YAKOBUS 1:19-27
YAKOBUS 1:19-27 Alkitab Berita Baik (BM)
Saudara-saudara yang aku kasihi! Kamu tahu bahawa setiap orang haruslah cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata, dan lambat naik marah. Orang yang marah tidak dapat melakukan perkara baik, yang menyenangkan hati Allah. Oleh itu, buanglah segala kebiasaan buruk dan kelakuan yang jahat. Berserahlah kepada Allah dan terimalah firman yang ditanam-Nya di dalam hati kamu, kerana firman itu dapat menyelamatkan kamu. Janganlah tipu diri sendiri dengan hanya mendengarkan firman-Nya. Sebaliknya, lakukanlah apa yang difirmankan-Nya. Seseorang yang mendengar firman Allah tetapi tidak melakukannya, adalah seperti seorang yang melihat dirinya sendiri di depan cermin. Dia menatap dirinya baik-baik, lalu pergi dan langsung lupa akan rupanya. Berita Baik itu hukum Allah yang sempurna dan dapat membebaskan manusia. Seseorang yang mendalami hukum itu dan melakukannya, akan diberkati Allah dalam segala perkara yang dilakukannya, kerana dia tidak hanya mendengar lalu melupakannya. Adakah sesiapa menganggap dirinya beribadat? Jika dia tidak mengendalikan lidahnya, maka ibadatnya sia-sia dan dia menipu dirinya sendiri. Menurut Allah Bapa, inilah ibadat yang murni dan sejati: Menolong anak yatim piatu dan balu yang mengalami penderitaan, serta menjaga diri supaya tidak dicemari kejahatan di dunia ini.
YAKOBUS 1:19-27 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka sŭbab itu saudara saudaraku yang kukasih, biarlah masing masing orang itu pantas akan mŭnŭngar, dan lambat akan bŭrkata kata, dan lambat pula akan amarah: Kŭrna kamarahan manusia itu tiadalah mŭngadakan kabŭnaran Allah. Sŭbab itu handaklah kamu mŭnolakkan sŭblah sagala kachŭmaran, dan kalempahan kajahatan, sŭrta mŭnŭrima dŭngan lŭmbut hati akan pŭrkataan yang digambari itu, yang chakap mŭmbri slamat akan jiwamu. Tutapi handaklah kiranya kamu mŭnjadi pŭnurot pŭrkataan itu, bukannya pŭnŭngar sahja, mŭmpŭrdayakan dirimu sŭndiri. Kŭrna jikalau barang siapa mŭnjadi pŭnŭngar pŭrkataan itu sahja, bukannya pŭnurot, maka iya itulah spŭrti sa’orang yang mŭlihat bŭtul gambar mukanya didalam chŭrmin; Kŭrna sŭtlah sudah iya mŭlihat itu, pŭrgilah iya, maka dŭngan sŭbŭntar itu juga tŭrlupalah iya apakah macham orang iya itu. Tŭtapi barang siapa yang mŭnilik akan hukum kabebasan yang samporna itu, dan tŭtap dalamnya, maka sŭbab iya bukannya pŭnŭngar yang lupa, mŭlainkan pŭnurot pŭkŭrjaan itu, maka orang itulah kŭlak akan dibŭrkati dalam pŭrbuatannya itu. Maka jikalau barang sa’orang deri antara kamu itu mŭngirakan dirinya ada bŭrbakti, tŭtapi tiada iya mŭmŭgang lidahnya, mŭlainkan mŭnipukan hatinya sŭndiri, bahwa agama orang itulah sia sia adanya. Adapun agama yang pŭrsih, dan yang tiada bŭrchŭla dihadapan Allah dan Ayah itu, dŭmkianlah iya itu mŭlawat anak anak yang tiada bŭrbapa, dan pŭrampuan janda dalam kadukaannya, dan mŭmliharakan dirinya sŭndiri deripada kachŭlaan dunia.
YAKOBUS 1:19-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Saudara-saudara yang kukasihi, sebagaimana kamu tahu, seseorang haruslah cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah. Orang yang marah tidak dapat melakukan perbuatan yang benar dan diredai Allah. Oleh itu, kikislah segala tabiat buruk dan kelakuan jahat. Kemudian terimalah firman yang disemaikan-Nya ke dalam hatimu dengan rendah hati, kerana firman itu dapat menyelamatkanmu. Namun demikian, jangan tipu dirimu dengan hanya mendengar firman; lakukanlah firman itu. Seseorang yang mendengar firman tetapi tidak melakukannya adalah ibarat orang yang berdiri di hadapan cermin, meneliti dirinya, kemudian pergi dari situ dan terus lupa akan rupanya. Namun demikian, orang yang meneliti hukum yang sempurna, iaitu hukum yang dapat membebaskan manusia, dan melakukannya, akan diberkati dalam segala tindakannya, kerana dia tidak hanya mendengar lalu melupakannya. Jika seseorang menganggap dirinya taat beribadat tetapi tidak mengekang lidahnya, maka ibadatnya sia-sia dan dia menipu diri sendiri. Allah Bapa berfirman bahawa ibadat yang murni dan tulen ialah: menolong anak yatim piatu dan balu yang menanggung kesusahan, serta menjaga diri daripada dicemari kejahatan dunia.