MAZMUR 4:1-8
MAZMUR 4:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Dengan iringan kecapi. Mazmur Daud. Jawablah apabila aku berseru, ya Allah, Pembelaku! Ketika aku susah dahulu, Engkau datang menolong aku. Sekarang kasihanilah aku, dan dengarlah doaku! Hai manusia, berapa lamakah kamu akan menghina aku? Berapa lama lagi kamu akan mencintai yang tidak berguna itu, dan mengejar yang palsu? Ingatlah bahawa TUHAN telah memilih orang yang taat kepada-Nya sebagai milik-Nya, dan Dia mendengar ketika aku berseru kepada-Nya. Ketika kamu marah, jangan berdosa. Renungkanlah hal itu sambil berdiam diri, sewaktu kamu berbaring di tempat tidur. Persembahkanlah korban yang benar dan percayalah kepada TUHAN. Banyak orang berdoa, “Berilah kami berkat yang lebih, ya TUHAN. Semoga Engkau berkenan kepada kami.” Engkau membuat hatiku lebih girang daripada orang yang kelimpahan makanan dan minuman.
MAZMUR 4:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Jawablah apabila aku berseru kepada-Mu, Ya Allahku yang benar. Kurangkan penderitaanku; kasihanilah aku dan dengar doaku. Berapa lamakah, hai manusia, kamu akan terus menjadikan kemuliaanku satu keaiban? Berapa lamakah kamu akan mencintai bayangan maya dan mencari tuhan-tuhan palsu? Sela Ketahuilah, TUHAN telah memilih orang yang warak untuk diri-Nya; TUHAN akan mendengar apabila aku berseru kepada-Nya. Apabila kamu marah, janganlah sampai melakukan dosa; ketika di tempat tidurmu, sorotilah hatimu dalam senyap sepi. Sela Persembahkan korban-korban yang benar dan percayalah kepada TUHAN. Ramai yang bertanya, “Siapa dapat menunjukkan kita kebaikan?” Sinari kami dengan cahaya wajah-Mu, ya TUHAN. Engkau telah memenuhi hatiku dengan kegembiraan lebih daripada ketika biji-bijian dan air anggur baru mereka mewah melimpah. Aku akan berbaring dan tidur dalam sejahtera, kerana hanya Engkau, ya TUHAN, membolehkan aku tinggal dengan selamat.