LUKAS 1:26-33
LUKAS 1:26-33 Alkitab Berita Baik (BM)
Setelah Elisabet mengandung enam bulan, Allah mengutus malaikat Gabriel ke Nasaret, sebuah kota di negeri Galilea. Gabriel membawa berita untuk seorang gadis bernama Maria. Dia telah bertunang dengan seorang lelaki bernama Yusuf, keturunan Raja Daud. Malaikat itu datang kepada Maria dan berkata, “Salam sejahtera, hai engkau yang sangat diberkati oleh Tuhan! Tuhan menyertai engkau!” Maria gelisah mendengar kata-kata malaikat itu dan dia tertanya-tanya tentang makna salam itu. Malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Maria, kerana Allah berkenan kepada engkau. Engkau akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan Dia Yesus. Dia akan menjadi agung dan akan disebut Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan menjadikan Dia raja seperti Daud, nenek moyang-Nya. Dia akan memerintah sebagai raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan berakhir.”
LUKAS 1:26-33 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka dalam anam bulan mŭliekat Jibrail dititahkan Allah kanŭgri Galilia, yang bŭrnama Nazareth: Kapada sa’orang anak darah yang sudah bŭrtunangan dŭngan sa’orang yang bŭrnama Yusof, kŭturonan Daud; adapun nama anak darah itu Mŭriam. Maka datanglah mŭliekat itu kapadanya, sŭrta katanya, Asalamu aliekom, angkau yang tŭlah mŭndapat kasihan yang maha bŭsar, Tuhan ada bŭsŭrta dŭngan dikau; bŭrbahgialah kiranya angkau diantara pŭrampuan pŭrampuan. Maka apabila dilihat Mŭriam akan dia, maka susahlah iya akan pŭrkataannya itu, maka masoklah dalam fikirannya, apakah macham sŭlam ini garangannya? Maka kata mŭliekat itu kapadanya, Janganlah takot Mŭriam, kŭrna angkau kŭlak akan mŭndapat kasihan deri pada Allah. Maka sŭsungguhnya angkau kŭlak akan mŭngandong dalam rahimmu, dan mŭmpranakkan sa’orang anak laki laki, akan dinamai iya ISA. Iya akan mŭnjadi bŭsar, dan akan dinamai anak yang maha tinggi, dan Allah Tuhan akan mŭmbri padanya takhta bapanya Daud: Maka iyalah kŭlak akan mŭmrentahkan atas sagala rumah Yakob sampie slama lamanya, maka krajaannya tiada akan bŭrsudahan.
LUKAS 1:26-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dalam bulan yang keenam, malaikat Gabriel diutus Allah ke Nazaret, sebuah kota di jajahan Galilea, kepada seorang anak dara yang telah bertunang dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf daripada keturunan Raja Daud. Nama anak dara itu ialah Maria. Malaikat itu datang kepadanya lalu berkata, “Salam kepadamu yang amat diredai! Tuhan bersamamu!” Hati Maria runsing mendengar kata-kata itu dan dia tertanya-tanya akan maksud salam tersebut. Seterusnya malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, hai Maria, kerana engkau telah diredai Allah. Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Yesus. Dia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya. Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaan-Nya berkekalan.”