2 TAWARIKH 1:7-12
2 TAWARIKH 1:7-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada malam itu Allah menampakkan diri kepada Raja Salomo dan bertanya kepadanya, “Apakah yang engkau ingin Aku berikan kepadamu?” Raja Salomo menjawab, “Engkau telah menunjukkan kasih yang besar kepada Daud, bapaku. Sekarang Engkau telah mengizinkan aku menggantikan dia sebagai raja. Ya TUHAN Allah, tepatilah janji yang Engkau buat kepada bapaku. Engkau telah melantik aku menjadi raja bagi satu umat yang begitu besar bilangannya sehingga tidak dapat dihitung. Oleh itu kurniailah aku kebijaksanaan dan pengetahuan yang aku perlukan untuk memerintah mereka. Jika tidak, aku tidak sanggup memerintah umat-Mu yang banyak ini.” Allah berfirman kepada Salomo, “Engkau telah membuat pilihan yang tepat. Engkau tidak meminta kekayaan, atau harta, atau kemasyhuran, atau kematian musuhmu, ataupun umur panjang untuk dirimu sendiri; sebaliknya engkau meminta kebijaksanaan dan pengetahuan supaya engkau dapat memerintah umat-Ku, dan engkau telah Kujadikan raja mereka. Aku akan mengurniakan kebijaksanaan dan pengetahuan kepadamu. Selain itu, Aku juga akan mengurniai engkau kekayaan dan harta yang lebih banyak lagi, serta menjadikan engkau lebih termasyhur daripada raja lain baik pada masa lampau mahupun pada masa hadapan.”
2 TAWARIKH 1:7-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada malam itu Allah menampakkan diri kepada Salomo dan berfirman, “Mintalah apa yang kauingin Kukurniakan kepadamu.” Kata Salomo kepada Allah, “Engkau telah menunjukkan kasih yang besar kepada Daud, ayahku, dan Engkau telah mengangkat aku menjadi raja menggantikannya. Sekarang, ya TUHAN Allah, kiranya janji-Mu kepada Daud, ayahku, diteguhkan kerana Engkau telah mengangkat aku menjadi raja atas umat yang besar bilangannya seperti debu tanah. Berilah aku sekarang kebijaksanaan dan pengetahuan supaya aku dapat menangani ini dan itu sebagai pemimpin umat ini, kerana siapakah yang dapat memerintah umat-Mu yang besar ini?” Firman Allah kepada Salomo, “Kerana engkau menghendaki hal itu, dan engkau tidak meminta kekayaan, harta benda, kemuliaan, nyawa orang yang membencimu, atau umur panjang, melainkan meminta kebijaksanaan serta pengetahuan supaya dapat memerintah umat-Ku yang engkau telah Kuangkat menjadi raja, maka kebijaksanaan dan pengetahuan itu dikurniakan kepadamu. Selain itu, Kukurniakan juga kepadamu kekayaan, harta benda, dan kemuliaan yang belum pernah dimiliki raja mana-mana pun sebelum engkau dan tidak akan dimiliki seorang pun sesudah engkau.”