ROMA 7:14-19
ROMA 7:14-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Kita tahu bahawa Taurat berasal daripada Roh Allah; tetapi aku ini hanya manusia yang dijual sebagai hamba kepada dosa. Aku tidak memahami perbuatanku sendiri. Perkara-perkara yang ingin aku lakukan, tidak aku lakukan; tetapi perkara-perkara yang aku benci, itulah yang aku lakukan. Apabila aku melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan keinginanku, hal itu bererti aku mengakui bahawa Taurat itu baik. Oleh itu sebenarnya bukan aku yang melakukan perkara-perkara itu, tetapi dosa yang menguasai diriku. Aku tahu bahawa tidak ada sesuatu pun yang baik dalam diriku, ataupun dalam tabiatku sebagai manusia. Hal itu demikian kerana walaupun ada padaku keinginan untuk berbuat baik, tetapi aku tidak dapat melakukannya. Aku tidak melakukan perkara baik yang ingin aku lakukan, sebaliknya aku melakukan perkara jahat yang tidak ingin aku lakukan.
ROMA 7:14-19 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Kŭrna kita tŭlah mŭngtahui, adapun tauret itu deri pada rohani adanya, tŭtapi kaadaanku ini deripada hawa nafsu sahja sudah tŭrjual kŭbawah kwasa dosa. Adapun pŭrkara yang aku buat itu tiada kupŭrkŭnankan dia, kŭrna pŭrkara yang kuhandak, tiada kupŭrbuat, mŭlainkan kupŭrbuat pŭrkara yang kubŭnchi juga. Jikalau kupŭrbuat pŭrkara yang tiada kusukai akan dia, maka mŭngakulah aku tauret itu bŭnar adanya. Maka skarang pun bukannya aku yang bŭrbuat pŭrkara itu, mŭlainkan dosa yang ada diam dalamku bŭrbuat itu. Kŭrna tŭlah kukŭtahui, bahwa dalam diriku, iya itu dalam nafsu tubohku, tiada barang apa yang baik, kŭrna niat itu adalah sŭdia padaku; tŭtapi bagimanakah mŭmbuat pŭrkara yang baik itu tiadalah aku dapati. Kŭrna baik yang aku kahandaki itu tiada aku bŭrbuat, tŭtapi jahat yang tiada kukahandaki itulah kupŭrbuat.
ROMA 7:14-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kita tahu bahawa hukum bersifat rohani; tetapi aku tidak bersifat rohani, aku telah dijual sebagai hamba kepada dosa. Aku tidak mengerti apa yang kulakukan. Apa yang kuhendaki, tidak kulakukan, sebaliknya aku melakukan apa yang kubenci. Dan jika aku melakukan apa yang tidak mahu kulakukan, aku setuju bahawa hukum itu baik. Nyatalah bahawa bukan aku yang melakukannya, tetapi dosa yang hidup dalam diriku. Aku tahu bahawa tidak ada sesuatu yang baik dalam hidup diriku, iaitu dalam sifat tabiiku yang berdosa. Kerana aku hendak melakukan apa yang baik, tetapi aku tidak mampu melaksanakannya. Kerana yang kulakukan bukanlah kebaikan yang hendak kulakukan; tidak, kejahatan yang tidak hendak kulakukan — itulah yang kulakukan terus-menerus.