MATIUS 15:21-28
MATIUS 15:21-28 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kawasan dekat bandar Tirus dan Sidon. Seorang wanita Kanaan yang tinggal di kawasan itu datang kepada Yesus dan berseru, “Anak Daud, kasihanilah saya! Anak perempuan saya dirasuk roh jahat dan keadaannya amat teruk.” Yesus tidak menjawab sepatah kata pun. Pengikut-pengikut-Nya datang dan memohon kepada-Nya, “Suruhlah wanita ini pergi. Dia mengikut kita dan membuat bising sahaja!” Yesus berkata kepada wanita itu, “Aku diutus hanya kepada orang Israel yang seperti domba yang sesat.” Mendengar kata-kata itu, wanita itu menghampiri Yesus dan sujud di hadapan-Nya. Dia berkata, “Tuan, tolonglah saya.” Tetapi Yesus menjawab, “Tidaklah patut mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anjing.” “Betul, tuan,” jawab wanita itu, “tetapi anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.” Oleh itu Yesus berkata kepadanya, “Kamu seorang wanita yang sungguh percaya kepada-Ku! Apa yang kamu kehendaki akan berlaku!” Pada saat itu juga anak wanita itu sembuh.
MATIUS 15:21-28 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Shahadan maka Isa pun kluarlah deri sana, lalu pŭrgilah iya kapada jajahan Thor dan Sidon. Maka hieran, kluarlah sa’orang pŭrampuan Kanaan deri pada jajahan itu, sambil iya bŭrtriak akan Isa katanya, Ya Tuhan, anak Daud, kasihankanlah aku, bahwa anakku pŭrampuan tŭrkŭna ulih jin, tŭrlalu sangat sakit. Maka barang sapatah kata jua pun tiada disahut Isa akan dia; maka datanglah murid muridnya mŭminta padanya, katanya, Surohkanlah pŭrampuan itu pŭrgi, kŭrna iya mŭnjŭret mŭngikot blakang kita. Maka sahut Isa, Bahwa aku ini bukannya disurohkan pada yang lain, mŭlainkan kapada domba yang hilang, iya itu kaum bŭnih Israil. Maka pŭrampuan itu pun datanglah sujud kapadanya, katanya, Tuhan, tolonglah hamba. Maka mŭnyahutlah Isa sambil bŭrkata, Bahwa tiada patut aku mŭngambil makanan kanak kanak itu dibrikan kapada anjing. Maka bŭrkatalah pŭrampuan itu, Bŭnarlah Tuhan, mŭlainkan anjinglah yang mŭmakan deripada remah yang jatoh deri atas meja tuannya. Sŭtlah itu, maka dijawab Isa sŭrta bŭrkata kapadanya, Hie pŭrampuan, bŭsarlah imanmu, jadilah juga kapadamu spŭrti kahandakmu; maka pada kutika itu juga sŭmbohlah anak pŭrampuan itu.
MATIUS 15:21-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus beredar dari situ, dan pergi ke kawasan berhampiran bandar Tirus dan Sidon. Seorang wanita Kanaan yang tinggal di situ datang mendapatkan Yesus sambil berseru, “Wahai Tuan, Anak Daud! Kasihanilah aku! Anak perempuanku dirasuk roh iblis, dan menderita!” Yesus diam tidak menjawab. Para murid-Nya memohon kepada-Nya, “Suruhlah wanita itu pergi. Dia mengikut kita meraung-raung.” Yesus berkata kepada wanita itu, “Aku diutus khusus kepada keturunan kaum Israel yang seperti domba yang hilang.” Wanita itu mendekati Yesus dan menyembah-Nya sambil berkata, “Tuan, tolonglah aku.” Yesus menjawab, “Tidak patut mengambil roti anak-anak dan mencampakkannya kepada anjing.” “Benar, Tuan,” balas wanita itu, “tetapi anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.” Oleh yang demikian Yesus berkata kepadanya, “Kamu seorang wanita yang teguh iman. Apa yang kamu inginkan itu akan berlaku.” Serta-merta anak wanita itu pulih.