2 TAWARIKH 15:1-7
2 TAWARIKH 15:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Roh Allah menguasai Azarya anak Obed, lalu dia pergi menghadap Raja Asa. Katanya, “Dengarlah hamba, hai Raja Asa, dan kamu semua penduduk Yehuda dan Benyamin! TUHAN berserta kamu selama kamu berserta Dia. Jika kamu mencari Dia, maka Dia akan berkenan ditemui oleh kamu. Tetapi jika kamu meninggalkan Dia, maka Dia akan meninggalkan kamu. Sudah lama Israel tidak mengabdi kepada Allah yang benar, tidak mempunyai imam-imam yang mengajar mereka, dan tidak mempunyai hukum. Tetapi pada masa kesusahan, mereka minta tolong kepada TUHAN, Allah Israel. Mereka mencari Dia, lalu menemui Dia. Pada masa itu tiada sesiapa pun dapat berpergian dengan selamat, kerana di seluruh negeri terdapat huru-hara. Bangsa yang satu menindas bangsa yang lain, dan kota yang satu menindas kota yang lain, kerana Allah sedang mendatangkan kesusahan dan kecemasan terhadap mereka. Tetapi kamu mesti tabah dan berani. Pekerjaan yang kamu lakukan akan diberikan ganjaran.”
2 TAWARIKH 15:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada suatu waktu Roh Allah turun ke atas Azarya anak Oded. Dia pun pergi menghadap Asa dan berkata kepadanya, “Dengarlah aku, wahai Asa dan semua orang Yehuda serta orang Benyamin. TUHAN berserta dengan kamu apabila kamu berserta dengan Dia. Jika kamu mencari hadirat-Nya, Dia akan berkenan ditemukan olehmu. Tetapi jika kamu meninggalkan-Nya, Dia pun akan meninggalkan kamu. Lama sekali orang Israel hidup tanpa Allah yang benar, tanpa ajaran para imam, dan tanpa hukum Taurat. Namun demikian, dalam kesesakan mereka berbalik kepada TUHAN, Allah Israel. Mereka mencari hadirat-Nya dan Dia berkenan ditemukan mereka. Pada masa itu, orang tidak aman keluar masuk kerana kekacauan besar melanda semua penduduk di setiap negeri. Bangsa menghentam bangsa dan kota melawan kota, kerana Allah mengacaukan mereka dengan segala macam kesesakan. Tetapi kamu, kuatkanlah hatimu. Jangan biarkan tanganmu menjadi lemah, kerana ada pahala bagi pekerjaanmu.”