MAZMUR 91:1-16
MAZMUR 91:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Orang yang berlindung kepada Yang Maha Tinggi, orang yang tinggal di bawah naungan Yang Maha Kuasa, dapat berkata kepada-Nya, “Engkaulah pembelaku dan pelindungku. Engkaulah Allahku; aku percaya kepada-Mu.” Dia akan melindungi engkau daripada segala bahaya tersembunyi, dan daripada segala penyakit yang membawa maut. Dia akan menaungi engkau dengan sayap-Nya; engkau akan selamat dalam pemeliharaan-Nya; kesetiaan-Nya akan melindungi dan membela engkau. Engkau tidak usah takut akan bahaya pada waktu malam, atau serangan mengejut pada waktu siang, atau wabak yang menyerang pada waktu gelap, atau kehancuran yang menimpa pada tengah hari. Seribu orang mungkin jatuh mati di sisimu, sepuluh ribu orang di sekelilingmu, tetapi engkau tidak akan cedera. Engkau akan memandang di sekelilingmu dan melihat orang jahat dihukum. Engkau menjadikan TUHAN pembelamu, Yang Maha Tinggi pelindungmu, oleh itu engkau tidak akan kena bencana, rumahmu tidak akan ditimpa malapetaka. Allah akan memerintah malaikat-Nya menjaga engkau, untuk melindungi engkau ke mana-mana engkau pergi. Mereka akan menyambut engkau dengan tangan, supaya kakimu tidak terhantuk pada batu. Engkau akan memijak-mijak ular dan singa, singa yang buas dan ular yang berbisa. Firman Allah, “Orang yang mengasihi Aku akan Kuselamatkan, orang yang mengakui Aku sebagai TUHAN akan Kupeliharakan. Apabila mereka berseru kepada-Ku, Aku akan menjawab mereka. Apabila mereka dalam kesusahan, Aku akan menolong mereka. Aku akan menyelamatkan serta menghormati mereka. Aku akan memberikan umur panjang kepada mereka, Aku akan menyelamatkan mereka.”
MAZMUR 91:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sesiapa yang tinggal di tempat rahsia Yang Maha Tinggi akan menetap di bawah bayang-bayang Yang Maha Kuasa. Aku akan berkata tentang TUHAN, “Dialah penaungku dan bentengku, Allahku, akan kupercaya kepada-Nya.” Sesungguhnya, Dia akan melepaskan kamu daripada jerat pemikat dan wabak yang berbahaya. Dia akan melitupimu dengan bulu-Nya, dan di bawah sayap-Nya kamu akan bernaung; kesetiaan-Nya akan menjadi perisai dan peneguhmu. Engkau tidak akan takut kepada sesuatu yang ngeri sewaktu malam, atau anak panah yang meluru sewaktu siang, atau wabak yang merayap dalam kegelapan, atau kemusnahan yang melanda pada waktu tengah hari. Seribu orang mungkin rebah di sisimu, dan sepuluh ribu di sebelah kananmu, tetapi maut tidak akan mendekatimu. Hanya dengan matamu kamu akan memandang dan melihat balasan kepada orang zalim. Kerana engkau telah menjadikan TUHAN tempat engkau menetap — Yang Maha Tinggi tempat aku bernaung — kejahatan tidak akan menimpamu, dan wabak tidak akan mendekati tempat tinggalmu. Kerana Dia akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya menjagamu untuk memeliharamu walau di mana kamu berada. Mereka akan menatangmu, supaya kakimu tidak tersandung batu. Engkau akan memijak singa dan ular tedung; singa muda dan ular berbisa akan kaulanyak di bawah kaki. “Kerana dia telah menumpukan kasihnya kepada-Ku, maka Aku akan melepaskannya; Aku akan meletakkannya di tempat tinggi, kerana dia mengetahui nama-Ku. Dia akan berseru kepada-Ku, dan Aku akan menjawabnya; Aku akan menyertainya ketika dia dalam kesusahan, dan Aku akan melepaskannya dan memberinya penghormatan. Dengan umur yang panjang Aku akan memberinya kepuasan dan menunjukkannya penyelamatan-Ku.”