MAZMUR 119:57-112
MAZMUR 119:57-112 Alkitab Berita Baik (BM)
Hanya Engkau yang aku inginkan, ya TUHAN; aku berjanji untuk mematuhi hukum-Mu. Dengan sepenuh hati aku meminta kepada-Mu; kasihanilah aku menurut janji-Mu. Aku telah memikirkan kelakuanku, dan berjanji akan menurut peraturan-Mu. Aku bergegas-gegas dan tidak membuang masa untuk melakukan perintah-Mu. Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melupakan Taurat-Mu. Pada tengah malam aku bangun untuk memuji Engkau, kerana ketetapan-Mu adil. Aku bersahabat dengan semua orang yang taat kepada-Mu, semua orang yang mematuhi hukum-Mu. Ya TUHAN, bumi penuh dengan kasih-Mu yang kekal; ajarlah aku perintah-Mu. Engkau telah menepati janji-Mu, ya TUHAN, dan Engkau baik hati kepadaku, hamba-Mu. Berilah aku kebijaksanaan dan pengetahuan, kerana aku percaya kepada perintah-Mu. Sebelum Engkau menghukum aku, aku sering melanggar perintah-Mu, tetapi kini aku mematuhi firman-Mu. Engkau sungguh baik dan perbuatan-Mu baik; ajarlah aku perintah-Mu. Orang sombong memfitnah aku, tetapi dengan sepenuh hati aku mematuhi peraturan-Mu. Mereka tidak mempunyai pengertian, tetapi Taurat-Mu menyenangkan hatiku. Memang baik Engkau menghukum aku, supaya aku memahami perintah-Mu. Bagiku, Taurat-Mu lebih berharga daripada segala kekayaan di dunia. Engkau mencipta dan membentuk aku; berilah aku pengertian untuk memahami hukum-Mu. Orang yang menghormati Engkau akan bergembira apabila melihat aku, kerana aku percaya kepada janji-Mu. Aku tahu bahawa ketetapan-Mu adil, ya TUHAN, dan Engkau menghukum aku kerana Engkau setia. Semoga kasih-Mu yang kekal menghiburkan aku, menurut janji-Mu kepadaku, hamba-Mu. Kasihanilah aku, lalu aku akan hidup, kerana aku gemar akan Taurat-Mu. Biarlah orang sombong dipermalukan kerana menuduh aku, tetapi aku akan merenungkan peraturan-Mu. Semoga orang yang menghormati Engkau datang kepadaku, semua orang yang mengenal perintah-Mu. Semoga aku mentaati segala perintah-Mu, supaya aku tidak dipermalukan. Ya TUHAN, aku lelah menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku; aku percaya akan janji-Mu. Mataku penat menanti-nantikan apa yang Engkau janjikan, sementara aku bertanya, “Bilakah Engkau akan menolong aku?” Aku seperti kirbat wain yang sudah dibuang, namun aku tidak melupakan perintah-Mu. Sampai bilakah aku mesti menunggu? Bilakah Engkau menghukum mereka yang menganiaya aku? Orang sombong yang tidak mematuhi Taurat-Mu sudah menggali lubang untuk memerangkap aku. Semua perintah-Mu dapat dipercayai; tolonglah aku kerana orang menganiaya aku dengan dusta! Mereka hampir berjaya membunuh aku, tetapi aku tidak mengabaikan perintah-Mu. Semoga Engkau baik hati kepadaku kerana kasih-Mu yang kekal, supaya aku dapat mentaati hukum-Mu. Ya TUHAN, firman-Mu kekal selama-lamanya; firman-Mu kekal abadi di syurga. Engkau tetap setia selama-lamanya, Engkau telah menempatkan bumi, dan bumi tetap ada. Demi perintah-Mu segala sesuatu tetap ada sampai sekarang, kerana semuanya hamba-Mu. Sekiranya Taurat-Mu bukan sumber kegembiraanku, pasti aku sudah mati kerana kesengsaraanku. Aku tidak sekali-kali akan melalaikan peraturan-Mu, kerana dengan peraturan itu Engkau memelihara nyawaku. Selamatkanlah aku kerana aku kepunyaan-Mu; aku telah berusaha untuk mentaati perintah-Mu. Orang jahat tertunggu-tunggu hendak membunuh aku, tetapi aku akan merenungkan hukum-Mu. Aku sedar bahawa segala-galanya mempunyai batas; hanya perintah-Mu yang sempurna. Aku sangat mencintai Taurat-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari. Perintah-Mu selalu bersama-sama aku, dan menjadikan aku lebih bijak daripada semua musuhku. Pengertianku melebihi pengertian semua guruku, kerana aku merenungkan peraturan-Mu. Aku lebih bijak daripada orang tua, kerana aku mentaati perintah-Mu. Aku mengelakkan segala kelakuan jahat, kerana aku mahu mematuhi firman-Mu. Aku tidak melalaikan peraturan-Mu, kerana Engkaulah yang mengajar aku. Betapa manisnya peraturan-Mu; lebih manis daripada madu! Aku mendapat kebijaksanaan daripada hukum-Mu, oleh itu aku membenci segala kelakuan buruk. Firman-Mu itu pelita yang memimpin aku, dan cahaya yang menerangi jalanku. Aku akan menepati janji yang aku buat dengan sumpah, untuk mentaati peraturan-Mu yang adil. Penderitaanku sungguh berat, ya TUHAN; selamatkanlah nyawaku menurut janji-Mu. Terimalah doa kesyukuranku, ya TUHAN, dan ajarlah aku perintah-Mu. Aku selalu sedia mempertaruhkan nyawaku; aku tidak melupakan Taurat-Mu. Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melanggar perintah-Mu. Perintah-Mu adalah pusakaku selama-lamanya; perintah-Mu adalah kesukaan hatiku. Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati hukum-Mu sehingga akhir hidupku.
MAZMUR 119:57-112 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Engkaulah yang ada padaku, ya TUHAN; aku telah berjanji untuk mematuhi firman-Mu. Aku memohon keredaan-Mu dengan sepenuh hatiku; kasihanilah aku menurut firman-Mu. Aku memikirkan gerak-geriku lalu aku melangkah ke arah peraturan-Mu. Aku bertindak segera, aku tidak berlengah-lengah mematuhi perintah-perintah-Mu. Tali orang zalim telah mengikatku, tetapi aku tidak melupakan hukum-Mu. Pada tengah malam aku akan bangun untuk mengucap syukur kepada-Mu kerana hukum-hukum-Mu yang benar. Aku teman kepada semua yang takut kepada-Mu, dan mereka yang mematuhi ajaran-ajaran-Mu. Bumi ini, ya TUHAN, penuh dengan kasih-Mu; ajarlah aku ketetapan-Mu. Engkau telah memperlakukan hamba-Mu dengan baik, Ya TUHAN, menurut firman-Mu. Ajarlah aku pengetahuan dan pertimbangan yang baik, kerana aku percaya kepada perintah-perintah-Mu. Sebelum aku ditimpa kesusahan, aku menyeleweng, tetapi sekarang aku mematuhi firman-Mu. Engkau baik, dan berbuat baik; ajarlah aku ketetapan-Mu. Orang yang sombong telah berbuat dusta tentangku, tetapi aku akan mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan sepenuh hatiku. Hati mereka setebal lemak, tetapi aku bahagia dengan hukum-Mu. Kesusahan yang menimpaku baik bagiku kerananya aku mempelajari ketetapan-Mu. Hukum yang Kaufirmankan lebih baik bagiku daripada ribuan keping wang emas dan perak. Tangan-Mu telah menciptaku dan membentukku; berilah aku pengertian supaya aku dapat mempelajari perintah-perintah-Mu. Mereka yang takut kepada-Mu akan bersukacita apabila melihatku, kerana aku telah menyandarkan harapan kepada firman-Mu. Aku tahu, ya TUHAN, bahawa hukum-hukum-Mu benar, dan kerana kesetiaan-Mu Engkau telah menimpakan kesusahan ke atasku. Aku berdoa, biarlah kasih setia-Mu melipurkan aku, menurut janji-Mu kepada hamba-Mu. Limpahkanlah belas kasih-Mu kepadaku supaya aku dapat hidup, kerana hukum-Mu bahagiaku. Biarlah orang yang sombong menanggung malu kerana mereka telah menzalimiku dengan fitnah; tetapi aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu. Biarlah mereka yang takut kepada-Mu berpaling kepadaku, mereka yang mengetahui peraturan-Mu. Biarlah hatiku tidak bercela terhadap ketetapan-Mu, supaya aku tidak menanggung malu. Jiwaku lesu merindui penyelamatan-Mu, tetapi kusandarkan harapan kepada firman-Mu. Mataku kabur mencari firman-Mu; dan aku berkata, “Bilakah Engkau akan melipurkan aku?” Kerana aku telah menjadi seperti kirbat yang diasapi, namun aku tidak melupakan ketetapan-Mu. Berapa lamakah hamba-Mu akan menunggu? Bilakah Engkau akan menghukum mereka yang menganiaya aku? Orang yang sombong telah menggali lubang untukku, ini tidak menurut hukum-Mu. Semua perintah-Mu benar; mereka bersalah menganiaya aku; tolonglah aku. Mereka hampir menamatkan riwayatku di bumi ini, tetapi aku tidak meninggalkan ajaran-ajaran-Mu. Pulihkan aku dengan kasih sayang-Mu, supaya aku mematuhi peraturan yang Kaufirmankan. Untuk selama-lamanya, ya TUHAN; firman-Mu bertapak di syurga. Kesetiaan-Mu kekal zaman-berzaman; Engkau mengasaskan bumi dan ia tetap ada. Segalanya berterusan hari ini menurut peraturan-Mu, kerana semuanya hamba-Mu. Kalaulah tidak kerana hukum-Mu bahagiaku, tentulah aku binasa menanggung penderitaan. Aku tidak akan melupakan ajaran-ajaran-Mu selama-lamanya, kerana dengannya Engkau telah memberiku hidup. Aku milik-Mu, selamatkanlah aku; kerana aku telah mencari ajaran-ajaran-Mu. Orang zalim menantiku untuk memusnahkanku, tetapi aku akan memikirkan peraturan-Mu. Aku telah melihat kemuncak segala kesempurnaan; tetapi perintah-Mu maha luas. Oh, betapa kucintai hukum-Mu! Aku merenungnya sepanjang hari. Engkau, melalui perintah-perintah-Mu, menjadikan aku lebih bijaksana daripada musuhku, kerana perintah-perintah-Mu sentiasa bersamaku. Aku mempunyai pengertian yang lebih dalam daripada semua guruku, kerana peraturan-Mu menjadi renunganku. Aku mengerti lebih daripada penatuaku, kerana aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu. Aku telah mengawal kakiku daripada setiap jalan kejahatan supaya aku dapat mematuhi firman-Mu. Aku tidak menyimpang daripada hukum-hukum-Mu, kerana Engkau sendiri telah mengajarku. Betapa manisnya kata-kata-Mu bagiku, lebih manis daripada madu bagi lidahku! Melalui ajaran-ajaran-Mu aku mendapat pengertian; oleh itu, aku membenci setiap jalan yang palsu. Firman-Mu lampu bagi kakiku dan cahaya bagi jalanku. Aku telah bersumpah dan menegaskan, bahawa aku akan mematuhi hukum-hukum-Mu yang benar. Aku menanggung kesusahan yang amat berat; pulihkanlah aku, ya TUHAN, menurut firman-Mu. Aku berdoa, terimalah puji-pujianku yang kupersembahkan dengan sepenuh kerelaan, ya TUHAN, dan ajarlah aku hukum-hukum-Mu. Nyawaku sentiasa terancam, namun aku tidak melupakan hukum-Mu. Orang zalim telah memasang jerat untukku, namun aku tidak menyimpang daripada ajaran-ajaran-Mu. Peraturan-Mu telah kuambil sebagai warisan selama-lamanya; kerana ia menggembirakan hatiku. Aku telah mencenderungkan hatiku untuk menjalankan ketetapan-Mu selama-lamanya, hingga ke akhir.