Logo Apl Bible
Ikon Carian

MATIUS 13:13-29 - Bandingkan Semua Versi

MATIUS 13:13-29 BM (Alkitab Berita Baik)

Itulah sebabnya Aku menggunakan perumpamaan ketika berkata-kata kepada orang ramai, kerana mereka melihat tetapi tidak nampak dan mereka mendengar tetapi tidak mengerti. Dengan perbuatan mereka itu berlakulah nubuat Nabi Yesaya, ‘Allah berfirman: Mereka akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham; mereka akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak, kerana seolah-olah fikiran mereka tumpul; telinga pekak, dan mata buta. Jika mereka tidak demikian, tentu mata mereka akan melihat, telinga akan mendengar, dan fikiran boleh mengerti, sehingga mereka kembali kepada-Ku, dan Aku pun akan menyembuhkan mereka.’ Tetapi kamu sangat bertuah! Mata kamu melihat dan telinga kamu mendengar. Ketahuilah! Banyak nabi dan orang yang melakukan kehendak Allah ingin melihat apa yang kamu lihat sekarang ini, tetapi tidak dapat melihatnya. Mereka ingin mendengar apa yang kamu dengar tetapi tidak dapat mendengarnya.” “Dengarlah dan ketahuilah makna perumpamaan tentang seorang penabur itu. Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran tentang bagaimana Allah memerintah, tetapi tidak memahaminya. Si Jahat iaitu Iblis datang lalu merampas apa yang sudah ditabur di dalam hati mereka. Benih yang jatuh di tempat yang berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu lalu segera menerimanya dengan sukacita. Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati, sehingga mereka tidak tahan lama. Apabila mereka menderita kesusahan atau penganiayaan oleh sebab perkhabaran itu, segera mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu. Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kekhuatiran tentang hidup dan keinginan untuk hidup mewah membantutkan perkhabaran itu sehingga tidak berbuah. Benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu lalu memahaminya, dan berbuah banyak; ada yang seratus kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang tiga puluh kali ganda.” Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain kepada mereka. “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti seorang yang menabur benih yang baik di ladangnya. Pada suatu malam, ketika semua orang sedang tidur, musuhnya datang lalu menanam lalang di antara gandum itu, kemudian dia pergi. Apabila tanaman itu membesar dan bulir gandum muncul, lalang-lalang itu kelihatan. Hamba peladang itu datang kepadanya dan berkata, ‘Tuan menanam benih yang baik di ladang. Dari manakah datangnya lalang-lalang ini?’ Peladang itu menjawab, ‘Seorang musuh sudah melakukan perkara ini.’ Hambanya bertanya, ‘Adakah tuan mahu kami mencabut lalang-lalang itu?’ ‘Tidak,’ jawabnya, ‘kerana pada masa kamu mencabut lalang, mungkin gandum ikut tercabut.

MATIUS 13:13-29 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Aku bercakap kepada mereka melalui ibarat: ‘Kerana mereka melihat tetapi tidak nampak, mereka mendengar tetapi tidak mengerti.’ Keadaan mereka ini tepat seperti terdapat dalam nubuat Nabi Yesaya: ‘Kamu terus mendengar tetapi tidak mengerti; kamu akan terus melihat tetapi tidak mengetahui. Kerana hati umat ini telah buntu, mereka pekakkan telinga, dan pejamkan mata. Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat dengan mata, mendengar dengan telinga, dan mengerti dengan hati, lalu berpaling kepada-Ku dan Aku menyembuhkan mereka.’ Tetapi diberkatilah matamu kerana melihat, dan telingamu kerana mendengar. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, ramai nabi dan orang yang benar berhasrat melihat apa yang kamu lihat tetapi tidak melihatnya dan mendengar apa yang kamu dengar tetapi tidak mendengarnya.” “Oleh itu, dengarlah maksud ibarat penyemai benih: Apabila seseorang mendengar perkhabaran kerajaan Allah dan tidak memahaminya, akan datanglah si durjana menyambar apa yang telah ditabur dalam hatinya. Orang inilah yang menerima benih di tepi jalan. Orang yang menerima benih di tempat berbatu pula bermaksud orang yang mendengar firman itu dan terus menerimanya dengan sukacita. Tetapi dia tidak berakar, maka hanya tahan seketika. Sebaik-baik dia menanggung kesusahan atau penganiayaan kerana firman itu, imannya pun segera luntur. Orang yang menerima benih di semak duri ialah orang yang mendengar firman itu, tetapi kerunsingan tentang hal-hal dunia dan tarikan palsu harta kekayaan membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah. Tetapi orang yang menerima benih di tanah subur ialah orang yang mendengar firman itu dan memahaminya lalu menghasilkan seratus kali, enam puluh kali bahkan tiga puluh kali ganda.” Yesus menceritakan satu ibarat lagi: “Kerajaan syurga ibarat orang menabur benih yang baik di ladangnya. Pada waktu malam apabila semua orang sedang tidur, musuhnya datang menanam lalang di antara gandum itu. Setelah gandum itu membesar, lalang pun tumbuh juga. Hamba peladang berkata, ‘Tuan menabur benih yang baik, dari mana pula datangnya lalang itu?’ Jawab peladang itu, ‘Ini perbuatan musuh.’ Hamba itu bertanya, ‘Adakah tuan hendak kami mencabut lalang itu?’ ‘Tidak,’ jawab peladang itu, ‘takut tercabut gandum juga sewaktu kamu mencabut lalang itu.

MATIUS 13:13-29 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))

Sŭbab itulah aku bŭrkata padanya dŭngan pŭrumpamaan, kŭrna sungguh pun marika itu mŭlihat, tŭtapi tiada dilihatnya; dan sungguh pun iya mŭnŭngar, tŭtapi tiada didŭngarnya, atau mŭngarti adanya. Maka tŭlah gŭnaplah bagie marika itu barang yang tŭlah dinabuatkan ulih nabi Jasia, katanya, Bahwa dŭngan pŭnŭngaran kamu akan mŭnŭngar, tŭtapi tiada juga kamu mŭngarti, dan dŭngan pŭnglihatan kamu akan mŭlihat, tŭtapi tiada juga kamu mŭngtahui. Kŭrna tŭlah tŭballah hati kaum itu, dan bratlah pŭnŭngaran tlinganya, maka ditutopkannya matanya, supaya barang kutika pun jangan iya mŭmandang dŭngan matanya, dan mŭnŭngar dŭngan tlinganya, sŭrta mŭngarti dŭngan hatinya, sambil bŭrtaubat, sahingga kusŭmbohkan dia. Tŭtapi bŭrbahgialah mata kamu, kŭrna iya mŭlihat, dan tlinga kamu kŭrna iya mŭnŭngar. Kŭrna sasungguhnya aku bŭrkata kapadamu, bahwa banyaklah nabi dan orang orang bŭnar tŭlah bŭrkahandak akan mŭlihat pŭrkara yang kamu lihat ini, maka tiada juga dapat dilihatnya; dan handak mŭnŭngar pŭrkara yang kamu dŭngar, maka tiada juga dapat didŭngarnya. Maka sŭbab itu dŭngarlah ulihmu pŭrumpamaan orang yang mŭnabor bŭnih itu: Maka apabila barang sa’orang yang mŭnŭngar pŭrkataan krajaan Allah, maka tiada iya mŭngarti akan dia itu, maka datanglah sikapala jahat itu mŭmungot yang tŭlah tŭrtabor dalam hatinya itu; maka dŭmkianlah halnya orang yang tŭlah mŭnŭrima bŭnih ditŭpi jalan. Tŭtapi yang tŭlah ditabori pada tŭmpat yang bŭrbatu, maka iya itulah orang yang mŭnŭngar pŭrkataan itu, maka sŭgralah ditrimanya dŭngan kasukaan: Tŭtapi tiadalah bŭrakar dalam dirinya, mŭlainkan skutika sahja adanya; kŭrna apabila datanglah kasukaran, atau annyaya tŭrsŭbab pŭrkataan itu, maka kumdian kŭlak iya ŭnggan. Adapun yang tŭlah ditabori diantara duri duri itu, maka iya itulah orang yang mŭnŭngar pŭrkataan itu, maka pŭrchintaan deri hal dunia ini, sŭrta tipu daya kŭkayaannya, mŭlŭmaskan pŭrkataan itu, sahingga tiadalah iya bulih bŭrbuah. Adapan yang ditabori pada tanah yang baik, iya itulah orang yang mŭnŭngar pŭrkataan itu, sŭrta ditarohnya hati akan dia, maka bŭrbuahlah iya bŭrgandah gandah, ada yang sratus, ada yang anam puloh, ada yang tiga puloh banyaknya. ¶ Suatu pŭrumpamaan yang lain pula diadakannya pada marika itu, katanya, Adapun krajaan shorga itu diumpamakan dŭngan sa’orang yang mŭnabor bŭnih yang baik diladangnya; Maka tŭngah orang tidor, datanglah sŭtrunya mŭnabor pula bŭnih lalang dalam gandom itu lalu pŭrgi. Tŭtapi apabila bŭrdaun dan bŭrbuah gadom itu, maka klihatanlah ada pula lalang itu. Maka datanglah hamba hamba orang yang ampunya ladang itu mŭngatakan padanya, Tuan, bahwa bukankah angkau tŭlah mŭnabori bŭnih yang baik dalam ladangmu itu, maka deri mana pula datangnya lalang itu? Maka jawabnya pada marika itu, Iya itulah pŭrbuatan sŭtru adanya. Maka kata hamba hambanya itu padanya, Mahukah angkau supaya kami pŭrgi mŭnchabutkan dia itu? Maka jawabnya Jangan; kalau kalau apabila kamu mŭnchabut lalang itu kŭlak, jangan pula tŭrchabut gandom itu pun bŭrsama sama.