MAZMUR 9:1-12
MAZMUR 9:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Menurut lagu Mut-Laben. Mazmur Daud. Aku akan memuji Engkau dengan segenap hatiku, TUHAN, dan menceritakan segala keajaiban yang telah Engkau lakukan. Aku akan menyanyi dengan riang kerana Engkau, dan menyanyikan pujian kepada-Mu, Yang Maha Tinggi. Ketika Engkau muncul, musuhku berpatah balik; mereka jatuh tersandung lalu mati. Engkau memerintah sebagai hakim yang adil, dan Engkau telah membela perkaraku. Engkau telah menghukum bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu, dan membinasakan orang jahat; mereka tidak akan dikenang lagi. Musuh kami lenyap selama-lamanya; Engkau telah memusnahkan kota-kota mereka, dan mereka dilupakan sama sekali. Tetapi TUHAN memerintah selama-lamanya; Dia mendirikan takhta-Nya untuk menghakimi dunia. Dia memerintah dunia dengan adil, dan menghakimi rakyat dengan saksama. TUHAN adalah pernaungan bagi orang yang ditindas, tempat perlindungan pada masa kesusahan. Mereka yang mengenal Engkau yakin kepada-Mu, ya TUHAN; sesiapa pun yang datang kepada-Mu tidak Kautinggalkan. Pujilah TUHAN yang memerintah di Sion! Beritakanlah perbuatan-Nya kepada setiap bangsa!
MAZMUR 9:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku akan memuji-Mu, ya TUHAN, dengan sepenuh hatiku; aku akan menceritakan segala keajaiban yang Kaulakukan, Aku akan girang bergembira dalam-Mu; aku akan menyanyikan pujian untuk nama-Mu, Ya TUHAN Maha Tinggi. Apabila musuhku berpatah balik; mereka akan jatuh dan musnah di hadirat-Mu. Kerana Engkau telah menegakkan hak dan perjuanganku; Engkau bertakhta, dan menghakimi dengan adil. Engkau telah memurkai bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu dan membinasakan orang zalim; Engkau telah menghapuskan nama mereka selama-lamanya. Musuh telah musnah dalam kehancuran selama-lamanya, Engkau telah membinasakan kota-kota; sehingga luput daripada kenangan. Namun TUHAN akan kekal selama-lamanya; Dia telah menyediakan takhta-Nya untuk penghakiman. Dia akan menghakimi dunia dengan adil; Dia akan menghakimi manusia dengan saksama. TUHAN tempat bernaung bagi orang yang ditindas, tempat perlindungan pada waktu kesusahan. Dan mereka yang mengenal nama-Mu akan percaya kepada-Mu, kerana Engkau, ya TUHAN, tidak mengabaikan sesiapa yang mencari-Mu. Nyanyikanlah pujian kepada TUHAN yang bertakhta di Sion; isytiharkan perbuatan-Nya kepada semua bangsa. Dia mengingati mereka apabila Dia membalas kekejaman orang yang menumpahkan darah; Dia tidak melupakan rintihan mereka yang menderita.