FILIPI 2:6-11
FILIPI 2:6-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Sebenarnya Dia ilahi, tetapi Dia tidak menganggap keadaan-Nya yang ilahi harus dipertahankan-Nya. Sebaliknya, Dia rela melepaskan segala-galanya, lalu menjadi seperti seorang hamba. Dia datang sebagai manusia, dan hidup seperti manusia. Dia merendahkan diri dan hidup dengan taat kepada Allah sehingga mati - iaitu mati di atas salib. Itulah sebabnya Allah meninggikan Dia setinggi-tingginya, dan mengurniai Dia kedudukan yang lebih tinggi daripada semua kedudukan yang lain. Oleh itu, untuk menghormati Yesus, semua makhluk di syurga, dan di bumi, dan di bawah bumi akan sujud menyembah Dia. Mereka semua akan mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan; dengan demikian Allah Bapa dimuliakan.
FILIPI 2:6-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Sŭbab ada iya dalam kaadaan Allah, tiadalah iya sangka rampasan kalau iya mŭnjadi stara dŭngan Allah. Tŭtapi iya tiada mŭnchari kabilangan, mŭlainkan iya mŭnjadikan dirinya bŭrsifat hamba lalu dijadikannya sama dŭngan manusia. Maka sŭtlah didapati akan dia dŭngan hal manusia, maka dirŭndahkannyalah dirinya, lalu tŭrta’loklah iya kapada maut, mŭskipun kapada kŭmatian salib. Maka sŭbab itulah tŭlah ditinggikan Allah sangat akan dia, sŭrta dikurniakannya padanya suatu nama yang diatas sagala nama. Supaya akan nama Isa itu kŭlak haruslah tundok sagala lutut, iya itu baik sagala pŭrkara yang dilangit, baik sagala pŭrkara yang dibumi, baik sagala pŭrkara dibawah bumi. Dan supaya sagala lidah pun mŭngaku bahwasanya Isa Almasih itu Tuhan, bagie kamuliaan Allah iya itu Ayah.
FILIPI 2:6-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dia yang sekalipun dalam bentuk Allah, tidak menganggap kesetaraan dengan Allah sesuatu yang harus dipertahankan, tetapi Dia telah mengetepikan martabat diri-Nya, mengambil bentuk seorang hamba, dan datang dengan rupa manusia. Dalam keadaan sebagai manusia, Dia telah merendahkan diri-Nya dan taat hingga kepada kematian, bahkan kematian di salib! Itulah sebabnya Allah sangat meninggikan-Nya dan menganugerahkan kepada-Nya nama yang di atas segala nama, supaya kepada nama Yesus segala-galanya bertelut, segala isi langit, bumi dan yang di bawah bumi, dan semua lidah mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan, untuk mendatangkan kemuliaan kepada Allah Bapa.