PENGKHUTBAH 2:12-16 - Compare All Versions
PENGKHUTBAH 2:12-16 BM (Alkitab Berita Baik)
Seorang raja hanya dapat melakukan apa yang telah dilakukan oleh raja-raja yang sebelumnya. Lalu aku mula berfikir tentang hikmat, kebebalan, dan kebodohan. Aku memang tahu, “Hikmat lebih baik daripada kebodohan, seperti cahaya lebih baik daripada kegelapan. Orang bijak tahu ke mana mereka pergi, sedangkan orang bodoh tidak.” Tetapi aku tahu juga bahawa kesudahan mereka semua sama! Aku berfikir, “Kesudahanku sama dengan kesudahan orang bodoh. Oleh itu, apakah untungnya jika aku bijak?” Lalu aku mengambil kesimpulan bahawa hikmat itu memang tidak berguna sama sekali. Tidak seorang pun ingat akan orang bijak, ataupun orang bodoh. Pada masa yang akan datang mereka semua akan dilupakan. Semua orang mesti mati, baik yang bijak mahupun yang bodoh.
PENGKHUTBAH 2:12-16 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Maka berpalinglah aku lalu meninjau hikmah, kegilaan dan kebodohan itu. Apa yang dapat dilakukan orang yang menggantikan raja kecuali perbuatan yang pernah dibuat sebelum itu. Lalu aku dapati betapa hikmah melebihi kebodohan sebagaimana cahaya mengatasi kegelapan. Bagi orang yang bijaksana, matanya ada di kepalanya walhal orang yang bodoh berjalan dalam kegelapan, tetapi aku tahu juga bahawa takdir yang sama menimpa mereka semua. Maka aku berkata dalam hatiku: “Kejadian yang menimpa orang bodoh juga akan menimpa aku, jadi bagaimanakah aku ini lebih bijaksana?” Lalu aku berkata dalam hati, bahawa ini semua juga sia-sia. Baik bagi orang yang bijaksana mahupun bagi orang yang bodoh, tiada kenangan yang abadi, kerana kesemuanya akan dilupakan pada hari-hari yang mendatang. Bukankah kematian menimpa baik orang yang bijaksana mahupun yang bodoh?