KELUARAN 12:14-51

KELUARAN 12:14-51 Alkitab Berita Baik (BM)

Kamu mesti merayakan hari itu sebagai perayaan bagi TUHAN, untuk mengingatkan kamu tentang apa yang telah Aku lakukan. Rayakanlah hari itu setiap tahun, selama-lamanya.” TUHAN berfirman, “Selama tujuh hari kamu tidak boleh makan roti yang beragi. Makanlah roti yang tidak beragi saja. Pada hari pertama kamu mesti membuang segala ragi yang terdapat di dalam rumah kamu. Jika ada seseorang yang makan roti beragi selama tujuh hari itu, dia tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Ku. Pada hari pertama, dan sekali lagi pada hari ketujuh, kamu mesti berkumpul untuk beribadat. Pada hari-hari itu kamu tidak boleh melakukan pekerjaan apa pun, tetapi kamu boleh menyiapkan makanan. Rayakanlah Perayaan Roti Tidak Beragi, kerana pada hari itu Aku membawa suku-suku kamu keluar dari Mesir. Rayakanlah hari itu sebagai perayaan pada setiap tahun untuk selama-lamanya. Kamu mesti makan roti yang tidak beragi, mulai pada malam hari yang keempat belas bulan pertama sehingga malam hari yang kedua puluh satu. Selama tujuh hari, ragi tidak boleh disimpan di dalam rumah kamu, kerana sesiapa yang memakan roti yang beragi, baik dia orang asing ataupun orang Israel, dia tidak akan dianggap sebagai umat-Ku lagi.” Musa memanggil semua pemimpin Israel dan berkata kepada mereka, “Setiap orang daripada kamu harus mengambil seekor anak domba atau seekor anak kambing untuk keluarga masing-masing. Kemudian sembelihlah binatang itu supaya keluarga kamu dapat merayakan Paska. Ambillah seikat hisop dan celupkannya ke dalam mangkuk yang berisi darah binatang itu, lalu sapukan darah itu pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu. Tiada seorang pun boleh keluar dari rumah sehingga pagi. Apabila TUHAN menjelajahi seluruh negeri Mesir untuk membunuh orang Mesir, TUHAN akan nampak darah pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu, maka Dia akan lalu dan tidak membenarkan Malaikat Maut masuk ke dalam rumah kamu untuk membunuh kamu. Kamu dan anak-anak kamu mesti patuh kepada peraturan ini selama-lamanya. Apabila kamu masuk ke negeri yang telah dijanjikan TUHAN kepada kamu, kamu mesti mengadakan upacara ini. Apabila anak-anak kamu bertanya, ‘Apakah makna upacara ini?’ Kamu harus menjawab, ‘Inilah korban Paska untuk menghormati TUHAN, kerana Dia telah melalui rumah orang Israel di Mesir. Dia membunuh orang Mesir, tetapi Dia membiarkan kita hidup.’ ” Kemudian orang Israel bersujud menyembah. Selepas itu mereka pergi dan melakukan apa yang telah diperintahkan TUHAN kepada Musa dan Harun. Pada tengah malam itu TUHAN membunuh semua anak lelaki sulung di Mesir, mulai daripada putera raja yang menjadi waris takhta hingga kepada anak lelaki sulung orang tawanan di dalam penjara bawah tanah. Semua anak sulung binatang pun dibunuh. Pada malam itu raja dan semua pegawainya, serta semua orang Mesir terjaga. Tangisan yang kuat terdengar di seluruh negeri Mesir, kerana di setiap rumah terdapat kematian anak lelaki. Pada malam itu juga, raja memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Pergilah, kamu dan semua orang Israel! Tinggalkan negeri beta! Pergilah beribadat kepada TUHAN kamu, seperti yang kamu minta. Bawalah domba, kambing dan lembu kamu dan tinggalkan tempat ini. Mohonlah berkat untuk beta juga.” Orang Mesir mendesak orang Israel agar meninggalkan negeri mereka dengan segera. Orang Mesir berkata, “Kami semua akan mati jika kamu tidak meninggalkan tempat ini.” Oleh itu orang Israel mengisi mangkuk mereka dengan adunan roti yang tidak beragi, membungkusnya dengan kain, lalu memikul bungkusan itu. Orang Israel telah melakukan apa yang disuruh oleh Musa. Mereka telah meminta barang kemas yang dibuat daripada perak dan emas, serta pakaian daripada orang Mesir. TUHAN menyebabkan orang Mesir menghormati orang Israel sehingga orang Mesir memberikan segala permintaan orang Israel. Dengan demikian orang Israel merampas kekayaan orang Mesir. Orang Israel berangkat dengan berjalan kaki dari kota Raamses ke kota Sukot. Mereka berjumlah 600,000 orang lelaki, tidak termasuk perempuan dan anak-anak. Mereka membawa banyak lembu, domba, dan kambing. Sejumlah besar orang asing juga mengikut mereka. Mereka membakar roti yang tidak beragi daripada adunan yang dibawa dari Mesir. Mereka diusir dari situ dengan mendadak, sehingga tidak sempat menyiapkan bekal atau menyediakan roti yang beragi. Umat Israel tinggal di Mesir selama 430 tahun. Apabila genap tahun yang ke-430, semua suku daripada umat TUHAN meninggalkan negeri Mesir. Pada malam itu TUHAN terus-menerus berjaga untuk membawa mereka keluar dari negeri Mesir. Malam itu ditahbiskan bagi TUHAN untuk selama-lamanya sebagai malam ketika orang Israel pun harus berjaga. TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Inilah peraturan Perayaan Paska: Orang asing tidak boleh makan makanan Paska. Tetapi hamba yang kamu beli boleh makan makanan itu, jika dia sudah disunat. Penduduk sementara ataupun pekerja yang diupah tidak boleh makan makanan Paska. Seluruh makanan Paska itu mesti dimakan di dalam rumah, di tempat makanan itu disediakan. Makanan itu tidak boleh dibawa keluar. Jangan patahkan satu pun tulang binatang itu. Segenap umat Israel mesti merayakan perayaan ini. Orang yang tidak disunat tidak boleh makan makanan itu. Jika seorang asing tinggal bersama dengan kamu dan ingin merayakan Paska untuk menghormati TUHAN, terlebih dahulu kamu mesti menyunatkan semua orang lelaki dalam keluarga orang itu. Kemudian dia akan dianggap sebagai orang Israel asli dan boleh ikut dalam perayaan itu. Peraturan yang sama berlaku juga kepada orang Israel dan orang asing yang tinggal bersama dengan kamu.” Semua orang Israel mematuhi peraturan itu dan melakukan segala yang telah diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa dan Harun. Pada hari itu TUHAN membawa semua suku Israel keluar dari Mesir.

KELUARAN 12:14-51 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Hari ini akan menjadi hari yang harus kamu ingati. Kamu hendaklah merayakannya turun-temurun sebagai hari perayaan bagi TUHAN, dan perayaan itu hendaklah menjadi ketetapan buat selama-lamanya. Kamu harus makan roti yang tidak beragi tujuh hari lamanya. Pada hari pertama, buanglah ragi dari rumahmu, kerana sesiapa pun makan sesuatu yang beragi dari hari pertama sampai hari ketujuh, hendaklah dia disingkirkan daripada Israel. Pada hari pertama adakanlah perhimpunan jemaah yang suci, demikian pula pada hari ketujuh. Pada hari-hari itu tidak boleh dilakukan pekerjaan apa-apa pun, kecuali mempersiapkan makanan yang harus dimakan oleh setiap orang. Rayakanlah selalu Perayaan Roti Tidak Beragi, kerana tepat pada hari ini Aku membawa rombonganmu keluar dari Tanah Mesir. Oleh sebab itu rayakanlah selalu hari ini turun-temurun sebagai suatu ketetapan untuk selama-lamanya. Mulai dari petang hari pada hari keempat belas bulan pertama, makanlah roti yang tidak beragi sampai pada petang hari pada hari kedua puluh satu bulan itu juga. Tujuh hari lamanya tidak boleh ada ragi dalam rumahmu, kerana sesiapa pun makan sesuatu yang beragi, dia harus disingkirkan daripada antara jemaah Israel, baik pendatang mahupun warga asli. Apa pun yang beragi tidak boleh kamu makan. Di seluruh tempat tinggalmu kamu harus makan roti yang tidak beragi.” Kemudian Musa memanggil semua tua-tua Israel dan berkata kepada mereka, “Pergilah, ambillah anak domba bagi kaum keluargamu, dan sembelihlah domba Paskah. Ambillah seikat ranting hisop, celuplah di dalam darah yang telah ditempatkan dalam sebuah mangkuk, lalu sapukanlah darah itu pada ambang pintu serta kedua-dua tiang pintu rumah. Tiada seorang pun dalam kalangan kamu boleh keluar dari pintu rumahnya sampai pagi hari, kerana TUHAN akan melintas untuk mengazabkan warga Mesir. Apabila Dia melihat darah pada ambang pintu serta kedua-dua tiang pintu sesebuah rumah, maka TUHAN akan melalui pintu itu dan tidak membiarkan pemusnah masuk ke dalam rumahmu untuk mengazabkan kamu. Lakukanlah hal ini setiap kali dan jadikannya sebagai suatu ketetapan bagimu serta bagi anak-anakmu buat selama-lamanya. Jadi, apabila kamu telah memasuki negeri yang akan TUHAN kurniakan kepadamu seperti yang difirmankan-Nya, kamu hendaklah terus memegang ibadat ini. Nanti, apabila anak-anakmu bertanya kepadamu, ‘Apakah erti ibadat ini kepada Ayah?’ maka kamu harus menjawab, ‘Ini korban Paskah bagi TUHAN. Ketika TUHAN mengazabkan warga Mesir, Dia melalui rumah-rumah orang Israel di Mesir dan menyelamatkan rumah-rumah kita.’ ” Lalu orang Israel menundukkan kepala dan sujud menyembah. Kemudian pergilah orang Israel, melaksanakan apa yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa dan Harun. Pada tengah malam TUHAN mematikan semua anak sulung di Tanah Mesir, daripada anak sulung Firaun yang duduk di atas takhta sampai anak sulung para tawanan yang ada di dalam kurungan bawah tanah, juga semua anak sulung haiwan. Maka bangunlah Firaun pada malam itu, demikian pula semua pegawainya dan semua warga Mesir. Lalu terdengarlah tangisan yang dahsyat di Mesir, kerana tidak ada rumah yang tidak berlaku kematian. Pada malam itu juga Firaun memanggil Musa dan Harun, katanya, “Segeralah keluar daripada kalangan rakyatku, baik kamu mahupun orang Israel! Pergilah, beribadatlah kepada TUHAN seperti katamu itu. Bawalah pula kawanan domba dan kawanan lembumu seperti katamu itu, lalu pergilah. Mohonkanlah juga berkat bagiku.” Warga Mesir juga mendesak orang Israel itu untuk pergi dengan segera dari negeri itu, kerana kata mereka, “Nanti kami semua mati.” Kemudian orang Israel itu mengambil segala wadah berisi adunan yang belum diragi, lalu membungkusnya dengan pakaian dan memikulnya di atas bahu mereka. Orang Israel juga melaksanakan apa yang dikatakan oleh Musa. Mereka meminta daripada orang Mesir barang-barang perak, barang-barang emas, dan pakaian. TUHAN membuat orang Mesir berbaik hati kepada umat-Nya itu, sehingga permintaan mereka dipenuhi. Demikianlah mereka menjarah warga Mesir. Setelah itu, berangkatlah orang Israel dari Raamses menuju Sukot. Jumlah mereka 600,000 orang lelaki, tidak termasuk perempuan dan kanak-kanak. Ada ramai juga daripada pelbagai bangsa yang ikut pergi bersama-sama, dan tentunya bersama dengan kawanan ternakan yang sangat besar jumlahnya, baik kawanan domba mahupun kawanan lembu. Mereka membakar roti tanpa ragi daripada adunan yang dibawa mereka dari Mesir. Adunan itu memang belum beragi, kerana mereka diusir dari Mesir dan tidak boleh berlengah. Mereka juga tidak sempat menyediakan bekal untuk keperluan mereka. Selama empat ratus tiga puluh tahun orang Israel bermastautin di Mesir. Sesudah empat ratus tiga puluh tahun, tepat pada hari itu, keluarlah seluruh rombongan umat TUHAN dari Tanah Mesir. Malam itu malam yang harus tertumpu pada hal memperingati TUHAN yang telah membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Itulah malam yang harus diperingati oleh seluruh orang Israel, turun-temurun. TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Inilah ketetapan tentang korban hari Paskah: Tiada seorang pun warga asing yang boleh memakannya. Setiap hamba yang dibeli dengan wang dan setelah kamu menyunatkannya barulah boleh memakannya. Seorang perantau dan orang upahan tidak boleh memakannya. Paskah itu harus dimakan di dalam sesebuah rumah. Kamu tidak boleh membawa sedikit pun daripada daging itu ke luar rumah. Selain itu, sebatang tulang pun tidak boleh kamu patahkan. Seluruh jemaah Israel harus merayakan hari Paskah. Apabila seorang pendatang yang tinggal di tengah-tengah kalangan kamu mahu merayakan Paskah juga bagi TUHAN, maka semua lelaki yang ada bersama-samanya harus disunatkan dahulu. Setelah itu, barulah dia boleh datang untuk merayakannya. Dia akan dianggap sama dengan warga asli. Tetapi orang yang tidak bersunat tidak boleh memakannya. Satu hukum berkuat kuasa bagi warga Israel dan bagi pendatang yang tinggal di tengah-tengah kamu.” Maka seluruh orang Israel pun melaksanakan apa yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa dan Harun. Tepat pada hari itu TUHAN membawa segala rombongan orang Israel keluar dari Tanah Mesir.