MATIUS 26:31-35
MATIUS 26:31-35 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Pada malam ini juga kamu semua akan lari meninggalkan Aku, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan membunuh gembala itu, lalu kawanan dombanya akan tercerai-berai.’ Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan pergi ke Galilea terlebih dahulu daripada kamu.” Petrus berkata kepada Yesus, “Meskipun semua yang lain meninggalkan Guru, saya tidak akan berbuat demikian!” Yesus berkata kepadanya, “Ingatlah, sebelum ayam jantan berkokok malam ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.” Petrus menjawab, “Tidak sekali-kali saya akan berkata saya tidak mengenal Guru, meskipun saya terpaksa mati bersama-sama Guru!” Semua pengikut yang lain pun berkata demikian.
MATIUS 26:31-35 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Tŭtkala itu, maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Bahwa sŭmua kamu ini kŭlak akan mŭmungkirkan aku pada malam ini, kŭrna tŭlah tŭrsurat dŭmkian, Bahwa aku akan mŭnyinchang gombala itu, maka domba sa’kawan itu pun akan chŭrie brielah. Tŭtapi apabila aku kŭlak hidop pula, maka aku akan bŭrjalan dahulu dihadapanmu pŭrgi kanŭgri Galilia. Maka disahut ulih Petros akan dia, Jikalau kiranya sagala orang mungkirkan angkau skali pun, bahwa skali kali aku tiada mungkir. Maka bŭrkata Isa padanya, Sasungguhnya juga aku bŭrkata padamu, bahwa pada malam ini juga, sŭbŭlom ayam bŭrkokok, maka angkau akan mŭnyangkali aku tiga kali. Maka kata Petros padanya, Jikalau mati hamba skali pun, sŭrta juga dŭngan angkau, bahwa tiadalah aku kŭlak mŭnyagkali angkau; dŭmkian lagi pŭrkataan sagala murid muridnya yang lain pun.
MATIUS 26:31-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Kamu semua akan goyah kerana-Ku malam ini, seperti yang telah tersurat: ‘Aku akan merebahkan Gembala, dan kawanan domba akan bertempiaran.’ Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan mendahului kamu ke Galilea.” Petrus menjawab, “Kalaupun semua yang lain goyah kerana-Mu, aku tidak akan goyah.” Yesus berkata kepadanya, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pada malam ini juga, sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.” Petrus berkata kepada Yesus, “Kalaupun aku terpaksa mati bersama-Mu, aku tidak akan menyangkal-Mu!” Semua murid yang lain pun berkata demikian.