MATIUS 1:20-25
MATIUS 1:20-25 Alkitab Berita Baik (BM)
Yusuf mempertimbangkan perkara itu. Kemudian dalam mimpi, malaikat Tuhan menampakkan diri kepadanya. Malaikat itu berkata, “Hai Yusuf, keturunan Daud! Janganlah takut memperisteri Maria. Dia mengandung kerana kuasa Roh Allah. Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu harus engkau namakan Yesus, kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.” Semua itu berlaku supaya terjadilah apa yang difirmankan oleh Tuhan melalui nabi-Nya, “Seorang anak dara akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu akan dinamakan Imanuel.” (Dalam bahasa Ibrani, Imanuel bererti, “Allah menyertai kita”). Apabila Yusuf terjaga, dia melakukan apa yang dikatakan oleh malaikat Tuhan itu. Dia berkahwin dengan Maria. Tetapi Yusuf tidak berseketiduran dengan Maria sehingga Maria melahirkan anak lelakinya. Yusuf menamakan anak itu Yesus.
MATIUS 1:20-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Adapun tŭtkala iya bŭrfikir dŭmkiam itu, hieran, dilihatnyalah sa’orang Maliekat Tuhan dalam mimpi, katanya, hie Yusof, anak Daud, bahwa janganlah angkau takot mŭnŭrima Mŭriam itu akan istrimu, kŭrna gandongannya itu tŭlah jadi dŭngan kuasa Roh Alkudus. Maka iya kŭlak akan bŭranak sa’orang anak laki laki, dan handaklah angkau namai akan dia ISA: kŭrna iyalah kŭlak akan mŭlŭpaskan umatnya deri pada dosanya. Adapun sagala hal ini tŭlah jadi supaya gŭnaplah pŭrkara yang dikatakan ulih Nabi iya itu deripada Tuhan, katanya, Tengoklah sa’orang anak darah itu akan mŭngandong dan bŭranakkan sa’orang anak laki laki, maka iya itu akan dinamai Imanuel, yang tŭrsalin artinya, Allah sŭrta kami. Maka apabila bangunlah Yosof deripada tidornya, maka dipŭrbuatnyalah spŭrti surohan maliekat itu kapadanya, lalu ditrimanyalah tunangannya itu. Maka tiadalah iya bŭrdamping dŭngan dia sabŭlom dipranakkannya anaknya yang sulong itu: maka dinamai ulih Yosof akan kanak kanak itu ISA.
MATIUS 1:20-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dia memikirkan hal itu sehalus-halusnya. Suatu malam dia bermimpi bahawa malaikat Tuhan memperlihatkan diri kepadanya lalu berkata, “Hai Yusuf, anak Daud! Janganlah takut mengambil Maria sebagai isterimu kerana anak di dalam kandungannya adalah daripada Roh Kudus. Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Namakanlah anak itu Yesus. Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.” Segala ini berlaku supaya terlaksanalah firman Tuhan melalui nabi-Nya: “Seorang anak dara akan mengandung, dan melahirkan seorang anak lelaki, dan mereka akan menamai Dia Immanuel” yang bererti, Allah menyertai kita dalam bahasa Ibrani. Apabila Yusuf terjaga, dia pun mematuhi apa yang disampaikan oleh malaikat Tuhan itu lalu berkahwin dengan Maria. Tetapi Yusuf tidak bersentuh dengan Maria sebagai isterinya hinggalah Maria melahirkan Anak itu. Yusuf menamai Anak itu Yesus.