KOLOSE 1:9-14
KOLOSE 1:9-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Itulah sebabnya kami selalu berdoa bagi kamu, sejak kami mendengar berita tentang kamu. Kami berdoa kepada Allah supaya Roh Allah memberikan kebijaksanaan dan pengertian kepada kamu, sehingga boleh mengetahui kehendak Allah dengan sempurna. Dengan demikian kamu dapat hidup menurut kehendak Tuhan, dan sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. Cara hidup itu akan menghasilkan pelbagai perbuatan yang baik, dan pengetahuan kamu tentang Allah akan bertambah juga. Semoga kamu dikuatkan oleh Allah dengan kuasa-Nya yang mulia, sehingga dapat menanggung derita dengan sabar. Dengan sukacita bersyukurlah kepada Bapa, yang telah menjadikan kamu layak menerima apa yang disediakan oleh Allah untuk umat-Nya dalam pemerintahan yang penuh dengan cahaya daripada Allah. Allah sudah menyelamatkan kita daripada kuasa kegelapan, dan memindahkan kita ke bawah pemerintahan Anak-Nya yang dikasihi-Nya. Melalui Anak-Nya, Allah membebaskan kita dan mengampunkan dosa kita.
KOLOSE 1:9-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka sŭbab itulah deri sŭmŭnjak hari kami mŭnŭngar itu, maka kami pun tiadalah bŭrhŭnti deripada mŭndoakan kamu, sambil mŭmohonkan supaya kamu dipŭnohi dŭngan pŭngatahuan kahandak Allah dalam sagala hikmat, dan budiman yang tŭrbit deri Roh itu. Supaya kamu mŭnjalani dŭngan layaknya bagie Tuhan dalam sagala karelaannya, sŭrta bŭrbuah dalam sagala pŭrbuatan yang baik, dan bŭrtambah tambahlah dalam pŭngatahuan Allah. Supaya dikwasakanlah tŭramat sangat mŭnurot gagah kamuliaannya dalam sagala sabar, dan panjang hati, dŭngan kagŭmaran; Mŭnguchap shukorlah kapada Ayah yang tŭlah mŭlayakkan kami akan bŭrulih bahgian deripada pusaka orang orang salih dalam trang; Yang tŭlah mŭlŭpaskan kami deripada kwasa gŭlap, dan tŭlah mŭmindahkan kami kapada krajaan Anaknya yang kŭkasih itu. Maka dŭngan dialah juga kami tŭlah mŭndapat tŭbusan ulih bŭrkat darahnya, iya itu kaampunan sagala dosa.
KOLOSE 1:9-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oleh itu, sejak kami mendengarnya, kami juga tidak putus-putus mendoakan kamu, dan memohon supaya kamu dipenuhi pengetahuan tentang kehendak-Nya dalam segala kebijaksanaan dan pengertian rohani. Kami mendoakan demikian supaya hidupmu layak di hadapan Tuhan, dan kamu mendapat sepenuh keredaan-Nya dalam segala hal: membuahkan manfaat dalam setiap pekerjaan yang baik, bertambah-tambah mengenal Allah, diteguhkan dengan segala kekuatan berdasarkan kuasa-Nya yang mulia, yang mendatangkan kesabaran dan kebahagiaan. Kita mengucapkan syukur kepada Bapa kita yang telah melayakkan kita menerima sebahagian warisan orang yang salih dalam cahaya. Dia telah melepaskan kita daripada kuasa kegelapan dan memindahkan kita ke dalam kerajaan Anak yang dikasihi-Nya, melalui Dialah kita ditebus dan mendapat pengampunan dosa.