KEJADIAN 49:8-12 - Bandingkan Semua Versi
KEJADIAN 49:8-12 BM (Alkitab Berita Baik)
Yehuda, engkau akan menerkam tengkuk musuhmu; saudara-saudaramu akan memujimu dan sujud di hadapanmu. Yehuda bagaikan singa; dia membunuh mangsanya, lalu kembali ke sarangnya; dia menggeliat lalu berbaring, dan tiada seorang pun berani mengusiknya. Yehuda akan memegang tongkat kerajaan, keturunannya akan memerintah selama-lamanya. Bangsa-bangsa akan membawakan dia ufti, dan sujud dengan taat di hadapannya. Anak keldainya diikatnya pada pokok, pada pokok anggur yang paling baik. Dia mencuci pakaiannya dengan wain, wain semerah darah. Matanya merah kerana minum wain, giginya putih kerana minum susu.
KEJADIAN 49:8-12 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Yehuda, kamu akan dipuji oleh para saudaramu. Tanganmu akan mencengkam tengkuk para musuhmu, dan para anak ayahmu akan tunduk kepadamu. Yehuda, kamu laksana seekor anak singa. Kamu naik meninggalkan mangsa, hai anakku. Dia merunduk, mendekam seperti singa jantan atau singa betina; siapakah yang berani merangsangkannya? Cokmar kuasa tidak akan berpindah daripada Yehuda, mahupun tongkat kerajaan daripada di antara kakinya, hingga datang dia yang berhak atasnya; kepadanyalah bangsa-bangsa akan tunduk. Dia menambatkan anak keldainya pada pokok anggur, dan keldai jantan mudanya pada pokok anggur pilihan. Dia membasuh pakaiannya dengan air anggur, dan jubahnya dengan cairan buah anggur. Merahlah matanya kerana air anggur, dan putihlah giginya kerana susu.