MAZMUR 22:19-31 - Bandingkan Semua Versi
MAZMUR 22:19-31 BM (Alkitab Berita Baik)
mereka membahagi-bahagikan pakaianku dan membuang undi untuk jubahku. Ya TUHAN, janganlah jauhkan diri daripadaku, cepatlah datang untuk menolong aku. Selamatkanlah aku daripada pedang; selamatkanlah aku daripada cengkaman anjing. Aku tidak berdaya, lepaskanlah aku dari tanduk kerbau dan dari mulut singa. Aku akan memberitahu rakyatku tentang perbuatan-Mu; dalam perhimpunan mereka aku akan memuji-Mu. Pujilah Dia, hai hamba-hamba TUHAN! Hormatilah Dia, hai keturunan Yakub; sembahlah Dia, hai umat Israel! Dia tidak memandang hina kepada orang tertindas ataupun mengabaikan penderitaan mereka; Dia tidak menjauhkan diri-Nya daripada mereka, tetapi mendengar apabila mereka meminta pertolongan-Nya. Dalam perhimpunan besar umat-Mu, aku akan memuji Engkau kerana segala yang telah Engkau lakukan; di hadapan semua orang yang menyembah Engkau aku akan mempersembahkan korban yang aku janjikan. Orang miskin akan makan dengan puas hati; mereka yang datang kepada TUHAN akan memuji Dia. Semoga mereka makmur selama-lamanya! Semua bangsa akan mengingat TUHAN dan kembali kepada-Nya; semua suku bangsa akan menyembah Dia. TUHAN itulah raja dan Dia memerintah semua bangsa. Semua orang yang sombong akan sujud kepada-Nya; semua insan akan berlutut di hadapan-Nya. Keturunan yang akan datang juga akan berbakti kepada-Nya; manusia akan menceritakan Tuhan kepada keturunan mereka.
MAZMUR 22:19-31 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Tetapi Engkau, ya TUHAN, janganlah jauh daripadaku; ya TUHAN kekuatanku, segeralah datang menolongku. Selamatkan aku daripada pedang, dan nyawaku yang satu-satunya daripada cengkaman anjing. Selamatkan aku daripada mulut singa; dan daripada tanduk lembu liar. Aku akan mengisytiharkan nama-Mu kepada saudara-saudaraku; di tengah-tengah perhimpunan aku akan memuji-Mu. Kamu yang takut akan TUHAN, pujilah Dia! Semua kamu zuriat Yakub, muliakan TUHAN! Dan takutilah Dia, semua kamu anak cucu Israel! Kerana Dia tidak menghina atau menjijikkan derita orang yang menderita; dan Dia tidak menyembunyikan wajah-Nya daripada dia. Apabila dia berseru kepada-Nya, Dia mendengar. Pujian-pujian aku untuk-Mu kelak di perhimpunan besar; aku akan menunaikan sumpahku di hadapan mereka yang takut akan Dia. Orang miskin akan makan sehingga puas; mereka yang mencari TUHAN akan memuji-Nya — semoga hatimu hidup selama-lamanya! Setiap pelosok dunia akan ingat dan berpaling kepada TUHAN, dan semua kaum bangsa akan menyembah-Mu, kerana kerajaan milik TUHAN dan Dia memerintah segala bangsa. Semua orang yang makmur di bumi akan berjamu dan menyembah TUHAN; semua yang turun ke debu akan tunduk kepada-Nya — termasuk yang tidak dapat memelihara nyawa sendiri. Orang kemudian akan melayani-Nya; perihal Tuhan akan disampaikan kepada keturunan akan datang. Mereka akan datang mengisytiharkan perbuatan-Nya yang benar kepada bangsa yang akan lahir — bahawa Dia telah melakukan ini.