EFESUS 6:5-9
EFESUS 6:5-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Hai abdi, hormatilah tuan kamu dan taatilah mereka dengan sepenuhnya. Lakukanlah semuanya dengan hati yang ikhlas, seperti kamu melakukan apa yang diperintahkan oleh Kristus. Janganlah berbuat demikian hanya pada masa kamu diawasi, untuk mendapat pujian mereka. Tetapi sebagai abdi Kristus, kamu harus melakukan kehendak Allah dengan sepenuh hati. Lakukanlah kerja kamu sebagai abdi dengan hati yang gembira, seolah-olah kamu bekerja untuk Tuhan, dan bukan hanya untuk manusia. Ketahuilah bahawa setiap orang, baik abdi ataupun orang bebas, akan menerima pahala daripada Tuhan bagi semua perbuatan baik yang dilakukannya. Hai pemilik abdi, perlakukanlah abdi kamu dengan sepatutnya. Jangan lagi gunakan ancaman. Ketahuilah bahawa kamu dan abdi kamu dimiliki oleh satu tuan, iaitu Tuhan yang di syurga, yang menghakimi semua orang dengan adil.
EFESUS 6:5-9 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Hamba hamba, handaklah kamu mŭnurot prentah tuanmu dalam dunia ini, dŭngan takut dan gŭmŭntar, dŭngan tulos hatimu, spŭrti mŭnurot prentah Almasih. Janganlah dŭngan muka muka spŭrti orang mŭnyukakan orang, mŭlainkan spŭrti hamba hamba Almasih yang bŭrbuat kahandak Allah dŭngan hati, Sŭrta dŭngan niat yang baik, kŭrjalah spŭrti kapada Tuhan, bukannya bagie manusia. Sŭbab kami mŭngatahui, adapun barang pŭrkara, baik yang dipŭrbuat ulih sbarang orang, maka itulah juga kŭlak akan ditrimanya deripada Tuhan, baik hamba atau mŭrdehka. Tuan tuan pun, handaklah kamu bŭrbuat dŭmkianlah juga kapada marika itu; tahankan gŭrtak, kŭrna kamu kŭtahui, bahwa Tuhanmu ada dalam langit, maka tiadalah iya mŭngindahkan muka manusia.
EFESUS 6:5-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Hamba sahaya, taatlah kepada tuanmu di dunia ini, dengan takut dan hormat, dengan hati yang ikhlas, seperti kepada Kristus. Janganlah lakukan secara bermuka-muka, sekadar menyukakan hati orang, tetapi sebagai hamba Kristus, melakukan kehendak Allah setulus hati. Bekerjalah dengan niat bersih, seperti untuk Tuhan, bukan untuk manusia. Ketahuilah bahawa apa-apa sahaja kebaikan yang dilakukan oleh seseorang akan dibalas sewajarnya oleh Tuhan, baik hamba mahupun orang merdeka. Kamu, tuan kepada hamba, hendaklah juga berbuat baik kepada mereka, dan jangan lagi mengugut mereka, kerana kamu tahu bahawa Tuan mereka dan Tuanmu sendiri ada di syurga, dan Dia memandang semuanya sama rata.