MATIUS 5:27-48

MATIUS 5:27-48 Alkitab Berita Baik (BM)

“Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Jangan berzina.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa memandang seorang wanita dengan perasaan berahi, orang itu sudah berzina dengan dia di dalam hati. Jika mata kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu kehilangan salah satu anggota tubuh daripada seluruh tubuh kamu dibuang ke dalam neraka. Jika tangan kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan itu! Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan daripada seluruh tubuh kamu masuk ke dalam neraka.” “Ada juga ajaran yang mengatakan, ‘Sesiapa menceraikan isterinya, hendaklah orang itu memberikan surat cerai kepadanya.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa menceraikan isterinya kecuali kerana perzinaan, orang itu membuat isterinya berzina jika wanita ini berkahwin lagi. Orang yang mengahwini wanita yang diceraikan itu, berzina juga.” “Kamu sudah mendengar bagaimana nenek moyang kita diajar seperti berikut: ‘Jangan mungkir janji. Lakukanlah apa yang sudah kamu janjikan dengan sumpah di hadapan Tuhan.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Jangan bersumpah sama sekali. Jangan bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah, atau demi bumi, kerana bumi itu alas kaki-Nya; atau demi Yerusalem, kerana kota itu kota Allah, Raja yang besar. Jangan bersumpah bahkan demi kepala kamu, kerana kamu tidak berkuasa membuat sehelai rambut menjadi putih ataupun hitam. Cukuplah kamu berkata ‘Ya’ atau ‘Tidak’. Kata-kata yang lebih daripada itu datangnya daripada Iblis.” “Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Mata ganti mata; gigi ganti gigi.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Jangan balas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepada kamu. Sebaliknya jika seseorang menampar pipi kananmu untuk menghina kamu, biarkanlah dia menampar pipi kirimu juga. Jika seseorang mendakwa kamu di mahkamah untuk menuntut bajumu, berikanlah jubahmu juga. Jika seorang askar penjajah memaksa kamu mengangkat barangnya sejauh satu kilometer, angkatlah barangnya sejauh dua kilometer. Jika seseorang meminta sesuatu daripada kamu, berikanlah apa yang dimintanya. Jika seseorang hendak meminjam sesuatu daripada kamu, pinjamkan apa yang dikehendakinya.” “Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Kasihilah sahabatmu, dan bencilah musuhmu.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu. Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapa kamu yang di syurga, kerana Allah menerbitkan matahari yang dijadikan-Nya untuk orang yang baik dan yang jahat. Dia menurunkan hujan untuk orang yang mentaati Allah dan juga untuk orang yang tidak mentaati-Nya. Patutkah kamu menerima pahala daripada Allah, jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu? Bukankah para pemungut cukai pun berbuat demikian? Jika kamu hanya beramah-ramahan dengan kawan-kawan kamu, apakah kelebihannya? Orang yang tidak mengenal Allah pun berbuat demikian! Kamu harus mengasihi semua orang, seperti Bapa kamu yang di syurga mengasihi semua orang.”

MATIUS 5:27-48 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Bŭrmula kamu tŭlah mŭnŭngar pŭrkataan orang dahulu kala, iya itu janganlah angkau bŭrbuat zinah; Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, maka barang sa’orang mŭmandang pŭrampuan sŭrta dŭngan inginnya akan dia, spŭrti sudah iya bŭrbuat zinah dŭngan dia dalam hatinya. Sŭbab itu, jikalau mata kananmu mŭndatangkan salah kapadamu, korekkanlah dia buangkan deripadamu, kŭrna tŭrlebih fiedahnya kalau hilang suatu deripada sagala anggotamu, asal jangan kŭlak sagala tubohmu dimasokkan kadalam api naraka. Dan lagi jikalau tangan kananmu mŭndatangkan salah padamu, potongkanlah dia buangkan deripadamu, kŭrna tŭrlebih fiedahnya kalau hilang suatu deripada anggotamu, asal jangan kŭlak sagala tubohmu itu dimasokkan kadalam naraka. Maka tŭlah dikatakan, barang siapa handak bŭrchŭrie dŭngan istrinya, bahwa patutlah iya mŭmbri surat chŭrie kapadanya; Tŭtapi aku bŭrkata padamu, bahwa barang siapa yang bŭrchŭrie dŭngan istrinya kachuali sŭbab zinah, maka iya itu mŭndatangkan sŭbab kapada pŭrampuan itu bŭrbuat zinah, dan barang siapa pula kahwin dŭngan pŭrampuan yang bŭrchŭrie itu, maka iya pun bŭrbuat zinah juga adanya. ¶ Dan lagi kamu tŭlah mŭnŭngar pŭrkataan orang dahulu kala, bahwa janganlah angkau bŭrsumpah dusta, mŭlainkan handaklah angkau mŭnyampiekan kapada Tuhan akan pŭrkara sumpahmu itu: Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, janganlah angkau bŭrsumpah skali kali, baik dŭmi shorga, kŭrna iya itu arash Allah adanya; Baik dŭmi bumi, kŭrna iya itu alas kakinya, baik dŭmi Jerusalem, kŭrna iya itu nŭgri raja yang maha bŭsar. Maka janganlah angkau bŭrsumpah dŭmi kapalamu, kŭrna tiada angkau kuasa mŭnjadikan sahlie rambut itu puteh atau hitam. Tŭtapi biarlah pŭrkataanmu itu, Ya, ya; Tidak, tidak: kŭrna barang pŭrkataan yang lebih deripada itu, iya itu deri pada yang jahat adanya. ¶ Bahwa kamu tŭlah mŭnŭngar yang tŭlah dikatakan, iya itu Mata ganti mata, dan gigi ganti gigi; Tŭtapi aku bŭrkata padamu, bahwa janganlah angkau mŭlawan akan orang yang jahat, mŭlainkan barang siapa yang mŭnampar pipimu kanan, balikkanlah pula padanya pipi yang lain pun. Dan jika sa’orang mŭndawa dikau dalam hukum deri hal handak mŭngambil bajumu, brikanlah padanya sŭlimutmu pun. Dan barang siapa mŭnggagahi angkau bŭrjalan satu mil jauhnya, maka pŭrgilah sŭrtanya sa’jauh dua mil. Brilah akan orang yang mŭminta padamu, dan jika orang handak mŭminjam barang apa kapadamu, janganlah angkau hŭmpakan dia. ¶ Bahwa kamu tŭlah mŭnŭngar yang tŭlah dikatakan iya itu, patutlah kamu mŭngasihi akan samamu manusia, dan mŭmbŭnchi akan musohmu. Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, kasihlah ulihmu akan musohmu, dan mintakanlah biar slamat sagala orang yang mŭngutoki kamu, dan buatlah baik akan sagala orang yang mŭmbŭnchi kamu, dan mintakanlah doa kapada sagala orang yang bŭrbuat jahat akan kamu, dan yang mŭngannyayai akan kamu. Supaya kamu mŭnjadi anak anak ayahmu yang ada dishorga, kŭrna iya mŭnŭrbitkan mataharinya ka’atas orang yang jahat dan yang baik, dan dituronkannya hujannya ka’atas orang yang adil dan lalim. Kŭrna jikalau kamu kasihi kiranya akan orang yang mŭngasihi kamu, apakah fahala pada kamu? bukankah orang mŭmŭgang chukie pun ada bŭrbuat dŭmkian? Maka jikalau kamu mŭmbri sŭlam kapada sama kaummu sahja, apakah lebihnya pŭrbuatan kamu itu deripada orang lain? bukankah orang mŭmŭgang chukie pun ada bŭrlaku dŭmkian? Maka tŭgal itu, handaklah kamu mŭnjadi samporna spŭrti ayahmu yang ada dishorga itu samporna adanya.

MATIUS 5:27-48 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Kamu telah mendengar ajaran ini: ‘Jangan berzina.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang memandang seorang wanita dengan berahi, telah berzina dengannya dalam hati. Jika mata kananmu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buangkan mata itu. Lebih baik kamu kehilangan satu bahagian tubuhmu daripada seluruh tubuhmu terhumban ke dalam neraka. Jika tangan kananmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buangkan tangan itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tanganmu daripada seluruh tubuhmu masuk ke dalam neraka.” “Ada ajaran demikian: ‘Sesiapa menceraikan isterinya hendaklah memberinya surat cerai.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang menceraikan isterinya kecuali kerana zina, menyebabkan wanita tersebut berzina jika berkahwin lagi; dan sesiapa berkahwin dengan wanita yang diceraikan itu, dia berzina.” “Kamu telah mendengar ajaran kepada nenek moyang kita: ‘Jangan bersumpah palsu. Tunaikan sumpahmu kepada Tuhan.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Janganlah bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah. Jangan bersumpah demi bumi, kerana bumi ini alas kaki-Nya. Atau demi Yerusalem, kerana itu kota Raja Agung, iaitu Allah. Demi kepalamu pun jangan, kerana kamu tidak berkuasa memutihkan atau menghitamkan rambutmu walau sehelai. Katakan sahaja ‘Ya’ atau ‘Tidak’ dan kotakan kata itu. Yang lebih daripada itu datang daripada si durjana.” “Kamu telah mendengar ajaran begini: ‘Mata diganti mata, gigi diganti gigi.’ Tetapi Aku berkata kepadamu: Janganlah membalas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepadamu. Malah jika seseorang menampar pipi kananmu, palinglah pipi kirimu juga terhadapnya. Jika seseorang hendak mendakwamu untuk mendapatkan bajumu, berikanlah jubahmu juga. Jika sesiapa memaksamu berjalan sebatu dengannya, pergilah dua batu bersamanya. Jika seseorang meminta sesuatu daripadamu, berikanlah. Jika seseorang hendak meminjam sesuatu daripadamu, usahlah berpaling daripadanya.” “Kamu telah mendengar ajaran yang berikut: ‘Kasihilah sesama manusia dan bencilah musuhmu.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Kasihilah musuhmu dan doakan orang yang menganiayamu. Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapamu yang di syurga; kerana Allah menerbitkan matahari untuk orang yang jahat dan orang yang baik. Dia menurunkan hujan untuk orang yang benar dan orang yang tidak benar. Jika kamu mengasihi orang yang mengasihimu, apakah ganjaranmu? Bukankah pemungut cukai pun berbuat demikian? Jika kamu hanya beramah mesra dengan saudara-saudara selingkungan, apakah kelebihanmu daripada orang lain? Orang yang tidak mengenal Allah pun berbuat demikian. Hendaklah engkau sempurna seperti Bapamu di syurga.”