EFESUS 2:17-22
EFESUS 2:17-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Demikianlah Kristus datang dan mengisytiharkan Berita Baik tentang kedamaian itu kepada semua orang: baik kepada orang bukan Yahudi yang dahulu jauh daripada Allah, mahupun kepada orang Yahudi yang dekat dengan Allah. Melalui Kristus, kita semua - orang Yahudi mahupun bukan Yahudi - dapat datang ke hadirat Bapa dengan pertolongan Roh Allah yang satu. Oleh itu, kamu orang bukan Yahudi bukan lagi orang asing ataupun pendatang. Sekarang kamu warga umat Allah dan anggota keluarga Allah. Kamu pun dibina di atas asas yang diletakkan oleh para rasul dan nabi, dengan Kristus Yesus sebagai batu asasnya. Dialah yang menjadikan seluruh bangunan itu tersusun rapi dan meluaskannya sehingga menjadi Rumah Allah yang dikhaskan untuk Tuhan. Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu juga dibina bersama-sama semua orang lain menjadi sebuah tempat kediaman Allah; di situ Roh Allah tinggal.
EFESUS 2:17-22 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka datanglah iya sŭrta mŭmashorkan pŭrdamiean kapada kamu yang ada jauh, dan kapada orang yang ada dŭkat pun. Kŭrna dŭngan bŭrkatnyalah kami kadua tŭlah bŭrulih jalan akan mŭnghadap Ayah dŭngan suatu roh juga. Maka sŭbab itu, skaranglah kamu bukannya lagi orang asing, dan orang dagang, mŭlainkan orang sa’nŭgri dŭngan sagala orang salih, dan orang isi rumah Allah. Maka kamu ini dibangunkan diatas kaki tembok rasul rasul, dan nabi nabi, maka adalah Isa Almasih itu sŭndiri mŭnjadi batu kŭpala pŭnjuru. Maka kapadanyalah sagala rumah itu bŭrhubong baik baik, sahingga tŭrbangunlah satu ka’abah yang suchi bagie Tuhan. Maka padanyalah juga kamu ini tŭlah dibangunkan bŭrsama sama, mŭnjadi suatu tŭmpat kadiaman bagie Allah dŭngan bŭrkat Roh.
EFESUS 2:17-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dan Dia datang dan mengkhabarkan perdamaian kepada kamu yang jauh dan kepada mereka yang dekat. Kerana melalui-Nya kita, kedua-dua pihak, dapat menghampiri Allah Bapa dengan satu Roh. Oleh itu, sekarang, kamu bukan lagi orang asing dan pendatang, tetapi sesama warga negeri dengan orang yang salih dan ahli-ahli keluarga Allah, yang telah dibina atas asas para rasul dan para nabi, dengan Kristus Yesus sendiri sebagai batu penjuru utama. Dalam Kristus seluruh bangunan itu disatukan lalu menjadi Bait Suci dalam Tuhan, maka dalam-Nya kamu pun dibina bersama menjadi tempat kediaman Allah dalam Roh.