MAZMUR 7:1-17

MAZMUR 7:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Ratapan Daud, yang dinyanyikan kepada TUHAN kerana Kus, orang Benyamin itu. Ya TUHAN, Allahku, aku berlindung kepada-Mu; selamatkanlah dan lepaskanlah aku daripada semua orang yang memburu aku. Jangan biarkan mereka seperti singa yang menerkam dan menyeret aku ke tempat yang tiada seorang pun dapat menyelamatkan aku. Ya TUHAN, Allahku, jika aku pernah berbuat jahat, jika aku mengkhianati sahabat, atau melakukan keganasan terhadap musuh tanpa sebab, biarlah musuhku memburu dan menangkap aku, lalu membunuh dan meninggalkan aku dalam debu! Bangkitlah dengan kemurkaan-Mu, ya TUHAN, dan tentanglah keganasan musuh-musuhku! Bangkitlah dan tolonglah aku, kerana keadilanlah yang Engkau tuntut. Himpunkanlah bangsa-bangsa di sekeliling-Mu, dan perintahlah mereka dari takhta-Mu di syurga. Engkaulah yang menghakimi semua manusia. Berilah aku keadilan, ya TUHAN, kerana aku tidak bersalah. Hentikanlah kejahatan orang durjana, dan berikanlah pahala kepada orang yang baik, kerana Engkau Allah yang adil, Engkau menyelami hati dan fikiran. Pelindungku ialah Allah; Dia menyelamatkan mereka yang mentaati-Nya. Allah ialah hakim yang adil, yang sentiasa menghukum mereka yang jahat. Jika kelakuan mereka tidak berubah, Allah akan mengasah pedang-Nya. Dia menyiapkan dan melengkungkan busur-Nya; Dia mengambil senjata-Nya yang berbahaya dan melancarkan anak panah-Nya yang bernyala. Lihatlah cara orang jahat memikirkan kejahatan; mereka merancangkan kekacauan dan melakukan penipuan. Mereka memasang perangkap untuk orang lain, tetapi mereka sendiri jatuh ke dalamnya. Demikianlah mereka terhukum oleh kejahatan sendiri, dan tercedera oleh keganasan mereka sendiri.

MAZMUR 7:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ya TUHAN, ya Allahku, pada-Mu aku bernaung; selamatkan dan lepaskan aku daripada semua yang memburuku, jangan biarkan mereka mengoyak-ngoyakkanku seperti singa dan mencarik-carikku tanpa sesiapa melepaskanku. Ya TUHAN, ya Allahku, jika aku telah melakukan ini dan tanganku bergelumang dosa — jika aku telah berbuat jahat kepada orang yang baik denganku atau tanpa sebab aku telah merampas milik musuhku — maka biarlah musuhku memburu dan menangkapku; biar dia melanyak nyawaku ke tanah dan membuatku tidur dalam debu. Sela Bangkitlah, ya TUHAN, dalam kemarahan-Mu; bangkit melawan keberangan para musuhku. Jagalah, ya TUHAN; firmankan keadilan. Biarlah perhimpunan jemaah umat mengelilingi-Mu. Perintahlah mereka dari tempat-Mu yang tinggi; biar TUHAN menghakimi segala umat. Hakimi aku, ya TUHAN, berasaskan perbenaranku, berasaskan keikhlasanku, Ya TUHAN Maha Tinggi. Ya Allah yang benar, yang menyoroti fikiran dan hati, tamatkan keganasan orang zalim dan pastikan keselamatan orang yang benar. Perisaiku Allah Maha Tinggi, yang menyelamatkan orang tulus. Allah hakim yang benar, Allah menunjukkan kemurkaan-Nya setiap hari. Jika manusia tidak bertaubat, Dia akan mengasah pedang-Nya; Dia akan memasang panah-Nya. Dia telah menyiapkan senjata-senjata-Nya yang membawa maut; Dia menyediakan anak-anak panah-Nya yang menyala. Orang yang menghamilkan kejahatan dan membenihkan kekacauan akan melahirkan kekecewaan. Orang yang menggali lubang akan jatuh ke dalam lubang yang digalinya. Kekacauan yang disebabkannya akan memantul ke atas dirinya; keganasannya menimpa kepalanya sendiri. Aku akan bersyukur kepada TUHAN kerana apa yang dilakukan-Nya adalah benar dan akan menyanyikan pujian bagi nama TUHAN Maha Tinggi.