Logo Apl Bible
Ikon Carian

IMAMAT 2:1-10 - Bandingkan Semua Versi

IMAMAT 2:1-10 BM (Alkitab Berita Baik)

Apabila seseorang mempersembahkan korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, korban itu harus berupa tepung terbaik, yang dituangi minyak zaitun dan dibubuhi kemenyan di atasnya. Orang itu harus membawa persembahannya kepada imam-imam keturunan Harun. Imam yang mempersembahkan korban itu harus mengambil segenggam tepung serta minyak itu dan semua kemenyannya, lalu membakar semuanya di atas mazbah sebagai tanda bahawa keseluruhannya sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN. Lebihan korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN itu adalah bagi para imam. Korban ini sangat suci kerana diambil daripada makanan yang sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Jika persembahan itu roti yang dibakar di dalam ketuhar, roti itu tidak boleh dicampuri ragi. Roti itu boleh tebal, dibuat daripada tepung terbaik yang dicampuri minyak zaitun, dan boleh juga roti tipis, yang disapu dengan minyak zaitun. Jika persembahan itu roti yang dipanggang di atas pemanggang, roti itu harus dibuat daripada tepung terbaik yang dicampuri minyak zaitun tetapi tidak beragi. Roti itu harus dibelah-belah dan dituangi minyak zaitun ketika dipersembahkan. Jika persembahan itu roti yang dimasak di dalam kuali, roti itu harus dibuat daripada tepung terbaik dan minyak zaitun. Roti yang dibuat seperti ini harus dipersembahkan kepada TUHAN, dan diserahkan kepada imam yang membawanya ke mazbah. Imam itu akan mengambil sebahagian roti itu, lalu membakarnya di atas mazbah sebagai tanda bahawa keseluruhannya sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN. Lebihan korban itu untuk para imam. Korban ini sangat suci kerana diambil daripada makanan yang sudah dipersembahkan kepada TUHAN.

IMAMAT 2:1-10 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Jika seseorang membawa kepada TUHAN persembahan bahan makanan, maka hendaklah persembahan itu daripada tepung yang terbaik dan hendaklah dia menuangkan minyak ke atas tepung itu dan meletakkan kemenyan di atasnya. Hendaklah dia membawa persembahan itu kepada anak-anak Harun, para imam itu dan para imam hendaklah mengambil segenggam penuh tepung itu berserta minyak dan seluruh kemenyannya sebagai bahagian peringatan lalu membakarnya hingga berasap sebagai korban bakaran, suatu korban yang keharumannya diredai TUHAN. Namun begitu apa-apa bahagian yang tersisa daripada persembahan bahan makanan itu menjadi bahagian milik Harun dan anak-anaknya. Itulah bahagian yang teramat suci daripada korban bakaran untuk TUHAN. Apabila engkau mahu mempersembahkan persembahan bahan makanan yang dibakar di dalam ketuhar, hendaklah persembahan itu daripada tepung terbaik dalam bentuk kuih tidak beragi yang dicampurkan minyak, atau kuih nipis tidak beragi yang disapukan dengan minyak. Jika persembahanmu berupa persembahan bahan makanan yang dipanggang di atas tempat pembakar, maka hendaklah persembahan itu daripada tepung tidak beragi yang terbaik yang dicampurkan minyak. Hendaklah kamu memecahkannya menjadi beberapa bahagian dan menuangkan minyak ke atasnya, maka itulah persembahan bahan makanan. Jika persembahanmu berupa persembahan bahan makanan yang dimasak dalam kuali, maka hendaklah persembahan itu dibuat daripada tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak. Hendaklah kamu membawa persembahan bahan makanan yang dibuat sedemikian cara kepada TUHAN. Maka sampaikanlah persembahan itu kepada imam lalu dia akan membawanya ke mazbah. Imam hendaklah mengambil bahagian peringatannya daripada persembahan bahan makanan itu lalu membakarnya di atas mazbah sebagai korban bakaran yang keharumannya diredai TUHAN. Namun begitu, apa-apa yang tersisa daripada persembahan bahan makanan itu menjadi bahagian Harun dan anak-anaknya dan itulah bahagian yang teramat suci daripada korban bakaran untuk TUHAN.