LUKAS 1:67-79
LUKAS 1:67-79 Alkitab Berita Baik (BM)
Zakharia, bapa Yohanes, dikuasai oleh Roh Allah, lalu menyampaikan berita daripada Allah. Dia berkata, “Marilah kita memuji Tuhan, Allah bangsa Israel! Dia sudah datang untuk menyelamatkan umat-Nya dan membebaskan mereka. Dia mengurniai kita Penyelamat yang berkuasa, seorang keturunan Daud, hamba-Nya. Dahulu kala melalui nabi-nabi yang dipilih-Nya, Tuhan telah berjanji akan menyelamatkan kita daripada musuh, dan daripada kuasa orang yang membenci kita. Dia berjanji akan merahmati nenek moyang kita, serta ingat akan janji-Nya yang suci itu. Dia bersumpah kepada nenek moyang kita Abraham, dan berjanji akan menyelamatkan kita daripada musuh, serta membolehkan kita mengabdikan diri kepada-Nya tanpa takut, supaya kita menjadi suci dan menyenangkan hati-Nya sepanjang hidup kita. Engkau, hai anakku, akan disebut nabi Allah Yang Maha Tinggi. Engkau diutus terlebih dahulu daripada Tuhan supaya merintis jalan untuk-Nya, supaya memberitahu umat-Nya bahawa mereka akan diselamatkan, apabila Allah mengampunkan dosa mereka. Allah kita pengasih dan penyayang. Bagi menyelamatkan kita Dia akan datang bagaikan fajar terang yang menyinari semua orang yang hidup dalam kegelapan dan di bawah bayang maut. Dia akan memimpin kita ke jalan yang menuju kedamaian.”
LUKAS 1:67-79 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka adalah Zakaria bapanya itu tŭlah pŭnohlah dŭngan Roh Alkudus, lalu bŭrnabuatlah iya katanya, Slamatlah kiranya Allah Tuhan bagie Israil, kŭrna iya mŭlawat sŭrta mŭnŭbus akan kaumnya. Maka tŭlah mŭmbangunkan suatu tandok slamat bagie kami dalam rumah hambanya Daud. Spŭrti yang tŭlah iya bŭrkata kata dŭngan mulot nabi nabinya yang suchi, yang tŭlah lalu sŭmŭnjak dunia ini dimulai. Supaya kita akan tŭrlŭpas deripada sŭtru sŭtru kami, dan deripada tangan sagala yang mŭmbŭnchikan kita. Akan mŭngadakan kasihan yang tŭlah dijanjikan kapada nenek moyang kami, dan akan tŭringat pŭrjanjiannya yang suchi itu. Adapun sumpah yang tŭlah iya bŭrsumpah kapada nenek moyang kami Ibrahim, Iya mŭngurniakan kapada kami, supaya kami yang tŭlah tŭrlŭpas deripada tangan sŭtru sŭtru kami bulih bŭribadat kapadanya dŭngan tiada kŭtakotan. Dŭngan kŭsuchian, dan kŭbŭnaran dihadapannya sa’umor hidop kita. Maka angkau, kanak kanak akan dinamai nabi Kŭtinggian, kŭrna angkaulah akan pŭrgi dahulu kahalrat Tuhan, akan mŭnyŭdiakan jalan jalannya. Akan mŭmbri pŭngtahuan slamat kapada kaumnya dŭngan mŭnghapuskan dosa dosanya. Dŭngan kasihan Allah kami yang lŭmah lŭmbut, sŭbab itulah dini hari deri kŭtinggian tŭlah mŭlawat akan kami. Akan mŭmbri trang kapada marika itu yang dudok dalam gŭlap, dan dalam bayang bayang kŭmatian; akan mŭmimpin kaki kami kŭdalam jalan slamat.
LUKAS 1:67-79 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Bapanya, Zakharia, dipenuhi dengan Roh Kudus lalu bernubuat, “Segala puji bagi Tuhan, Allah Israel! Kerana Dia telah datang dan menebus umat-Nya; Dia telah mengurniai kita seorang Penyelamat yang berkuasa, seorang daripada keturunan hamba-Nya, Daud. Demikianlah firman-Nya dengan perantaraan nabi-nabi-Nya yang suci dari zaman dahulukala, Dia berjanji menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita, dan daripada tangan semua orang yang membenci kita; Dia mengasihani nenek moyang kita, dan mengingati perjanjian-Nya yang suci, Dia berjanji kepada nenek moyang kita, Abraham, untuk menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita supaya tanpa rasa takut kita beribadat kepada-Nya dalam kesucian dan perbenaran sepanjang hidup kita. Engkau, anakku, akan digelar nabi Allah Yang Maha Tinggi kerana engkau mendahului Tuhan demi menyediakan jalan-Nya, dan memberitahu umat-Nya bahawa mereka diselamatkan apabila dosa mereka diampunkan. Oleh sebab Allah kita mengasihani kita, cahaya matahari akan terbit dari tempat tinggi untuk menerangi orang yang tinggal dalam kegelapan dan bayang maut serta memimpin kita ke jalan damai.”