LUKAS 20:9-26

LUKAS 20:9-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada orang ramai. “Ada seorang yang menanami ladang anggur, lalu menyewakannya kepada beberapa orang. Setelah itu dia pergi ke negeri lain dan tinggal lama di sana. Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. Tetapi para penyewa ladang memukul hamba itu dan menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. Pemilik ladang itu mengutus seorang lagi hambanya. Tetapi para penyewa ladang itu juga memukul hamba ini, mempermalukan dia, lalu menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. Kemudian pemilik ladang itu mengutus hamba ketiga. Penyewa-penyewa ladang itu juga mencederakan hamba ini dan membuang dia ke luar ladang itu. Pemilik ladang itu berkata, ‘Apakah yang harus aku lakukan? Aku akan mengutus anakku yang aku kasihi. Tentu mereka akan menghormati dia!’ Tetapi apabila para penyewa ladang itu nampak dia, mereka bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Mari kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya.’ Oleh itu mereka membuang dia ke luar ladang lalu membunuh dia.” Lalu Yesus bertanya, “Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang itu terhadap para penyewa ladang anggur itu? Dia akan datang dan membunuh semua penyewa ladang itu, lalu menyerahkan ladang itu kepada penyewa-penyewa lain.” Apabila orang di situ mendengar hal itu, mereka berkata, “Janganlah perkara ini berlaku!” Yesus memandang mereka lalu bertanya, “Jika demikian, apakah makna ayat Alkitab ini? ‘Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama.’ Semua orang yang jatuh pada batu itu akan hancur; dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan tergilas menjadi debu.” Semua guru Taurat dan ketua imam di situ cuba menangkap Yesus pada saat itu juga, kerana mereka tahu bahawa perumpamaan itu ditujukan kepada mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. Oleh itu mereka menunggu peluang yang baik. Mereka menyuap beberapa orang supaya berpura-pura, dan mengutus mereka untuk memerangkap Yesus dengan pertanyaan. Dengan demikian mereka dapat menyerahkan Yesus kepada kekuasaan gabenor. Lalu beberapa orang itu berkata kepada Yesus, “Guru, kami tahu bahawa apa yang guru katakan dan ajarkan itu benar. Kami tahu bahawa guru tidak memandang kedudukan orang, tetapi guru mengajar kehendak Allah bagi manusia dengan terus terang. Katakanlah, menurut Taurat bolehkah kita membayar cukai kepada Kaisar Roma?” Yesus mengetahui muslihat mereka. Dia berkata, “Tunjukkan sekeping mata wang kepada-Ku. Gambar dan nama siapakah ini?” “Kaisar!” jawab mereka. Oleh itu Yesus berkata, “Baiklah, jika demikian, berikan apa yang menjadi milik Kaisar kepada Kaisar dan berikan apa yang menjadi milik Allah kepada Allah.” Mereka tidak dapat mencari kesalahan Yesus di hadapan orang ramai. Mereka diam sahaja kerana hairan mendengar jawapan-Nya.

LUKAS 20:9-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Sŭtlah itu maka dimulainyalah bŭrkata kata kapada kaum itu akan pŭrumpamaan ini: Maka adalah sa’orang anu itu mŭmbuat suatu kŭbon anggor, disewakannya kapada orang orang ladang, lalu pŭrgilah iya kanŭgri yang jauh brapa lama. Maka datang musim buah, disurohkannya sa’orang hambanya pŭrgi kapada orang orang ladang itu, supaya marika itu patut mŭmbri buah buah deri pada kŭbon anggor itu, tŭtapi orang orang ladang itu mŭmalu akan dia, sŭrta dihalaukannya dŭngan kosong. Maka kumdian pula disurohkannya sa’orang hambanya yang lain, itu pun dipalunya juga, dan dipŭrbuat ulih marika itu akan dia sampie malulah iya, sŭrta dihalaukannya dŭngan kosongnya. Kumdian pula disurohkannya yang katiga, itu pun dilukakan ulih marika itu akan dia, sŭrta dibuangkannya kluar. Sŭtlah itu maka kata tuan yang ampunya kŭbon anggor itu, Apakah patut kupŭrbuat? Aku akan mŭnyurohkan anakku yang kŭkasih, ŭntah barang kali nanti juga dihormatkan ulih marika itu akan dia, apa bila dilihatnya dia. Tŭtapi apabila dilihat ulih orang orang ladang itu akan dia, maka bŭrfikirlah marika itu sama sŭndirinya, katanya, Inilah warith, marilah kita bunoh akan dia, supaya pusakanya itu jadi kita punya. Maka dŭngan hal yang dŭmkian dibuangkannya akan dia kluar deripada kŭbon anggor itu, lalu dibunohnya akan dia. Maka sŭbab itu apakah dipŭrbuat ulih tuan yang ampunya kŭbon anggor itu akan marika itu? Maka iya kŭlak akan datang mŭmbinasakan akan orang orang ladang itu, dan akan dibrikannya kŭbon anggor itu kapada orang orang yang lain. Maka apabila didŭngar ulih kaum itu, maka katanya, Dijahukan Allah! Maka dilihat ulih Isa akan marika itu, katanya, Kalau bŭgitu apakah ini yang tŭlah tŭrtulis, Adapun batu yang ditolakkan ulih tukang rumah itu, iya itu juga yang tŭlah mŭnjadi kŭpala pŭnjuru rumah. Maka barang siapa yang jatoh ka’atas batu itu, nŭschaya pŭchahlah iya; akan tŭtapi kapada barang siapa yang ditimpah ulih batu itu kŭlah dihanchur lulohkannyalah akan dia. Maka kŭpala kŭpala imam, dan khatib khatib pada masa itu juga mŭnchari jalan handak mŭnaikkan tangan ka’atasnya; maka takotlah marika itu akan kaum itu, kŭrna marika itu mŭndapat kŭnyataannya, adapun iya bŭrkata pŭrumpamaan itu akan mŭnŭmplak marika itu. Maka dijagailah ulih marika itu akan Isa, lalu disurohkannya suloh suloh akan mŭmbuat buat dirinya spŭrti orang orang bŭnar supaya bulih ditangkap ulih marika itu akan pŭrkataannya supaya dŭmkian itu dapat disŭrahkannya akan dia pada kwasa dan pŭrentah raja. Maka ditanya marika itu akan dia, katanya, Guru, bahwa kami kŭtahui pŭrkataanmu dan pŭngŭjaranmu bŭtul adanya, dan tidak pula angkau kŭchualikan barang sa’orang mŭlainkan mŭngajarkan jalan Allah dŭngan sŭbŭnarnya. Adakah patut bagie kami mŭmbayar chukie kapada Kiesar atau tidak? Tŭtapi dikŭtahuinya akan daya upaya marika itu, maka katanya kapadanya, Mŭngapakah kamu mŭnchobai aku. Unjokkanlah padaku satu dinar, siapakah punya gambar, dan tulisan diatasnya itu? Maka jawab marika itu, sŭrta katanya Kiesar. Maka katanya kapada marika itu, Sŭbab itu brikanlah kapada Kiesar, barang yang Kiesar punya, dan kapada Allah barang yang Allah punya. Maka tiadalah dapat ditangkap ulih marika itu akan pŭrkataanya dihadapan kaum itu, sŭrta hieranlah marika itu akan jawabnya, maka tŭrdiamlah marika itu.

LUKAS 20:9-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian Yesus menceritakan ibarat ini kepada orang ramai: “Seorang menanam ladang anggur. Dia menyewakan ladang itu kepada beberapa penyewa lalu berangkat ke negeri lain dan tinggal beberapa lama di situ. Apabila tiba musim memetik, dia menyuruh seorang hamba pergi kepada para penyewa itu supaya mereka memberikan sebahagian daripada hasil ladang anggur kepadanya. Tetapi para penyewa itu memukul hamba itu lalu menyuruhnya pergi dengan tangan kosong. Dia menyuruh seorang hamba yang lain pula. Tetapi para penyewa itu memukulnya, mencercanya dan mengusirnya pergi dengan tangan kosong juga. Tuan itu menyuruh hamba yang ketiga pula. Tetapi para penyewa itu mencederakannya lalu mengusirnya. Pemilik ladang itu berkata, ‘Apakah yang hendak kubuat? Baik kusuruh anakku yang kukasihi. Tentu para penyewa itu akan menghormatinya.’ Tetapi apabila para penyewa itu melihatnya, mereka berbincang sesama sendiri, ‘Inilah warisnya. Marilah kita bunuh dia supaya ladang ini menjadi hak kita.’ Mereka pun mengusirnya keluar dari ladang lalu membunuhnya.” Yesus bertanya, “Apakah yang akan dilakukan oleh tuan ladang anggur itu terhadap para penyewa tersebut? Sudah tentu dia akan datang dan membunuh para penyewa itu lalu menyewakan ladang anggur itu kepada orang lain pula.” Setelah orang ramai itu mendengar ibarat ini, mereka berkata, “Semoga tidak begitu!” Tetapi Yesus memandang mereka dan bertanya, “Kalau begitu, apakah maksud ayat yang tersurat ini: ‘Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru’? Sesiapa yang jatuh pada batu itu akan hancur luluh, dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan remuk-redam.” Ahli-ahli Taurat dan ketua-ketua imam cuba menangkap Yesus ketika itu juga kerana mereka tahu ibarat itu ditujukan terhadap mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. Mereka menunggu peluang. Lalu mereka mengutus beberapa orang supaya berpura-pura ikhlas untuk memerangkap Yesus dengan mengemukakan pertanyaan tertentu supaya mereka dapat menyerahkan Yesus ke dalam kekuasaan dan bidang kuasa pemerintah. Mereka bertanya kepada Yesus, “Guru, kami tahu apa yang Engkau katakan dan ajarkan itu betul. Guru, kami juga tahu bahawa Engkau tidak pilih kasih tetapi dengan ikhlas mengajar cara Allah berdasarkan yang benar. Wajarkah kami membayar cukai kepada Kaisar atau tidak?” Yesus mengetahui niat muslihat mereka lalu berkata, “Tunjukkanlah Aku sekeping wang dinar. Gambar dan nama siapakah ini?” Mereka menjawab, “Gambar dan nama Kaisar.” Yesus berkata kepada mereka, “Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan milik Allah kepada Allah.” Mereka tidak dapat memerangkap Yesus mengenai apa yang Dia katakan di hadapan orang ramai itu. Maka mereka diam sahaja kerana kagum akan jawapan-Nya.