LUKAS 1:39-55

LUKAS 1:39-55 Alkitab Berita Baik (BM)

Tidak lama kemudian, Maria segera berangkat ke sebuah kota di Yudea, di kawasan pergunungan. Dia pergi ke rumah Zakharia lalu memberikan salam kepada Elisabet. Ketika Elisabet mendengar salam Maria, anak dalam kandungannya bergerak. Elisabet dikuasai oleh Roh Allah, lalu dia berseru, “Berbahagialah kamu antara semua wanita! Berbahagialah anak yang akan kamu lahirkan itu! Mengapakah penghormatan yang sebesar ini diberikan kepadaku, sehingga ibu Tuhanku datang melawat aku? Sebaik sahaja aku mendengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak kerana bersukacita. Alangkah bahagianya kamu kerana percaya bahawa apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadamu akan berlaku!” Maria berkata, “Hatiku menyanjung Tuhan; jiwaku bersukacita kerana Allah, Penyelamatku, Dia ingat akan daku, hamba-Nya yang hina! Mulai sekarang semua orang akan mengatakan aku berbahagia, kerana Allah Maha Kuasa sudah melakukan perkara yang besar untukku. Sucilah nama-Nya. Dia merahmati orang yang menghormati-Nya, keturunan demi keturunan. Dengan tangan-Nya yang berkuasa Dia mencerai-beraikan mereka yang sombong, dan mengacaukan rancangan mereka. Dia menurunkan raja dari takhta lalu meninggikan orang hina. Dia memuaskan orang lapar dengan segala yang baik, tetapi orang kaya diusir-Nya sehingga pergi dengan berhampa tangan. Dia menepati janji-Nya kepada nenek moyang kita; Dia datang untuk menyelamatkan Israel hamba-Nya. Dia tidak lupa merahmati Abraham dan keturunannya selama-lamanya!”

LUKAS 1:39-55 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka bangunlah Mŭriam pada masa itu dŭngan sŭgranya pŭrgi kanŭgri yang bŭrbukit bukit, kapada sa’buah nŭgri Yahuda: Maka masoklah iya kadalam rumah Zakaria, lalu mŭmbri sŭlamlah iya kapada Ilisabeth. Shahadan maka apabila didŭngar ulih Ilisabeth sŭlam Mŭriam itu, maka kanak kanak yang dalam rahimnya itu pun mŭlompat, maka Ilisabeth pun tŭlah pŭnohlah dŭngan Roh Alkudus. Maka iya pun bŭrkatalah dŭngan nyaring suaranya, katanya, Bŭrbahgialah angkau diantara pŭrampuan pŭrampuan, dan bŭrbahgialah adanya buah rahimmu itu. Maka bagimanakah garangannya kapadaku, iya itu ibu Tuhanku akan datang mŭndapatkan aku. Kŭrna sŭsungguhnya sŭrta bunyi sŭlammu itu bŭrbunyi katlingaku, kanak kanak itu pun mŭlompatlah dalam rahimku sŭbab suka chita. Maka bŭrbahgialah kiranya atas pŭrampuan itu yang pŭrchaya, kŭrna akan mŭnjadi pŭrkara pŭrkara yang tŭlah dikatakan kapadanya deripada Tuhan. Maka kata Mŭriam, Bahwa jiwaku adalah mŭmuliakan Tuhan itu. Maka adalah rohku bŭrsuka suka akan Allah Pŭnulongku. Kŭrna iya tŭlah mŭngindahkan karŭndahan dayangnya, kŭrna sŭsungguhnya deripada masa ini sagala kŭturonan kŭlak akan mŭnyŭbut aku slamat. Kŭrna iya yang ada bŭrkwasa tŭlah mŭngadakan bagieku pŭrkara pŭrkara yang bŭsar, maka suchi adanya namanya. Kasihannya ada atas barang siapa yang takot akan dia deripada kŭturonannya kapada kŭturonannya. Iya tŭlah mŭnunjokkan gagahnya dŭngan tangannya; iya tŭlah mŭnaborkan orang orang chongkak itu dalam sangka sangka hatinya. Iya tŭlah mŭnuronkan akan orang yang bŭrkwasa itu deripada kŭdudokannya, dan mŭninggikan orang yang rŭndah halnya itu. Iya tŭlah mŭmŭnohi akan orang yang lapar itu dŭngan pŭrkara yang baik baik, dan yang kaya itu iya tŭlah mŭnghalaukan dŭngan kosongnya. Iya tŭlah mŭnulong hambanya Israil dŭngan pŭringatan akan kasihannya. Spŭrti iya bŭrkata kapada nenek moyang kami kapada Ibrahim, dan kapada kŭturonannya slama lamanya.

LUKAS 1:39-55 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, Maria bersiap-siap dan bergegas pergi ke sebuah kota di kawasan pergunungan Yehuda. Dia masuk ke dalam rumah Zakharia dan memberi salam kepada Elisabet. Apabila Elisabet mendengar salam Maria, anak dalam kandungannya bergerak-gerak dan Elisabet dipenuhi Roh Kudus. Dia berseru, “Diberkatilah engkau antara kaum perempuan, dan diberkatilah juga kandunganmu itu. Siapakah aku ini sehingga ibu Tuhanku datang kepadaku? Apabila kudengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak-gerak dengan kesukaan. Diberkatilah kamu kerana mempercayai apa yang dikatakan kepadamu daripada Tuhan akan berlaku!” Maria berkata, “Jiwaku meninggikan Tuhan; rohku bergembira kerana Allah, Penyelamatku, kerana Dia mengingati hamba-Nya yang hina. Dari sekarang hingga selama-lamanya, orang akan berkata aku diberkati, kerana Yang Maha Kuasa telah melakukan perkara yang besar untuk aku. Sucilah Nama-Nya. Dia mengasihani mereka yang takut akan Dia, daripada satu keturunan kepada satu keturunan yang lain. Dia telah menunjukkan kekuatan tangan-Nya; Dia telah mencerai-beraikan mereka yang berhati bongkak dalam pemikiran mereka. Dia telah menurunkan raja-raja daripada takhta mereka dan mengangkat tinggi orang yang hina; Dia telah memuaskan orang yang lapar dengan segala yang baik tetapi orang kaya dihalau pergi dengan tangan kosong. Dia menolong bangsa Israel, hamba-Nya kerana Dia ingat akan belas kasihan-Nya yang dijanjikan kepada nenek moyang kita Abraham dan semua keturunannya untuk selama-lamanya.”