YEREMIA 42:1-12

YEREMIA 42:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian semua pemimpin askar, termasuk Yohanan anak Kareah dan Azarya anak Hosaya, datang bersama-sama rakyat daripada semua lapisan masyarakat. Mereka berkata kepadaku, “Tolonglah kabulkan permintaan kami. Berdoalah kepada TUHAN, Allah kita bagi kami. Berdoalah bagi kami semua yang terselamat. Dahulu kami ramai bilangannya, tetapi sekarang lihatlah, bilangan kami tinggal sedikit sahaja. Berdoalah agar TUHAN, Allah kita akan menunjukkan jalan yang harus kami ikut dan apa yang harus kami lakukan.” “Baiklah,” jawabku, “Aku akan berdoa kepada TUHAN, Allah kita menurut permintaan kamu; dan apa pun jawapan-Nya kelak, akan aku sampaikan kepada saudara semua. Aku tidak akan merahsiakan apa-apa pun.” Kemudian mereka berkata kepadaku, “Biarlah TUHAN menjadi saksi yang jujur dan setia terhadap kami jika kami tidak taat kepada perintah yang diberikan TUHAN, Allah kita kepadamu untuk kami. Kami telah minta kamu berdoa kepada TUHAN, Allah kita. Oleh itu baik jawapan-Nya menyenangkan atau tidak, kami akan taat kepada-Nya. Keadaan kami akan menjadi baik jika kami mentaati Dia.” Sepuluh hari kemudian, TUHAN berfirman kepadaku. Oleh itu aku memanggil Yohanan, semua pemimpin askar, dan semua orang lain yang datang bersama-samanya. Aku berkata kepada mereka, “Kamu menyuruh aku menyampaikan permintaan kamu semua kepada TUHAN, Allah Israel. Sekarang inilah firman-Nya, ‘Jika kamu mahu tetap tinggal di negeri ini, Aku akan membangun kamu dan tidak memusnahkan kamu. Aku akan menegakkan kamu dan tidak meruntuhkan kamu. Kemusnahan yang Kutimpakan kepada kamu menyebabkan Aku sangat sedih. Jangan takut lagi akan raja Babilonia. Aku menyertai kamu, dan Aku akan melepaskan kamu daripada kuasanya. Oleh sebab Aku berbelas kasihan, Aku akan menyebabkan dia mengasihani kamu dan membenarkan kamu pulang. Aku, TUHAN, telah berfirman.’

YEREMIA 42:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian semua panglima pasukan, termasuk Yohanan anak Kareah dan Azarya anak Hosaya, berserta seluruh rakyat daripada yang kecil sampai yang besar datang menghadap Nabi Yeremia dan berkata, “Semoga permintaan kami diperkenankan tuan. Berdoalah kepada TUHAN, Allahmu, bagi kami, semua orang yang tersisa ini. Kerana dahulu kami ramai, tetapi seperti mata tuan lihat sendiri, saki-baki kami hanya sedikit sahaja. Mudah-mudahan TUHAN, Allahmu, menyatakan kepada kami jalan yang harus kami tempuh dan hal yang harus kami lakukan.” Kata Nabi Yeremia kepada mereka, “Aku mendengar permintaanmu. Ya, aku akan berdoa kepada TUHAN, Allahmu, seperti yang kaukatakan. Nanti, segala firman yang TUHAN berikan sebagai jawapan untukmu akan kuberitahu kepadamu, tiada satu pun kusembunyikan daripadamu.” Kata mereka kepada Yeremia, “Semoga TUHAN menjadi saksi yang benar dan setia antara kita, sekiranya kami tidak bertindak tepat seperti segala firman yang akan disampaikan TUHAN, Allahmu, kepada tuan untuk kami. Sama ada baik mahupun buruk, kami akan mematuhi TUHAN, Allah kita, yang kepada-Nya kami mengutus tuan. Mudah-mudahan baik keadaan kami ketika kami mematuhi TUHAN, Allah kita.” Setelah sepuluh hari berlalu, datanglah firman TUHAN kepada Yeremia. Lalu Yeremia memanggil Yohanan anak Kareah dengan semua panglima pasukan yang menyertainya, juga seluruh rakyat daripada yang kecil sampai yang besar. Dia berkata kepada mereka, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, yang kepada-Nya kamu telah mengutus aku untuk menyampaikan permohonanmu, ‘Jika kamu tetap tinggal di negeri ini, maka Aku akan membangunkan kamu dan tidak akan meruntuhkan kamu. Aku akan menanam kamu dan tidak akan mencabut kamu, kerana hati-Ku menyesal atas malapetaka yang telah Kudatangkan kepada kamu. Jangan takut kepada raja Babel yang kamu takuti itu. Jangan takut kepadanya,’ demikianlah firman TUHAN, ‘kerana Aku menyertai kamu untuk menyelamatkan dan melepaskan kamu dari tangannya. Aku akan mengurniakan rahmat kepadamu, sehingga dia akan mengasihani kamu dan membiarkan kamu kembali ke tanah airmu.’