EFESUS 3:7-13
EFESUS 3:7-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Allah merahmati aku dan melalui kuasa-Nya yang bekerja dalam diriku, aku ditugaskan untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. Akulah yang paling hina antara umat Allah, namun Allah mengurniai aku tugas istimewa untuk mengisytiharkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi. Berita Baik itu tentang berkat-berkat yang tidak terhingga daripada Kristus. Aku juga harus menjadikan semua orang tahu bagaimana Allah melaksanakan rancangan-Nya yang dirahsiakan itu. Allah, Pencipta semesta alam ini merahsiakan rancangan-Nya sejak dahulu, supaya sekarang melalui jemaah, semua yang memerintah dan yang berkuasa di angkasa dapat mengetahui pelbagai ragam kebijaksanaan Allah. Melalui Kristus Yesus Tuhan kita, Allah melakukan hal itu seperti yang dirancang-Nya sejak permulaan. Kerana kita percaya kepada Kristus dan hidup bersatu dengan Dia, kita berani datang ke hadirat Allah dengan penuh keyakinan. Oleh itu, janganlah tawar hati oleh sebab aku mengalami penderitaan kerana kamu. Semuanya untuk kebaikan kamu.
EFESUS 3:7-13 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Deri sŭbab itulah aku tŭlah mŭnjadi sa’orang surohan, iya itu spŭrti kŭdar anugrah Allah yang tŭlah dikurniakannya padaku dŭngan pŭkŭrjaan kuat kwasa Tuhan. Kapada aku inilah orang yang tŭrkŭchil skali deri antara sagala orang salih itu, tŭlah dikurniakannya anugrah ini, supaya kumashorkan diantara orang sŭsat kŭkayaan Almasih yang tiada dapat tŭrduga itu. Dan supaya bulih ditampak ulih sagala orang akan hal pŭrulihan rahsia yang deripada pŭrmulaan dunia, tŭlah tŭrsŭmbunyi kapada Allah, yang tŭlah mŭnjadikan sagala pŭrkara ulih Isa Almasih. Supaya skarang hikmat Allah yang bŭrbagie bagie itu dinyatakan kŭlak ulih sidang jŭmaah kapada sagala pŭmrentah, dan pŭnguasaan dalam shorga itu. Maka iya itu mŭnurot kahandak yang kŭkal, yang tŭlah diadakannya ulih Isa Almasih Tuhan kami. Maka deripadanyalah juga kami tŭlah bŭrulih brani, dan kwasa mŭngadap dŭngan harap, ulih bŭriman akan dia. Sŭbab itulah aku minta supaya janganlah lŭmah hati kamu, tŭgal kasukaranku kŭrna kamu itu yang mŭndatangkan kamulian bagiemu.
EFESUS 3:7-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku telah menjadi seorang hamba Injil dengan kasih kurnia Allah yang telah diberikan-Nya kepadaku melalui pelaksanaan kuasa-Nya. Kepadaku, yang lebih rendah daripada orang salih yang paling rendah, kasih kurnia ini telah diberikan supaya aku pergi menyampaikan perkhabaran kepada bangsa-bangsa asing tentang kekayaan Kristus yang tidak mungkin dapat dicari itu, dan menjelaskan kepada semua orang pelaksanaan rahsia itu, yang dari permulaan zaman telah terselindung dalam hati Allah yang menjadikan segala-galanya. Dengan demikian sekarang pelbagai kebijaksanaan Allah diberitahu oleh jemaah kepada segala pemerintah dan kuasa di syurga. Ini adalah menurut maksud-Nya yang kekal yang telah ditunaikan-Nya dalam Kristus Yesus, Tuhan kita; yang dalam-Nya kita mendapat kebebasan dan keyakinan menghampiri Allah melalui iman. Oleh itu, aku meminta kepadamu, janganlah tawar hati akibat kesusahan yang kutanggung keranamu, ini adalah kemuliaanmu.