mengalahkan dunia ini dengan iman kita. Siapakah dapat mengalahkan dunia ini? Hanya orang yang percaya bahawa Yesus Anak Allah. Yesus Kristuslah yang datang ke dunia dengan air baptisan-Nya dan dengan darah kematian-Nya. Dia datang bukan dengan air sahaja, tetapi dengan air dan darah. Roh Allah sendiri memberikan kesaksian bahawa hal itu benar, kerana Roh tidak pernah berdusta. Ada tiga saksi: Roh Allah, air dan darah; dan ketiga-tiganya memberikan kesaksian yang sama. Kita percaya kepada kesaksian manusia; tetapi kesaksian Allah lebih kuat lagi. Itulah kesaksian yang diberikan oleh Allah tentang Anak-Nya. Oleh itu, sesiapa yang percaya kepada Anak Allah, mempunyai kesaksian itu di dalam hatinya. Tetapi sesiapa yang tidak percaya kepada Allah, menjadikan Allah pendusta, kerana orang itu tidak percaya kepada apa yang difirmankan Allah tentang Anak-Nya. Inilah kesaksian itu: Allah sudah memberi kita hidup sejati dan kekal, dan hidup itu berasal daripada Anak-Nya. Sesiapa yang mempunyai Anak Allah, mempunyai hidup itu; dan sesiapa yang tidak mempunyai Anak Allah, tidak mempunyai hidup itu.
1 YOHANES 5:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA barang siapa yang pŭrchaya bahwa Isa itulah Almasih adanya, maka orang itulah tŭlah dipranakkan deri pada Allah; maka masing masing orang yang mŭngasihi dia yang tŭlah mŭmpranakkan itu, sŭrasa iya mŭngasihi akan dia yang tŭlah dipranakkan deri padanya. Maka dŭngan inilah kami mŭngatahui, bahwa kami mŭngasihi akan anak anak Allah itu, apabila kami mŭngasihi akan Allah sŭrta mŭmliharakan sagala hukumannya. Kŭrna inilah dia kasih Allah, tŭgal kami mŭmliharakan hukum hukumannya; adapun hukum hukumannya itu tiadalah sukar adanya. Kŭrna barang siapa yang dipŭranakkan Allah, iyalah mŭngalahkan dunia; maka inilah kamŭnangan yang mŭngalahkan dunia itu, iya itu iman kami. Siapakah orang itu yang tŭlah mŭngalahkan dunia ini? mŭlainkan dia yang pŭrchaya bahwa Isa itu Anak Allah adanya. Maka inilah dia yang tŭlah datang dŭngan tandah ayer dan darah, iya itu Almasih; bahwa bukannya dŭngan ayer sahja, mŭlainkan dŭngan tandah ayer dan darah, maka Roh itu juga yang bŭrsaksi, sŭbab Roh itu bŭnar adanya. Kŭrna ada tiga yang bŭrsaksi dalam shorga, iya itu Ayah, dan Kalimah, dan Roh Alkudus, maka katiga itu satu adanya. Dan ada tiga yang mŭnjadi saksi diatas bumi ini, iya itu Roh, dan ayer, dan darah itu: maka katiga inilah stuju dalam satu. Maka jikalau kiranya kami mŭnŭrima saksi manusia itu, maka saksi Allah itu tŭrlebih bŭsar adanya: kŭrna inilah saksi Allah yang tŭlah disaksikannya deri hal anaknya itu. Maka barang sa’orang yang pŭrchaya akan anak Allah itu, adalah saksi itu dalam dirinya sŭndiri: maka barang siapa yang tiada pŭrchaya akan Allah dijadikannya akan dia pŭmbohong; ulih sŭbab iya tiada pŭrchaya akan saksi yang tŭlah disaksikan Allah deri hal anaknya itu. Maka inilah saksi itu, bahwa Allah tŭlah mŭngurniakan pada kami hayat kŭkal, adapun hayat ini ada dalam anaknya itu. Maka barang sa’orang yang ada padanya anak itu, maka adalah padanya hayat itupun; maka barang sa’orang tiada padanya anak Allah itu, tiadalah padanya hayat itu pun.
1 YOHANES 5:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sesiapa percaya bahawa Yesus ialah Kristus, maka orang itu lahir daripada Allah. Sesiapa mengasihi Bapa mengasihi anak-Nya juga. Dengan demikianlah kita tahu bahawa kita mengasihi anak-anak Allah apabila kita mengasihi Allah dan mentaati perintah-Nya. Jika kita mengasihi Allah, maka kita taat akan perintah Allah. Tidak sukar bagi kita untuk taat akan perintah-Nya, kerana sesiapa yang lahir daripada Allah menewaskan dunia. Inilah kemenangan yang mengalahkan dunia, iaitu iman kita. Siapakah yang dapat menewaskan dunia? Hanya orang yang percaya bahawa Yesus Anak Allah. Yesus Kristus telah datang ke dunia dengan air dan darah. Dia datang bukan dengan air sahaja tetapi dengan air dan darah. Roh itulah yang bersaksi kerana Roh ialah kebenaran. Ada tiga yang memberikan kesaksian: Roh Kudus, air dan darah, ketiga-tiganya memberikan kesaksian yang sama. Jika kita percaya akan kesaksian manusia, maka kesaksian Allah lebih kuat lagi kerana inilah kesaksian yang diberikan Allah tentang Anak-Nya. Oleh yang demikian, sesiapa yang percaya kepada Anak Allah menyimpan kesaksian itu dalam dirinya. Sebaliknya, sesiapa yang tidak percaya kepada Allah, maka dia menuduh Allah itu pendusta kerana dia tidak percaya akan kesaksian-Nya tentang Anak-Nya. Kesaksian itu ialah: Allah memberi kita hidup yang kekal dan hidup ini ada di dalam Anak-Nya. Sesiapa yang memperoleh Anak itu, memperoleh hidup itu. Dan sesiapa yang tidak memperoleh Anak Allah, tidak memperoleh hidup itu.