MATIUS 2:13-23

MATIUS 2:13-23 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah mereka berangkat, malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Yusuf dalam mimpi dan berkata, “Herodes akan mengeluarkan perintah untuk mencari Anak itu dan membunuh Dia. Bangunlah dan bawalah Anak itu dengan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di sana sehingga Aku berfirman lagi kepadamu.” Yusuf bangun, dan pada malam itu juga dia membawa Anak itu dengan ibu-Nya ke Mesir. Mereka tinggal di sana sehingga Raja Herodes mangkat. Dengan demikian berlakulah apa yang difirmankan oleh Tuhan melalui nabi-Nya, “Aku memanggil Anak-Ku keluar dari Mesir.” Apabila Raja Herodes sedar bahawa ahli-ahli kaji bintang dari timur sudah memperdayakannya, Raja Herodes murka. Lalu Raja Herodes memberikan perintah supaya semua anak lelaki di Betlehem dan sekitarnya, yang berumur dua tahun ke bawah dibunuh. Hal ini sesuai dengan keterangan ahli-ahli kaji bintang tentang masa bintang itu mula kelihatan. Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia, “Di Rama terdengar suara tangisan dan rintihan, ratapan, dan tangisan penderitaan. Rahel meratapi anak-anaknya, dia tidak mahu dihiburkan, kerana anak-anaknya telah tiada.” Setelah Raja Herodes mangkat, malaikat Tuhan menampakkan diri dalam mimpi Yusuf. Pada masa itu Yusuf masih di Mesir. Malaikat itu berkata, “Bangunlah dan bawalah Anak itu dengan ibu-Nya kembali ke negeri Israel, kerana orang yang cuba membunuh Anak itu sudah meninggal.” Yusuf pun bangun, lalu membawa anak itu dan Maria kembali ke negeri Israel. Tetapi apabila Yusuf mendengar bahawa Arkelaus, putera Herodes, sudah menggantikan bapanya sebagai raja negeri Yudea, Yusuf takut pergi ke sana. Yusuf menerima arahan selanjutnya dalam mimpi, lalu dia pergi ke wilayah Galilea. Dia tinggal di kota yang bernama Nasaret. Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh nabi-nabi tentang anak itu, “Dia akan disebut Orang Nasaret.”

MATIUS 2:13-23 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Shahadan apabila marika itu sudah kŭmbali, hieran, datanglah sa’orang maliekat Tuhan kapada Yusof, dilihatnya dalam mimpi, katanya, bangunlah angkau, ambil kanak kanak itu sŭrta dŭngan ibunya, bawalah lari kaMasir, tinggallah angkau disana, sampie aku mŭmbri tahu akan dikau, kŭrna Herodis mŭnchari kanak kanak itu handak dibunohnya dia. Maka apabila bangunlah iya lalu diambilnya kanak kanak itu sŭrta dŭngan ibunya pada malam, lalu bŭrjalanlah iya kaMasir. Maka tinggallah iya disana sampie kapada kutika mati Herodis, supaya gŭnaplah barang yang dikatakan ulih Nabi deri pada Tuhan, katanya, Bahwa aku tŭlah mŭmanggil anakku deri dalam nŭgri Masir. ¶ Kalakian apabila dilihat ulih Herodis, bahwa iya tŭlah ditipu ulih pŭndita pŭndita itu, maka tŭrlalulah marahnya, sŭrta disurohkannya orang pŭrgi mŭmbunoh sagala budak budak yang ada diBathliham, dan pada skalian jajahannya itu yang ada bŭrumor dua tahun dan korang deripada itu, diturotnya spŭrti kutika yang tŭlah dipreksainya baik baik deripada pŭndita pŭndita itu. Maka pada tŭtkala itu gŭnaplah pŭrkara yang dikatakan ulih Nabi Jermiah; Katanya, Kadŭngaranlah dinŭgri Rama, satu suara ratap dan tangis, dan duka chita yang amat sangat, iya itu Rahil mŭnangiskan anaknya, tiadalah iya mahu dihiburkan sŭbab katidaan anaknya. ¶ Adapun apabila matilah Herodis, hieran, datanglah sa’orang mŭliekat Tuhan, dilihat Yosof dalam mimpi diMasir; Katanya, Bangunlah angkau, ambil akan kanak kanak itu sŭrta dŭngan ibunya, bawalah pŭrgi katanah Israil, kŭrna adapun yang handak mŭmbunoh kanak kanak itu sudah mati. Hata bangunlah iya, sambil diambilnya kanak kanak itu sŭrta dŭngan ibunya, maka pŭrgilah iya katanah Israil. Tŭtapi apabila didŭngarnya Arkilaus tŭlah mŭnjadi Raja mŭnggantikan krajaan Herodis, bapanya dalam tanah Yahuda, maka takotlah iya pŭrgi kasana, maka diingatkan Allah akan dia dalam mimpi, lalu mŭnyempanglah iya kapada jajahan tanah Galilia. Maka datanglah iya tinggal dalam sa’buah nŭgri yang bŭrnama Nazareth, iya itu supaya gŭnaplah barang yang dikatakan ulih nabi nabi, bahwa Isa itulah akan bŭrgŭlar sa’orang Nazreth.

MATIUS 2:13-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Selepas itu, malaikat Tuhan memperlihatkan diri dalam mimpi kepada Yusuf lalu berkata, “Herodes akan mengeluarkan perintah supaya mencari dan membunuh Anak itu. Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di situ hingga Aku berfirman kepadamu.” Yusuf pun bangun. Pada malam itu juga dia membawa Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. Mereka tinggal di situ hingga kematian Raja Herodes. Maka terlaksanalah apa yang difirmankan Tuhan menerusi nabi-Nya: “Dari Mesir, Kupanggil Anak-Ku.” Setelah Raja Herodes sedar dirinya ditipu oleh ahli-ahli ilmu bintang dari Timur itu, dia pun marah lalu mengeluarkan perintah untuk membunuh semua anak lelaki yang berusia dua tahun ke bawah di Betlehem dan kawasan yang berdekatan. Usia itu berdasarkan maklumat yang diberikan oleh ahli-ahli ilmu bintang tentang masa bintang itu mula-mula muncul. Oleh yang demikian, terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia: “Satu suara terdengar di Rama, rintih ratap dan perkabungan. Rahel meratapi anak-anaknya; dia tidak mahu dilipur hatinya, kerana mereka tiada lagi.” Selepas kematian Herodes, malaikat Tuhan memperlihatkan diri dalam mimpi kepada Yusuf di Mesir. Kata malaikat itu, “Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke Tanah Israel, kerana orang yang hendak meragut nyawa Anak itu telah mati.” Yusuf pun bangun lalu membawa Anak itu dan ibu-Nya ke Tanah Israel. Tetapi apabila mendengar bahawa Arkelaus telah menaiki takhta menggantikan bapanya Herodes di Yudea, Yusuf pun takut pergi ke sana. Setelah mendapat peringatan daripada Allah dalam mimpi, dia pun pergi ke Galilea. Dia menetap di kota yang bernama Nazaret. Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh para nabi: “Dia akan dipanggil Orang Nazaret.”