LUKAS 12:22-31
LUKAS 12:22-31 Alkitab Berita Baik (BM)
Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu: Janganlah khuatir tentang hidup kamu, tentang apa yang akan kamu makan, atau apa yang akan kamu pakai. Hidup itu lebih berharga daripada makanan, dan tubuh lebih berharga daripada pakaian. Perhatikanlah burung gagak yang tidak menanam benih, tidak menuai tuaian dan tidak mempunyai gudang atau jelapang, tetapi dipelihara oleh Allah! Kamu jauh lebih berharga daripada burung! Siapakah antara kamu yang dengan kekhuatiran dapat memanjangkan umur walaupun sedikit? Jika kamu tidak dapat menguasai perkara sekecil itu, mengapa kamu khuatir akan perkara-perkara lain? Lihatlah bunga bakung yang tumbuh di padang; bunga itu tidak bekerja dan tidak menenun. Tetapi ketahuilah, Raja Salomo dengan segala kekayaannya tidak berpakaian seindah bunga itu! Jika Allah menghiasi rumput di padang yang ada pada hari ini tetapi keesokan harinya dibakar di dapur, tidakkah Dia akan memastikan kamu berpakaian? Alangkah lemahnya iman kamu! Oleh itu, janganlah khuatir dan janganlah selalu fikirkan apa yang hendak kamu makan dan minum. (Orang yang tidak mengenal Allah selalu memikirkan hal-hal itu.) Bapa kamu tahu bahawa kamu memerlukan semua itu. Sebaliknya, utamakanlah Pemerintahan Allah dengan melakukan apa yang dikehendaki oleh Allah, maka semua itu akan diberikan oleh Allah kepada kamu.”
LUKAS 12:22-31 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka katanya kapada murid muridnya, Sŭbab itulah aku bŭrkata kapadamu, janganlah angkau mŭnaroh fikiran deri hal kahidopanmu, apakah yang patut kamu makan; baik deri pada tubohmu, apa yang angkau handak pakie. Adapun nyawa itu tŭrlebih deripada makanan, dan tuboh itu tŭrlebih deripada pakiean. Timbangkanlah akan hal burong burong gagak; kŭrna iya itu tiada mŭnanam dan mŭnuwie; tiada pula iya mŭnaroh kŭdie atau langguan, maka Allah mŭmbri rŭzkinya; maka bŭbrapakah lebihnya kamu ini deripada onggas onggas itu? Siapakah diantara kamu handak bŭrfikir bulih bŭrtambah lanjut sahasta umornya? Kalau kamu kiranya tiada bulih mŭmbuat akan pŭrkara yang tŭrkŭchil itu, mŭngapakah kamu mŭnaroh fikiran akan pŭrkara yang lain lain? Timbangkanlah akan hal bunga lili itu, bagimanakah iya bŭrtumboh, tiada iya bŭrusaha, dan tiada iya mŭmintal; akan tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, adapun Sulieman dalam sagala kŭmuliaannya, tiada dihiasi spŭrti suatu deripada bunga bunga itu. Maka jikalau kiranya dŭmkian Allah mŭnghiasi akan rumpot itu yang ada pada hari ini dalam padang, dan esoknya dibuangkan kŭdalam dapor, maka brapakah lebihnya bulih iya mŭnghiasi angkau, hie kamu yang kurang iman? Maka janganlah kamu susahkan, apakah yang kamu handak makan, atau apakah yang kamu handak minum, atau jangan mŭnaroh waswas dalam hatimu. Kŭrna sagala pŭrkara inilah dichari ulih bangsa bangsa dalam dunia, maka Ayahmu mŭngtahui sagala pŭrkara ini ada bŭrguna kapada kamu. Akan tŭtapi tŭrutamalah kamu chari krajaan Allah, adapun sagala pŭrkara ini akan ditambahi kapadamu.
LUKAS 12:22-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: “Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Janganlah khuatir tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai. Hidup lebih daripada makanan, dan tubuh lebih daripada pakaian. Perhatikanlah burung gagak yang tidak menyemai atau menuai, tidak mempunyai gudang atau rengkiang, tetapi Allah memberinya makan. Kamu jauh lebih bernilai daripada burung-burung itu! Siapakah dalam kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan menaruh khuatir? Jika kamu tidak dapat membuat perkara yang sekecil ini, mengapakah kamu khuatir tentang hal-hal yang lain? Lihatlah bunga bakung, yang tidak bekerja atau bertenun. Namun demikian, Aku berkata kepadamu: Raja Salomo dengan segala kemegahannya pun tidak berpakaian seindah bunga itu. Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang wujud hari ini dan esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan lebih-lebih lagi memberimu pakaian? Begitu tipis kepercayaanmu! Jadi, janganlah kamu utamakan makanan dan minuman serta janganlah runsing. Bangsa-bangsa di dunia yang tidak mengenal Allah mengutamakan perkara-perkara ini, tetapi Bapamu mengetahui kamu memerlukan semua itu. Sebaliknya, utamakanlah kerajaan Allah dan semuanya itu akan diberikan kepadamu.”