MAZMUR 84:1-12
MAZMUR 84:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Gitit. Mazmur puak Korah. Betapa indahnya Rumah-Mu, ya TUHAN Yang Maha Kuasa! Aku sangat ingin diam di sana. Aku sangat rindu tinggal di Rumah TUHAN. Dengan sepenuh hati, aku bernyanyi dengan gembira kepada Allah yang hidup. Bahkan burung pipit pun membuat sarang, dan burung layang-layang mempunyai tempat kediaman; anak-anak burung diletakkan dekat mazbah-Mu, ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Rajaku dan Allahku. Betapa bahagianya mereka yang tinggal di Rumah-Mu, mereka sentiasa menyanyikan pujian kepada-Mu. Berbahagialah mereka yang mendapat kekuatan daripada-Mu, dan yang berhasrat menziarahi Bukit Sion. Sedang mereka melalui lembah Baka yang kering, lembah itu pun menjadi tempat yang bermata air; hujan awal memenuhi kolam-kolamnya. Kekuatan mereka semakin bertambah; mereka akan menghadap Allah di Bukit Sion. Dengarlah doaku, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa; dengarlah, ya Allah Yakub. Berkatilah raja kami, ya Allah, raja yang telah Engkau pilih. Lebih baik sehari di dalam Rumah-Mu daripada seribu hari di tempat lain; aku lebih gemar berdiri di pintu Rumah Allahku daripada tinggal di rumah orang jahat. TUHAN pelindung dan raja mulia kita, Dia memberkati kita dengan kebaikan dan kehormatan. Dia tidak menahan apa-apa yang baik daripada mereka yang hidup tidak bercela.
MAZMUR 84:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Betapa indahnya khemah-Mu, Ya TUHAN Yang Maha Kuasa! Jiwaku ingin, ya rindu, akan pekarangan TUHAN; hatiku dan jasadku berseru kepada Allah yang hidup. Sedangkan burung pipit ada tempat kediamannya, dan burung layang-layang ada sarangnya sendiri, tempat dia meletakkan anak-anaknya — malah juga mazbah-Mu, ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Rajaku dan Allahku. Diberkatilah mereka yang tinggal di rumah-Mu; mereka berterusan memuji-Mu. Sela Diberkatilah orang yang kekuatannya dalam-Mu, yang hatinya tertumpu kepada perjalanan suci. Ketika mereka melalui Lembah Baca, mereka menjadikannya mata air; hujan pula memenuhinya dengan kolam. Mereka mencapai kekuatan demi kekuatan, setiap orang tiba di hadapan Allah di Sion. Ya TUHAN, Allah alam semesta, perhatikanlah doaku; dengarlah, ya Allah Yakub. Sela Ya Allah, lihatlah perisai kami; dan pandanglah wajah orang yang telah Kauurapi. Kerana satu hari di dalam rumah-Mu lebih baik daripada seribu di tempat lain; aku rela menjadi penjaga pintu di Rumah Allahku daripada tinggal di khemah orang zalim. Kerana Allah TUHAN ialah matahari dan perisai; TUHAN akan memberi kasih kurnia dan kemuliaan; tiada kebaikan yang tidak dilimpahkan-Nya kepada mereka yang hidup tulus. Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, diberkatilah orang yang percaya kepada-Mu.