MAZMUR 119:15-148

MAZMUR 119:15-148 Alkitab Berita Baik (BM)

Aku akan mengkaji peraturan-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ajaran-Mu. Aku gemar akan hukum-Mu; aku tidak akan melupakan perintah-Mu. Semoga Engkau murah hati kepadaku, hamba-Mu, supaya aku dapat hidup dan mentaati ajaran-Mu. Bukalah mataku supaya aku dapat melihat ajaran yang mengagumkan dalam Taurat-Mu. Aku tinggal di bumi ini hanya untuk seketika; janganlah sembunyikan perintah-Mu daripadaku. Hatiku sangat rindu untuk mengetahui ketetapan-Mu setiap waktu. Engkau menegur orang yang sombong; terkutuklah orang yang melanggar perintah-Mu. Jangan biarkan aku dicaci dan dihina mereka, kerana aku telah melakukan hukum-Mu. Walaupun para pemerintah berkomplot melawan aku, tetapi aku akan tetap mengkaji ajaran-Mu. Peraturan-Mu menyenangkan hatiku; peraturan-Mu menasihati aku. Aku terbaring di atas debu kerana kalah; pulihkanlah aku menurut janji-Mu. Aku mengaku segala perbuatanku dan Engkau menjawab aku; ajarlah aku kehendak-Mu. Tolonglah aku memahami hukum-Mu, dan aku akan merenungkan ajaran-Mu yang mengagumkan. Jiwaku hancur kerana kesedihan; kuatkanlah aku menurut janji-Mu. Jauhkanlah aku dari jalan yang salah, dan demi kebaikan-Mu, ajarlah aku Taurat-Mu. Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ketetapan-Mu. Aku telah menurut peraturan-Mu, ya TUHAN, jangan biarkan aku dipermalukan. Aku suka mentaati perintah-Mu, kerana Engkau menambahkan pengertianku. Ya TUHAN, ajarlah aku makna hukum-Mu, dan aku akan mentaatinya selalu. Jelaskanlah Taurat-Mu kepadaku supaya aku mematuhinya, dan dengan sepenuh hati melakukannya. Tolonglah aku mematuhi perintah-Mu, kerana perintah-Mu menggembirakan aku. Berilah aku keinginan untuk mentaati hukum-Mu, dan bukan untuk mendapat kekayaan. Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia; berilah aku hidup menurut kehendak-Mu. Tepatilah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu, janji yang Engkau berikan kepada mereka yang mentaati-Mu. Jauhkanlah aku daripada hinaan yang aku takuti; betapa baiknya ketetapan-Mu. Aku mahu mentaati perintah-Mu; berilah aku hidup baru kerana Engkau adil. Ya TUHAN, tunjukkanlah kasih-Mu kepadaku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu. Barulah aku dapat menjawab orang yang mengejek aku, kerana aku mempercayai firman-Mu. Tolonglah aku untuk sentiasa bercakap benar, kerana aku yakin akan ketetapan-Mu. Aku akan sentiasa mentaati Taurat-Mu, untuk selama-lamanya. Maka aku akan hidup dengan bebas, kerana aku berusaha untuk mematuhi ajaran-Mu. Aku akan mengumumkan perintah-Mu kepada raja-raja, dan aku tidak akan dipermalukan. Aku gemar mentaati perintah-Mu, kerana aku mencintai perintah-Mu. Aku menghormati dan mencintai perintah-Mu; aku akan merenungkan peraturan-Mu. Ingatlah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu; janji yang telah memberikan harapan kepadaku. Bahkan dalam kesengsaraan pun aku terhibur, kerana janji-Mu memberi aku hidup. Orang sombong selalu menghina aku, tetapi aku tidak menyimpang daripada Taurat-Mu. Aku ingat akan ketetapan-Mu yang ada sejak dahulu, dan ketetapan-Mu menghiburkan hatiku, ya TUHAN. Aku sangat marah kepada orang jahat apabila mereka melanggar Taurat-Mu. Selama hidupku yang singkat di bumi ini, aku menggubah lagu tentang perintah-Mu. Pada waktu malam aku ingat akan Engkau, ya TUHAN, dan aku memikirkan Taurat-Mu. Aku mendapat kebahagiaan dengan mentaati perintah-Mu. Hanya Engkau yang aku inginkan, ya TUHAN; aku berjanji untuk mematuhi hukum-Mu. Dengan sepenuh hati aku meminta kepada-Mu; kasihanilah aku menurut janji-Mu. Aku telah memikirkan kelakuanku, dan berjanji akan menurut peraturan-Mu. Aku bergegas-gegas dan tidak membuang masa untuk melakukan perintah-Mu. Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melupakan Taurat-Mu. Pada tengah malam aku bangun untuk memuji Engkau, kerana ketetapan-Mu adil. Aku bersahabat dengan semua orang yang taat kepada-Mu, semua orang yang mematuhi hukum-Mu. Ya TUHAN, bumi penuh dengan kasih-Mu yang kekal; ajarlah aku perintah-Mu. Engkau telah menepati janji-Mu, ya TUHAN, dan Engkau baik hati kepadaku, hamba-Mu. Berilah aku kebijaksanaan dan pengetahuan, kerana aku percaya kepada perintah-Mu. Sebelum Engkau menghukum aku, aku sering melanggar perintah-Mu, tetapi kini aku mematuhi firman-Mu. Engkau sungguh baik dan perbuatan-Mu baik; ajarlah aku perintah-Mu. Orang sombong memfitnah aku, tetapi dengan sepenuh hati aku mematuhi peraturan-Mu. Mereka tidak mempunyai pengertian, tetapi Taurat-Mu menyenangkan hatiku. Memang baik Engkau menghukum aku, supaya aku memahami perintah-Mu. Bagiku, Taurat-Mu lebih berharga daripada segala kekayaan di dunia. Engkau mencipta dan membentuk aku; berilah aku pengertian untuk memahami hukum-Mu. Orang yang menghormati Engkau akan bergembira apabila melihat aku, kerana aku percaya kepada janji-Mu. Aku tahu bahawa ketetapan-Mu adil, ya TUHAN, dan Engkau menghukum aku kerana Engkau setia. Semoga kasih-Mu yang kekal menghiburkan aku, menurut janji-Mu kepadaku, hamba-Mu. Kasihanilah aku, lalu aku akan hidup, kerana aku gemar akan Taurat-Mu. Biarlah orang sombong dipermalukan kerana menuduh aku, tetapi aku akan merenungkan peraturan-Mu. Semoga orang yang menghormati Engkau datang kepadaku, semua orang yang mengenal perintah-Mu. Semoga aku mentaati segala perintah-Mu, supaya aku tidak dipermalukan. Ya TUHAN, aku lelah menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku; aku percaya akan janji-Mu. Mataku penat menanti-nantikan apa yang Engkau janjikan, sementara aku bertanya, “Bilakah Engkau akan menolong aku?” Aku seperti kirbat wain yang sudah dibuang, namun aku tidak melupakan perintah-Mu. Sampai bilakah aku mesti menunggu? Bilakah Engkau menghukum mereka yang menganiaya aku? Orang sombong yang tidak mematuhi Taurat-Mu sudah menggali lubang untuk memerangkap aku. Semua perintah-Mu dapat dipercayai; tolonglah aku kerana orang menganiaya aku dengan dusta! Mereka hampir berjaya membunuh aku, tetapi aku tidak mengabaikan perintah-Mu. Semoga Engkau baik hati kepadaku kerana kasih-Mu yang kekal, supaya aku dapat mentaati hukum-Mu. Ya TUHAN, firman-Mu kekal selama-lamanya; firman-Mu kekal abadi di syurga. Engkau tetap setia selama-lamanya, Engkau telah menempatkan bumi, dan bumi tetap ada. Demi perintah-Mu segala sesuatu tetap ada sampai sekarang, kerana semuanya hamba-Mu. Sekiranya Taurat-Mu bukan sumber kegembiraanku, pasti aku sudah mati kerana kesengsaraanku. Aku tidak sekali-kali akan melalaikan peraturan-Mu, kerana dengan peraturan itu Engkau memelihara nyawaku. Selamatkanlah aku kerana aku kepunyaan-Mu; aku telah berusaha untuk mentaati perintah-Mu. Orang jahat tertunggu-tunggu hendak membunuh aku, tetapi aku akan merenungkan hukum-Mu. Aku sedar bahawa segala-galanya mempunyai batas; hanya perintah-Mu yang sempurna. Aku sangat mencintai Taurat-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari. Perintah-Mu selalu bersama-sama aku, dan menjadikan aku lebih bijak daripada semua musuhku. Pengertianku melebihi pengertian semua guruku, kerana aku merenungkan peraturan-Mu. Aku lebih bijak daripada orang tua, kerana aku mentaati perintah-Mu. Aku mengelakkan segala kelakuan jahat, kerana aku mahu mematuhi firman-Mu. Aku tidak melalaikan peraturan-Mu, kerana Engkaulah yang mengajar aku. Betapa manisnya peraturan-Mu; lebih manis daripada madu! Aku mendapat kebijaksanaan daripada hukum-Mu, oleh itu aku membenci segala kelakuan buruk. Firman-Mu itu pelita yang memimpin aku, dan cahaya yang menerangi jalanku. Aku akan menepati janji yang aku buat dengan sumpah, untuk mentaati peraturan-Mu yang adil. Penderitaanku sungguh berat, ya TUHAN; selamatkanlah nyawaku menurut janji-Mu. Terimalah doa kesyukuranku, ya TUHAN, dan ajarlah aku perintah-Mu. Aku selalu sedia mempertaruhkan nyawaku; aku tidak melupakan Taurat-Mu. Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melanggar perintah-Mu. Perintah-Mu adalah pusakaku selama-lamanya; perintah-Mu adalah kesukaan hatiku. Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati hukum-Mu sehingga akhir hidupku. Aku membenci orang yang tidak setia kepada-Mu dengan sepenuh hati, tetapi aku mencintai Taurat-Mu. Engkaulah pembelaku dan pelindungku; aku berharap kepada janji-Mu. Hai orang jahat, pergilah daripadaku. Aku akan mematuhi perintah Allahku. Kuatkanlah aku menurut janji-Mu, agar aku hidup; jangan biarkan aku dikecewakan dalam harapanku! Bantulah aku, lalu aku akan selamat, dan aku akan sentiasa memperhatikan perintah-Mu. Engkau menolak semua orang yang tidak mematuhi hukum-Mu; muslihat mereka sia-sia belaka. Engkau menganggap semua orang jahat seperti sampah; oleh itu aku mencintai peraturan-Mu. Aku gementar kerana takut kepada-Mu, dan aku gentar kerana ketetapan-Mu. Aku telah melakukan perkara yang adil dan benar; jangan serahkan aku kepada musuh-musuhku! Berjanjilah bahawa Engkau akan menolong hamba-Mu; jangan biarkan orang sombong menindas aku! Mataku penat menantikan Engkau datang untuk menyelamatkan aku, dan untuk membebaskan aku, menurut janji-Mu. Perlakukanlah aku sesuai dengan kasih-Mu, dan ajarlah aku perintah-Mu. Aku ini hamba-Mu, berilah aku pengertian, supaya aku memahami ajaran-Mu. Inilah masanya Engkau bertindak, ya TUHAN, kerana orang melanggar Taurat-Mu. Aku mencintai perintah-Mu lebih daripada emas, lebih daripada emas murni. Oleh itu aku mengikut segala peraturan-Mu; aku benci akan segala perbuatan yang salah. Ajaran-Mu sungguh mengagumkan; aku mentaatinya dengan sepenuh hati. Penjelasan ajaran-Mu memberikan cahaya, memberikan pengertian kepada orang jahil. Aku haus akan perintah-Mu, aku sangat menginginkannya. Berpalinglah kepadaku dan kasihanilah aku seperti Engkau sentiasa mengasihani orang yang mengasihi-Mu. Menurut janji-Mu, jangan biarkan aku jatuh; jangan biarkan kejahatan menguasai aku. Selamatkanlah aku daripada orang yang menindas aku, supaya aku dapat mentaati perintah-Mu. Berkatilah aku dengan hadirat-Mu, dan ajarlah aku hukum-Mu. Air mataku mengalir seperti sungai, kerana orang tidak taat kepada Taurat-Mu. Engkau adil, ya TUHAN, dan hukum-Mu adil. Peraturan yang Engkau berikan semuanya adil dan benar. Kemarahan membara dalam diriku kerana musuhku melanggar perintah-Mu. Janji-Mu dapat dipercayai, aku sangat mencintainya. Aku ini tidak penting dan aku terhina, tetapi aku tidak melalaikan ajaran-Mu. Keadilan-Mu kekal selama-lamanya, dan Taurat-Mu tetap benar. Kesusahan dan kekhuatiran menimpa aku, tetapi perintah-Mu menggembirakan hatiku. Peraturan-Mu selalu adil; berilah aku pengertian supaya aku hidup. Dengan sepenuh hati, aku berseru kepada-Mu; kabulkanlah doaku, ya TUHAN; aku akan taat kepada perintah-Mu. Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku; aku mahu mematuhi hukum-Mu. Sebelum fajar aku berseru kepada-Mu minta tolong, aku berharap kepada janji-Mu. Sepanjang malam aku tidak tidur, kerana merenungkan peraturan-Mu.

MAZMUR 119:15-148 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu dan memikirkan cara-cara-Mu. Aku akan menikmati ketetapan-Mu; aku tidak akan melupakan firman-Mu. Limpahkanlah kurnia-Mu kepada hamba-Mu; supaya aku dapat hidup dan mematuhi firman-Mu. Bukakanlah mataku supaya aku dapat melihat hal-hal yang menakjubkan daripada hukum-Mu. Aku orang asing di bumi; janganlah sembunyikan perintah-perintah-Mu daripadaku. Jiwaku resah mengingini hukum-hukum-Mu setiap waktu. Engkau memarahi orang sombong yang dilaknati, yang menyimpang daripada perintah-perintah-Mu. Bebaskan aku daripada celaan dan hinaan, kerana aku telah mematuhi peraturan-Mu. Raja-raja juga duduk mengataku, tetapi hamba-Mu merenung ketetapan-Mu. Peraturan-Mu juga memberiku nikmat dan bimbingan. Jiwaku melekap ke debu; pulihkanlah aku menurut firman-Mu. Aku telah mengakui gerak-geriku dan Engkau telah menjawabku; ajarlah aku ketetapan-Mu. Biarlah aku mengerti jalan ajaran-ajaran-Mu; supaya aku merenung perbuatan-Mu yang menakjubkan. Jiwaku lebur ditekan kemuraman; teguhkanlah aku menurut firman-Mu. Bebaskan aku daripada jalan dusta; dan berilah aku hukum-Mu dengan limpah kasih kurnia. Aku telah memilih jalan kebenaran; hukum-hukum-Mu telah kuletakkan di hadapanku. Aku berpegang teguh pada peraturan-Mu; Ya TUHAN, jangan malukan aku. Aku akan terus-menerus mematuhi perintah-perintah-Mu, kerana Engkau melapangkan hatiku. Ajarlah aku, ya TUHAN, jalan ketetapan-Mu; aku akan mematuhinya hingga ke akhir. Berilah aku pengertian, aku akan mematuhi hukum-Mu; sesungguhnya, aku akan mentaatinya dengan sepenuh hatiku. Biarlah aku melangkah di jalan perintah-perintah-Mu, kerana aku bahagia dengannya. Cenderungkanlah hatiku kepada peraturan-Mu, bukan kepada ketamakan. Alihkanlah mataku daripada memandang segala yang tidak berfaedah; dan pulihkan aku di jalan-Mu. Tegakkan firman-Mu bagi hamba-Mu, yang sepenuh hari takut kepada-Mu. Palingkan daripadaku celaan yang kutakuti, kerana hukum-hukum-Mu baik. Sesungguhnya, aku merindui ajaran-ajaran-Mu! Pulihkan aku dalam perbenaran-Mu. Biarlah kasih setia-Mu juga datang kepadaku, ya TUHAN, penyelamatan-Mu menurut janji-Mu; dengan demikian aku akan mempunyai jawapan untuk orang yang mencelaku, kerana kusandarkan kepercayaan kepada firman-Mu. Janganlah singkirkan kata benar daripada mulutku, kerana aku berharap kepada hukum-Mu. Dengan demikian aku akan tetap mematuhi hukum-Mu, selama-lamanya. Dan aku akan melangkah dengan bebas, kerana aku mencari ajaran-ajaran-Mu. Aku akan berbicara tentang peraturan-Mu juga di hadapan raja-raja dan tidak akan malu, dan aku akan berbahagia dengan perintah-perintah-Mu yang kukasihi. Aku mengangkat tanganku kepada perintah-perintah-Mu yang dikasihi, dan aku akan merenung ketetapan-Mu. Ingatlah firman-Mu kepada hamba-Mu, dengannya Engkau telah memberiku harapan. Inilah yang melipurkan aku dalam kesakitanku: Firman-Mu memberiku hidup. Orang yang sombong mentertawakan aku, namun aku tidak berpaling daripada hukum-Mu. Aku ingat akan hukum-hukum-Mu dahulu, Ya TUHAN, dan aku melipurkan diriku. Kemarahan telah memenuhiku kerana orang zalim, yang meninggalkan hukum-Mu. Ketetapan-Mu telah menjadi nyanyianku dalam perjalanan ibadatku. Aku ingat akan nama-Mu pada waktu malam, Ya TUHAN, dan aku mematuhi hukum-Mu. Ini telah menjadi milikku: kerana aku telah mematuhi ajaran-ajaran-Mu. Engkaulah yang ada padaku, ya TUHAN; aku telah berjanji untuk mematuhi firman-Mu. Aku memohon keredaan-Mu dengan sepenuh hatiku; kasihanilah aku menurut firman-Mu. Aku memikirkan gerak-geriku lalu aku melangkah ke arah peraturan-Mu. Aku bertindak segera, aku tidak berlengah-lengah mematuhi perintah-perintah-Mu. Tali orang zalim telah mengikatku, tetapi aku tidak melupakan hukum-Mu. Pada tengah malam aku akan bangun untuk mengucap syukur kepada-Mu kerana hukum-hukum-Mu yang benar. Aku teman kepada semua yang takut kepada-Mu, dan mereka yang mematuhi ajaran-ajaran-Mu. Bumi ini, ya TUHAN, penuh dengan kasih-Mu; ajarlah aku ketetapan-Mu. Engkau telah memperlakukan hamba-Mu dengan baik, Ya TUHAN, menurut firman-Mu. Ajarlah aku pengetahuan dan pertimbangan yang baik, kerana aku percaya kepada perintah-perintah-Mu. Sebelum aku ditimpa kesusahan, aku menyeleweng, tetapi sekarang aku mematuhi firman-Mu. Engkau baik, dan berbuat baik; ajarlah aku ketetapan-Mu. Orang yang sombong telah berbuat dusta tentangku, tetapi aku akan mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan sepenuh hatiku. Hati mereka setebal lemak, tetapi aku bahagia dengan hukum-Mu. Kesusahan yang menimpaku baik bagiku kerananya aku mempelajari ketetapan-Mu. Hukum yang Kaufirmankan lebih baik bagiku daripada ribuan keping wang emas dan perak. Tangan-Mu telah menciptaku dan membentukku; berilah aku pengertian supaya aku dapat mempelajari perintah-perintah-Mu. Mereka yang takut kepada-Mu akan bersukacita apabila melihatku, kerana aku telah menyandarkan harapan kepada firman-Mu. Aku tahu, ya TUHAN, bahawa hukum-hukum-Mu benar, dan kerana kesetiaan-Mu Engkau telah menimpakan kesusahan ke atasku. Aku berdoa, biarlah kasih setia-Mu melipurkan aku, menurut janji-Mu kepada hamba-Mu. Limpahkanlah belas kasih-Mu kepadaku supaya aku dapat hidup, kerana hukum-Mu bahagiaku. Biarlah orang yang sombong menanggung malu kerana mereka telah menzalimiku dengan fitnah; tetapi aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu. Biarlah mereka yang takut kepada-Mu berpaling kepadaku, mereka yang mengetahui peraturan-Mu. Biarlah hatiku tidak bercela terhadap ketetapan-Mu, supaya aku tidak menanggung malu. Jiwaku lesu merindui penyelamatan-Mu, tetapi kusandarkan harapan kepada firman-Mu. Mataku kabur mencari firman-Mu; dan aku berkata, “Bilakah Engkau akan melipurkan aku?” Kerana aku telah menjadi seperti kirbat yang diasapi, namun aku tidak melupakan ketetapan-Mu. Berapa lamakah hamba-Mu akan menunggu? Bilakah Engkau akan menghukum mereka yang menganiaya aku? Orang yang sombong telah menggali lubang untukku, ini tidak menurut hukum-Mu. Semua perintah-Mu benar; mereka bersalah menganiaya aku; tolonglah aku. Mereka hampir menamatkan riwayatku di bumi ini, tetapi aku tidak meninggalkan ajaran-ajaran-Mu. Pulihkan aku dengan kasih sayang-Mu, supaya aku mematuhi peraturan yang Kaufirmankan. Untuk selama-lamanya, ya TUHAN; firman-Mu bertapak di syurga. Kesetiaan-Mu kekal zaman-berzaman; Engkau mengasaskan bumi dan ia tetap ada. Segalanya berterusan hari ini menurut peraturan-Mu, kerana semuanya hamba-Mu. Kalaulah tidak kerana hukum-Mu bahagiaku, tentulah aku binasa menanggung penderitaan. Aku tidak akan melupakan ajaran-ajaran-Mu selama-lamanya, kerana dengannya Engkau telah memberiku hidup. Aku milik-Mu, selamatkanlah aku; kerana aku telah mencari ajaran-ajaran-Mu. Orang zalim menantiku untuk memusnahkanku, tetapi aku akan memikirkan peraturan-Mu. Aku telah melihat kemuncak segala kesempurnaan; tetapi perintah-Mu maha luas. Oh, betapa kucintai hukum-Mu! Aku merenungnya sepanjang hari. Engkau, melalui perintah-perintah-Mu, menjadikan aku lebih bijaksana daripada musuhku, kerana perintah-perintah-Mu sentiasa bersamaku. Aku mempunyai pengertian yang lebih dalam daripada semua guruku, kerana peraturan-Mu menjadi renunganku. Aku mengerti lebih daripada penatuaku, kerana aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu. Aku telah mengawal kakiku daripada setiap jalan kejahatan supaya aku dapat mematuhi firman-Mu. Aku tidak menyimpang daripada hukum-hukum-Mu, kerana Engkau sendiri telah mengajarku. Betapa manisnya kata-kata-Mu bagiku, lebih manis daripada madu bagi lidahku! Melalui ajaran-ajaran-Mu aku mendapat pengertian; oleh itu, aku membenci setiap jalan yang palsu. Firman-Mu lampu bagi kakiku dan cahaya bagi jalanku. Aku telah bersumpah dan menegaskan, bahawa aku akan mematuhi hukum-hukum-Mu yang benar. Aku menanggung kesusahan yang amat berat; pulihkanlah aku, ya TUHAN, menurut firman-Mu. Aku berdoa, terimalah puji-pujianku yang kupersembahkan dengan sepenuh kerelaan, ya TUHAN, dan ajarlah aku hukum-hukum-Mu. Nyawaku sentiasa terancam, namun aku tidak melupakan hukum-Mu. Orang zalim telah memasang jerat untukku, namun aku tidak menyimpang daripada ajaran-ajaran-Mu. Peraturan-Mu telah kuambil sebagai warisan selama-lamanya; kerana ia menggembirakan hatiku. Aku telah mencenderungkan hatiku untuk menjalankan ketetapan-Mu selama-lamanya, hingga ke akhir. Aku membenci orang yang curang, tetapi aku mencintai hukum-Mu. Engkaulah perlindunganku dan perisaiku; aku menyandarkan harapan kepada firman-Mu. Pergilah daripadaku, hai orang yang berbuat jahat, kerana aku akan mematuhi perintah-perintah Allahku! Teguhkanlah aku menurut firman-Mu, supaya aku dapat hidup; dan jangan biarkan aku malu kerana harapanku. Tegakkanlah aku, maka aku akan selamat; dan aku akan sentiasa mentaati ketetapan-Mu. Engkau menolak kesemua mereka yang menyimpang daripada ketetapan-Mu, kerana mereka memperdaya dan itu adalah pendustaan. Engkau menyingkirkan semua orang zalim di bumi seperti barang tidak berguna; oleh itu, aku mencintai peraturan-Mu. Tubuhku gementar kerana takut kepada-Mu; dan aku takut akan penghakiman-Mu. Aku telah melakukan keadilan dan kebenaran; janganlah tinggalkan aku di tangan penindasku. Jadilah penjamin hamba-Mu; jangan biarkan orang sombong menindasku. Mataku kabur mencari penyelamatan-Mu, dan mencari firman-Mu yang benar. Perlakukan hamba-Mu berdasarkan kasih setia-Mu dan ajarlah aku ketetapan-Mu. Aku hamba-Mu; berilah aku pengertian supaya aku dapat mengetahui peraturan-Mu. Sudah sampai masanya Engkau bertindak, ya TUHAN, kerana mereka menganggap hukum-Mu batal. Justeru aku mencintai perintah-perintah-Mu lebih daripada emas, ya, daripada emas tulen, justeru semua ajaran-Mu tentang semua perkara kuanggap benar, aku membenci setiap jalan yang palsu. Peraturan-Mu menakjubkan; oleh itu jiwaku mematuhinya. Kedatangan firman-Mu membawa cahaya; memberi pengertian kepada orang yang tulus. Aku membuka mulut dan tercungap-cungap, kerana aku merindui perintah-perintah-Mu. Pandanglah aku dan kasihanilah aku, sebagaimana yang biasa Kaulakukan kepada mereka yang mencintai nama-Mu. Pandulah langkahku dengan firman-Mu; dan jangan biarkan dosa menguasaiku. Lepaskan aku daripada penindasan manusia, supaya aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu. Limpahkanlah sinar wajah-Mu ke atas hamba-Mu dan ajarlah aku ketetapan-Mu. Air mataku mengalir laksana sungai, kerana manusia tidak mematuhi hukum-Mu. Maha Benar Engkau, ya TUHAN, dan adil semua penghakiman-Mu. Peraturan-Mu yang telah Kauperintahkan benar dan sungguh setia. Semangatku telah membakar hatiku, kerana musuhku telah melupakan firman-Mu. Janji-Mu sudah teruji, dan hamba-Mu mencintainya. Aku daif dan dihina, namun aku tidak melupakan ajaran-ajaran-Mu. Keadilan-Mu kekal selama-lamanya dan hukum-Mu benar. Kesusahan dan kekhuatiran telah menyelubungiku, namun perintah-perintah-Mu bahagiaku. Peraturan-Mu benar selama-lamanya; berilah aku pengertian, maka aku akan hidup. Aku berseru dengan sepenuh hatiku; dengarlah aku, ya TUHAN, Aku akan mematuhi ketetapan-Mu. Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku, maka aku akan mematuhi peraturan-Mu. Aku bangun sebelum fajar menyingsing, lalu berseru memohon pertolongan; aku menyandarkan harapan kepada firman-Mu. Aku bercekang mata sepanjang malam, supaya dapat merenung janji-Mu.