Logo Apl Bible
Ikon Carian

YOSUA 9:1-15 - Bandingkan Semua Versi

YOSUA 9:1-15 BM (Alkitab Berita Baik)

Berita tentang kemenangan orang Israel didengar oleh semua raja negeri-negeri di sebelah barat Sungai Yordan: di perbukitan, di kaki-kaki bukit, dan di sepanjang kawasan pantai Laut Tengah, sampai ke Lebanon di sebelah utara. Mereka ialah raja-raja orang Het, Amori, Kanaan, Feris, Hewi, dan Yebusi. Raja-raja itu bersepakat dan bergabung untuk menentang Yosua dan umat Israel. Tetapi penduduk Gibeon, iaitu orang Hewi, mendengar apa yang telah dilakukan Yosua terhadap kota Yerikho dan Ai. Oleh itu mereka bercadang untuk menipu Yosua. Mereka mengambil makanan dan memuat keldai-keldai mereka dengan karung-karung yang usang dan kirbat kulit yang bertampal. Mereka memakai kasut lama yang bertampal dan pakaian yang koyak-koyak. Mereka membawa roti yang kering dan berlapuk. Kemudian mereka pergi ke perkhemahan di Gilgal dan berkata kepada Yosua serta orang Israel, “Kami datang dari negeri jauh. Tolong buat perjanjian dengan kami.” Tetapi orang Israel berkata, “Mengapa kami harus membuat perjanjian dengan kamu? Mungkin kamu tinggal di sekitar sini.” Mereka berkata kepada Yosua, “Kami hamba tuan.” Yosua bertanya kepada mereka, “Siapakah kamu? Dari manakah kamu?” Kemudian mereka menceritakan kisah ini, “Tuan, kami berasal dari negeri yang sangat jauh. Kami datang kerana kami mendengar tentang TUHAN, Allah tuan. Kami telah mendengar segala sesuatu yang dilakukan-Nya di Mesir, dan apa yang dilakukan-Nya terhadap dua orang raja Amori di sebelah timur Sungai Yordan: Raja Sihon penguasa Hesybon dan Raja Og penguasa Basan yang tinggal di Asytarot. Para pemimpin kami dan semua penduduk negeri kami menyuruh kami membawa makanan dan berangkat untuk berjumpa dengan tuan. Kami disuruh menjadi hamba tuan dan meminta supaya tuan membuat perjanjian dengan kami. Lihatlah roti kami. Ketika kami berangkat untuk menghadap tuan, roti ini masih panas. Tetapi sekarang lihatlah! Roti ini sudah kering dan berkulapuk. Ketika kami mengisi kirbat-kirbat kulit ini, semuanya masih baru. Tetapi sekarang lihatlah! Semuanya sudah koyak. Pakaian dan kasut kami pun sudah buruk kerana perjalanan yang jauh.” Umat Israel menerima makanan yang diberikan oleh mereka, tetapi tidak meminta petunjuk daripada TUHAN. Yosua membuat perjanjian damai dengan semua orang Gibeon itu dan berjanji tidak akan membunuh mereka. Para pemimpin Israel bersumpah untuk memegang perjanjian itu.

YOSUA 9:1-15 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Apabila berita itu sampai kepada semua raja yang tinggal di sebelah tebing barat Sungai Yordan — di pergunungan, di dataran rendah, dan di sepanjang pesisir Laut Besar sampai ke seberang Lebanon — iaitu raja bani Het, bani Amori, bani Kanaan, bani Feris, bani Hewi, dan bani Yebus, bergabunglah mereka serentak dan bersatu hati untuk berperang melawan Yosua serta orang Israel. Akan tetapi, apabila penduduk Gibeon mendengar apa yang dilakukan Yosua terhadap Yerikho dan Ai, mereka pun bermuslihat menggunakan tipu helah. Mereka berpura-pura menjadi orang utusan yang membawa sekawanan keldai yang dimuatkan dengan karung usang serta kantung kulit bekas simpanan air anggur yang koyak dan bertampal-tampal. Kaki mereka bersarungkan kasut buruk yang juga bertampal-tampal, dan pakaian mereka juga lusuh. Segala bekalan roti mereka pun kering lagi keras. Lalu pergilah mereka menemui Yosua di perkhemahan di Gilgal. Kata mereka kepadanya dan kepada orang Israel, “Kami datang dari negeri yang jauh. Sekarang, ikatlah perjanjian dengan kami.” Tetapi orang Israel berkata kepada orang Hewi itu, “Jangan-jangan kamu tinggal dekat kami. Bagaimanakah kami dapat mengikat perjanjian dengan kamu?” Kata mereka kepada Yosua, “Kami ini hamba-hambamu.” Tanya Yosua kepada mereka, “Siapakah kamu ini dan dari manakah kamu datang?” Jawab mereka kepadanya, “Hamba-hambamu ini datang dari negeri yang amat jauh atas sebab nama TUHAN, Allahmu. Kami telah mendengar kemasyhuran-Nya, semua yang dilakukan-Nya di Mesir dan semua yang dilakukan-Nya terhadap kedua-dua raja bani Amori di seberang Sungai Yordan, iaitu Sihon, raja Hesbon, serta Og, raja Basan, yang tinggal di Astarot. Oleh sebab itu para tua-tua kami dan seluruh penduduk negeri kami berkata kepada kami, ‘Ambillah bekal untuk perjalanan dan pergilah menemui mereka. Katakanlah kepada mereka, “Kami ini hamba-hambamu. Sekarang, ikatlah perjanjian dengan kami.” ’ Roti kami ini masih panas ketika kami ambil sebagai bekal dari rumah pada hari kami bertolak untuk menemui tuan. Sekarang, lihatlah, sudah kering dan lapuk. Kantung-kantung kulit bekas simpanan air anggur ini pun masih baru ketika kami isikan. Lihatlah, sekarang sudah koyak-koyak. Pakaian dan kasut kami ini menjadi lusuh akibat perjalanan yang amat jauh.” Maka orang Israel mengambil bekal orang itu, tetapi mereka tidak menanyakan petunjuk TUHAN. Kemudian Yosua berdamai dengan mereka itu dan mengikat perjanjian dengan mereka untuk membiarkan mereka hidup. Para pemimpin umat pun bersumpah kepada mereka.