EZRA 10:1-12

EZRA 10:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Sambil menangis Ezra bersujud untuk berdoa dan mengaku dosa di hadapan Rumah TUHAN. Sementara itu banyak orang Israel - lelaki, perempuan, dan kanak-kanak - datang berkumpul di sekelilingnya; mereka juga menangis tersedu-sedu. Kemudian Sekhanya anak Yehiel, seorang daripada puak Elam, berkata kepada Ezra, “Kami telah berdosa terhadap TUHAN kerana berkahwin dengan perempuan asing. Walaupun demikian, masih ada harapan bagi Israel. Marilah kita bersumpah kepada Allah bahawa kita akan mengusir semua perempuan itu dan anak-anak mereka. Kami akan menurut nasihat tuan dan nasihat orang yang menjunjung perintah Allah. Kami akan taat kepada Taurat Allah. Bertindaklah kerana itulah tanggungjawab tuan. Kami akan menyokong tuan dengan sepenuhnya. Bertindaklah dengan tegas sehingga perkara itu selesai.” Oleh itu Ezra mulai bertindak dengan menyuruh para pemimpin imam, orang Lewi dan umat Israel yang lain bersumpah bahawa mereka akan melakukan cadangan Sekhanya. Setelah mereka bersumpah, Ezra pergi dari bahagian depan Rumah TUHAN ke tempat tinggal Yohanan anak Elyasib. Ezra bermalam di situ dan bersedih hati kerana memikirkan ketidaksetiaan orang dari pembuangan itu. Dia tidak makan atau minum apa-apa pun. Kemudian diumumkan di seluruh Yerusalem dan Yehuda bahawa semua orang yang telah pulang dari pembuangan, harus hadir pada suatu perjumpaan di Yerusalem. Itulah perintah para pemimpin rakyat. Sesiapa yang tidak hadir dalam masa tiga hari, segala harta miliknya akan dirampas, dan dia tidak lagi dianggap sebagai anggota masyarakat Israel. Dalam masa tiga hari, iaitu pada hari kedua puluh bulan sembilan, semua orang lelaki yang tinggal di kawasan Yehuda dan Benyamin datang ke Yerusalem dan berkumpul di halaman Rumah TUHAN. Pada hari itu, hujan turun dengan lebat. Semua orang menggigil kerana kesejukan dan juga kerana mustahaknya pertemuan itu. Kemudian Imam Ezra berdiri dan berkata kepada umat itu, “Kamu telah berdosa dan menambah kesalahan Israel kerana berkahwin dengan perempuan asing. Oleh sebab itu, akuilah dosa kamu di hadapan TUHAN, Allah nenek moyang kamu dan lakukanlah apa yang diperkenankan-Nya. Jauhkanlah diri kamu daripada orang asing yang tinggal di negeri kita, dan usirlah semua isteri kamu yang berbangsa asing.” Semua orang itu menjawab dengan lantang, “Kami akan melakukan apa sahaja kata tuan.”

EZRA 10:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sementara Ezra berdoa dan mengaku dosa, menangis dan bersujud di hadapan Rumah Allah, berkumpullah di sekelilingnya orang Israel yang terdiri daripada lelaki, perempuan, dan anak-anak dalam jumlah yang sangat besar. Umat itu pun menangis tersedu-sedu. Lalu Sekhanya anak Yehiel daripada bani Elam berkata kepada Ezra, “Kami telah berbuat mungkar terhadap Allah kita kerana kami telah memperisteri perempuan asing daripada bangsa-bangsa negeri ini. Tetapi sekarang masih ada harapan bagi orang Israel sehubungan dengan hal ini. Oleh sebab itu biarlah kami mengikat perjanjian dengan Allah kita, bahawa kami akan mengusir semua isteri kami berserta anak-anak yang dilahirkan mereka, selaras dengan nasihat tuan dan orang yang gementar akan perintah Allah kita. Biarlah hal itu dilaksanakan menurut hukum Taurat. Bangunlah, kerana hal ini tugas tuan. Kami akan menyertai tuan. Kuatkanlah hati tuan dan bertindaklah.” Ezra bangkit lalu menyuruh ketua imam, bani Lewi, dan semua orang Israel bersumpah bahawa mereka akan berbuat seperti yang telah dikatakan tadi. Maka bersumpahlah mereka. Kemudian Ezra beranjak dari depan Rumah Allah dan pergi ke bilik Yohanan anak Elyasib. Di sana pun ia tidak makan roti atau minum air kerana dia berkabung atas kemungkaran orang buangan itu. Lalu di seluruh Yehuda dan di Yerusalem diumumkanlah kepada semua orang yang pulang daripada pembuangan agar mereka berkumpul di Yerusalem. Sesiapa sahaja yang tidak datang dalam waktu tiga hari, maka menurut keputusan para pemimpin dan tua-tua, segala harta bendanya akan disita dan dia sendiri akan dibuang negeri dan terusir daripada jemaah yang pulang daripada pembuangan. Maka dalam waktu tiga hari berkumpullah semua orang Yehuda dan Benyamin di Yerusalem, tepatnya pada hari kedua puluh pada bulan kesembilan. Seluruh rakyat duduk di halaman Rumah Allah sambil menggigil kerana perkara itu dan juga kerana hujan lebat. Kemudian Imam Ezra berdiri dan berkata kepada mereka, “Kamu telah berbuat mungkar. Kamu telah memperisteri perempuan asing sehingga kesalahan orang Israel bertambah-tambah. Maka sekarang, buatlah pengakuan kepada TUHAN, Allah nenek moyangmu, dan lakukanlah apa yang menjadi kehendak-Nya. Pisahkanlah dirimu daripada bangsa-bangsa negeri ini dan daripada perempuan-perempuan asing.” Seluruh jemaah itu menjawab dengan suara nyaring, “Ya, kami wajib melakukan apa yang tuan katakan.