KEJADIAN 24:52-67
KEJADIAN 24:52-67 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila hamba Abraham mendengar kata-kata itu, dia bersujud dan menyembah TUHAN. Selepas itu dia mengeluarkan pakaian, perhiasan perak dan emas, lalu memberikan semuanya kepada Ribka. Dia juga memberikan hadiah-hadiah yang mahal kepada abang dan ibu Ribka. Kemudian hamba Abraham dan semua orang yang bersama dengan dia makan dan minum, lalu bermalam di sana. Selepas mereka bangun esok paginya, hamba itu berkata, “Izinkanlah saya pulang kepada tuan saya.” Tetapi ibu dan abang Ribka berkata, “Biarlah Ribka tinggal bersama dengan kami selama seminggu ataupun sepuluh hari lagi, selepas itu bolehlah dia pergi.” Tetapi hamba itu berkata, “Janganlah tahan saya. TUHAN sudah membuat perjalanan saya berhasil; izinkanlah saya pulang kepada tuan saya.” Mereka menjawab, “Marilah kita panggil Ribka dan tanyakan pendapatnya.” Mereka memanggil Ribka dan bertanya, “Mahukah kamu ikut orang ini?” Gadis itu menjawab, “Ya, saya mahu.” Oleh itu mereka mengizinkan Ribka dan inang pengasuhnya pergi dengan hamba Abraham dan semua orangnya. Mereka memberkati Ribka dengan kata-kata ini, “Semoga kamu, Ribka, menjadi ibu kepada berjuta-juta orang. Semoga keturunanmu menaklukkan kota-kota musuh mereka.” Kemudian Ribka berserta wanita-wanita muda yang menjadi hambanya bersiap-siap, lalu menunggang unta dan berangkat bersama dengan hamba Abraham. Sementara itu Ishak sudah datang dari perigi yang disebut “Perigi Dia Yang Hidup Yang Melihat Aku” dan tinggal di bahagian selatan Kanaan. Pada suatu petang dia keluar dari khemahnya untuk berjalan-jalan di padang, lalu dia nampak unta-unta datang. Apabila Ribka nampak Ishak, dia turun dari untanya, lalu bertanya kepada hamba Abraham, “Siapakah lelaki di padang itu yang datang ke arah kita?” “Dialah tuan saya,” jawab hamba itu. Oleh itu Ribka mengambil selendangnya dan menutupi mukanya. Kemudian hamba itu menceritakan segala yang sudah dilakukannya, kepada Ishak. Ishak membawa Ribka masuk ke dalam khemah mendiang Sara, ibunya, lalu dia memperisteri Ribka. Ishak mencintai Ribka; maka terhiburlah hati Ishak yang sedih kerana kehilangan ibunya.
KEJADIAN 24:52-67 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Begitu hamba Abraham itu mendengar kata-kata mereka, sujudlah dia menyembah TUHAN. Lalu hamba itu mengeluarkan perhiasan perak, perhiasan emas, serta pakaian-pakaian. Diberikannya semua itu kepada Ribka. Dia pun memberikan barang-barang berharga kepada saudara lelakinya serta ibunya. Setelah itu, dia dan orang yang berada bersama dengannya makan dan minum, serta bermalam di sana. Ketika mereka bangun pagi-pagi, berkatalah hamba itu, “Izinkanlah aku pulang kepada tuanku.” Akan tetapi, saudara lelaki Ribka serta ibunya berkata, “Biarkanlah anak perempuan ini tinggal dengan kami sekurang-kurangnya sepuluh hari lagi, kemudian bolehlah dia pergi.” Kata hamba itu kepada mereka, “Janganlah tahan aku. TUHAN sudah membuat perjalananku berhasil. Jadi, izinkanlah aku pulang kepada tuanku.” Jawab mereka, “Kami akan memanggil anak perempuan itu dan menanyainya.” Kemudian mereka memanggil Ribka dan bertanya kepadanya, “Mahukah kamu pergi bersama-sama orang ini?” Jawabnya, “Mahu.” Maka mereka pun mengizinkan Ribka, saudara perempuan mereka, berserta pengasuhnya, pergi bersama dengan hamba Abraham dan orangnya. Mereka memohonkan berkat bagi Ribka dan berkata kepadanya, “Saudara kami, semoga kamu menjadi berpuluh-puluh ribu dan semoga keturunanmu menakluki pintu-pintu gerbang orang yang membenci mereka.” Kemudian berangkatlah Ribka dan hamba-hamba perempuan mudanya dengan menunggang unta-unta mengikuti orang itu. Demikianlah hamba itu membawa Ribka lalu berjalan pulang. Sementara itu Ishak datang dari arah perigi Lahai-Roi. Dia tinggal di Tanah Negeb. Menjelang petang, Ishak keluar untuk berjalan-jalan di padang. Ketika dia melayangkan pandangannya dan mengamati, dia nampak beberapa ekor unta datang. Ribka pun melayangkan pandangannya, dan ketika dia melihat Ishak, turunlah dia dari untanya lalu bertanya kepada hamba itu, “Siapakah lelaki yang sedang berjalan menyongsong kita di padang itu?” Jawab hamba itu, “Dialah tuanku.” Kemudian Ribka mengambil cadarnya dan menutup kepala dan mukanya dengan kerudung. Hamba itu menceritakan kepada Ishak segala hal yang telah dilakukannya. Setelah itu, Ishak membawa Ribka ke dalam khemah Sarah, ibunya, dan menikahinya. Ribka menjadi isterinya, dan Ishak mencintainya. Maka terhiburlah Ishak setelah kematian ibunya.