YOSUA 4:1-24

YOSUA 4:1-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Selepas seluruh bangsa itu menyeberangi Sungai Yordan, TUHAN berfirman kepada Yosua, “Pilihlah dua belas orang, seorang daripada tiap-tiap suku, lalu suruhlah mereka mengambil dua belas buah batu dari tengah-tengah sungai, tepat pada tempat imam-imam itu berdiri. Suruhlah mereka mengangkat batu-batu itu dan meletakkannya di tempat kamu berkhemah malam ini.” Kemudian Yosua memanggil dua belas orang yang telah dipilihnya dan berkata, “Turunlah ke sungai di depan Tabut Perjanjian TUHAN, Allah kamu. Masing-masing harus mengambil sebuah batu, sebuah batu untuk setiap suku Israel. Pikullah batu itu. Batu-batu itu akan mengingatkan umat Israel tentang perbuatan TUHAN. Pada masa yang akan datang, apabila anak-anak kamu bertanya akan erti batu-batu itu, beritahulah mereka bahawa Sungai Yordan berhenti mengalir ketika Tabut Perjanjian TUHAN digotong menyeberangi sungai itu. Batu-batu itu akan sentiasa mengingatkan umat Israel tentang peristiwa yang berlaku di sini.” Mereka menurut perintah Yosua. Sebagaimana perintah TUHAN kepada Yosua, mereka mengambil dua belas buah batu dari tengah-tengah Sungai Yordan, sebuah batu untuk setiap suku Israel. Mereka memikul batu-batu itu ke tempat perkhemahan lalu meletakkan semuanya di sana. Yosua juga menyusun dua belas buah batu di tengah-tengah Sungai Yordan, di tempat imam-imam itu berdiri. (Batu-batu itu masih ada di sana sampai sekarang.) Para imam berdiri di tengah-tengah Sungai Yordan sehingga segala yang diperintahkan TUHAN kepada Yosua telah dilakukan oleh umat itu. Itulah yang diperintahkan oleh Musa kepada Yosua. Umat Israel menyeberangi sungai dengan cepat dan apabila mereka semua sampai di seberang, imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN berjalan di hadapan mereka. Semua orang daripada suku Ruben, Gad, dan setengah suku Manasye telah menyeberang mendahului umat Israel yang lain, dan mereka siap berperang seperti yang diperintahkan Musa. Semuanya ada kira-kira 40,000 orang lelaki yang telah siap untuk berperang. Di hadapan TUHAN, mereka menyeberang ke dataran rendah dekat kota Yerikho. Perbuatan TUHAN pada hari itu menyebabkan umat Israel menghormati Yosua sebagai orang besar. Mereka menghormati dia sepanjang hayatnya sebagaimana mereka menghormati Musa dahulu. Kemudian TUHAN menyuruh Yosua memerintah imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian keluar dari Sungai Yordan. Yosua mematuhi perintah TUHAN. Apabila imam-imam itu sampai di tebing sungai, air sungai mengalir lagi dan banjir seperti semula. Umat Israel menyeberangi sungai itu pada hari kesepuluh bulan pertama, lalu mereka berkhemah di Gilgal, di sebelah timur kota Yerikho. Di sana Yosua menyusun dua belas buah batu yang diambil dari Sungai Yordan. Dia berkata kepada umat Israel, “Pada masa akan datang, apabila anak cucu kamu bertanya tentang erti batu-batu ini, beritahulah mereka bahawa umat Israel menyeberangi Sungai Yordan di atas dasar yang kering. Beritahulah mereka bahawa TUHAN, Allah kamu mengeringkan sungai itu untuk kamu sehingga kamu menyeberanginya, sebagaimana Dia mengeringkan Laut Gelagah untuk kami sehingga kami menyeberanginya. Dengan kejadian itu, semua orang di bumi akan tahu betapa besarnya kuasa TUHAN. Oleh itu kamu akan menghormati TUHAN, Allah kamu selama-lamanya.”

YOSUA 4:1-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Maka setelah seluruh umat Israel selesai menyeberangi Sungai Yordan, berfirmanlah TUHAN kepada Yosua, “Pilihlah dua belas orang daripada umat, seorang daripada setiap suku. Perintahkanlah mereka demikian, ‘Angkatlah dua belas biji batu dari sini, dari tengah-tengah Sungai Yordan ini, tempat para imam itu berdiri teguh. Bawalah semua batu itu menyeberang bersama-samamu, dan letakkanlah di tempat kamu bermalam pada malam ini.’ ” Maka Yosua memanggil dua belas orang yang telah disiapkannya daripada kalangan orang Israel, seorang daripada setiap suku. Kata Yosua kepada mereka, “Menyeberanglah di depan tabut TUHAN, Allahmu, ke tengah-tengah Sungai Yordan. Pikullah sebiji batu di atas bahu masing-masing menurut jumlah suku orang Israel supaya batu-batu itu menjadi tanda antaramu. Apabila anak-anakmu bertanya pada kemudian hari, ‘Apakah erti batu-batu itu bagi kamu?’ maka katakanlah kepada mereka bahawa air Sungai Yordan terputus di depan tabut perjanjian TUHAN. Ketika tabut itu menyeberangi Sungai Yordan, air Sungai Yordan terputus. Batu-batu itu akan menjadi tanda peringatan bagi orang Israel untuk selama-lamanya.” Orang Israel melakukan apa yang diperintahkan Yosua. Mereka mengangkat dua belas biji batu dari tengah-tengah Sungai Yordan menurut jumlah suku orang Israel, seperti yang difirmankan TUHAN kepada Yosua. Mereka membawa semuanya menyeberang ke tempat mereka bermalam, lalu mereka meletakkannya di sana. Yosua mendirikan pula dua belas batu di tengah-tengah Sungai Yordan, di tempat kaki para imam pengusung tabut perjanjian itu berdiri. Batu-batu itu masih ada di sana sampai hari ini. Para imam pengusung tabut itu terus berdiri di tengah-tengah Sungai Yordan sehingga segala sesuatu yang diperintahkan TUHAN kepada Yosua untuk disampaikan kepada bangsa itu selesai dilaksanakan, sebagaimana yang diperintahkan Musa kepada Yosua. Selepas itu, bergegaslah umat itu menyeberang. Sesudah selesai penyeberangan seluruh umat itu, menyeberanglah para imam berserta tabut TUHAN di hadapan umat itu. Bani Ruben, bani Gad, dan separuh suku iaitu Manasye, menyeberang dengan bersenjata lengkap di hadapan orang Israel, seperti yang dipesankan Musa kepada mereka. Kira-kira empat puluh ribu orang yang siap sedia untuk bertempur menyeberang di hadapan hadirat TUHAN ke dataran Yerikho untuk berperang. Pada hari itu juga TUHAN membuat Yosua kelihatan besar di mata semua orang Israel. Mereka hormat kepadanya, sebagaimana mereka hormat kepada Musa seumur hidupnya. Firman TUHAN kepada Yosua, “Perintahkanlah para imam pengusung tabut loh hukum itu untuk keluar dari Sungai Yordan.” Maka Yosua memberikan perintah kepada para imam itu, “Keluarlah dari Sungai Yordan.” Ketika para imam pengusung tabut perjanjian TUHAN itu keluar dari tengah-tengah Sungai Yordan, dan ketika telapak kaki para imam memijak daratan, maka air Sungai Yordan itu kembali ke tempatnya semula dan mengalir melimpahi pinggirnya seperti sebelumnya. Orang Israel keluar dari Sungai Yordan pada hari kesepuluh pada bulan pertama lalu berkhemahlah mereka di Gilgal, di sempadan timur Yerikho. Lalu Yosua mendirikan dua belas biji batu yang diambil mereka dari Sungai Yordan di Gilgal. Katanya kepada orang Israel, “Jika pada kemudian hari anak-anakmu bertanya kepada ayah mereka, ‘Apakah erti batu-batu ini?’ maka beritahulah anak-anakmu begini, ‘Dulu orang Israel menyeberangi Sungai Yordan ini di atas tanah yang kering.’ TUHAN, Allahmu, telah mengeringkan air Sungai Yordan di depanmu sehingga kamu dapat menyeberanginya, sama seperti ketika TUHAN, Allahmu, mengeringkan Laut Merah, di hadapan kita sehingga kita dapat menyeberanginya. Hal itu dilakukan-Nya supaya segala bangsa di bumi ini tahu bahawa tangan TUHAN itu kuat, dan supaya kamu sentiasa takut kepada TUHAN, Allahmu.”