MAZMUR 27:4-9
MAZMUR 27:4-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku telah memohon satu perkara kepada TUHAN; hanya satu sahaja yang aku minta; untuk tinggal di dalam Rumah TUHAN sepanjang hidupku, untuk menyaksikan segala kebaikan-Nya, dan meminta bimbingan-Nya. Pada masa kesusahan Dia akan melindungi aku; Dia akan menjaga aku supaya selamat di dalam Rumah-Nya, dan menempatkan aku di atas gunung batu. Maka aku akan mengalahkan semua musuh di sekelilingku. Dengan sorakan gembira aku akan mempersembahkan korban di dalam Rumah-Nya; aku akan menyanyi dan memuji TUHAN. Dengarlah aku, ya TUHAN, apabila aku berseru kepada-Mu. Kasihanilah aku dan jawablah aku! Hatiku berkata, “Marilah menyembah Dia.” Aku segera datang, ya TUHAN; janganlah sembunyikan diri-Mu daripadaku.
MAZMUR 27:4-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Satu perkara yang kuingini daripada TUHAN, akan kupohonkan: semoga aku akan tinggal di dalam rumah TUHAN seumur hidupku, melihat keindahan TUHAN dan merenung di dalam rumah suci-Nya. Kerana pada waktu kesusahan Dia akan menyembunyikan aku di astaka-Nya; di ruang rahsia khemah-Nya Dia akan menyembunyikan aku. Dia akan mengangkatku ke atas batu pejal. Dan sekarang kepalaku diangkat tinggi di atas musuh sekelilingku; maka aku akan mempersembahkan korban dengan sorak-sorai kegembiraan di khemah-Nya; aku akan menyanyi, ya, aku akan menyanyi memuji TUHAN. Dengarlah, ya TUHAN, apabila suaraku berseru; dan kasihanilah aku, serta sahut seruanku. Hatiku berkata tentang-Mu, “Carilah wajah-Nya!” Wajah-Mu, ya TUHAN, akan kucari. Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku, jangan singkirkan hamba-Mu dengan murka; Engkau telah menolongku. Jangan pergi daripadaku, jangan tinggalkan aku, ya Allah Penyelamatku.