ROMA 8:18-30
ROMA 8:18-30 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada pendapatku, segala penderitaan yang kita alami sekarang tidak dapat dibandingkan dengan kemuliaan yang akan ditunjukkan kepada kita. Dengan penuh kerinduan, alam semesta menanti-nantikan masanya Allah menunjukkan anak-anak-Nya. Alam semesta sudah dibiarkan menjadi sia-sia, bukan kerana kehendak sendiri, tetapi kerana Allah menetapkannya demikian. Meskipun demikian ada juga harapan bahawa pada suatu hari alam semesta akan dibebaskan daripada kuasa yang menghancurkannya, lalu menikmati kebebasan dan kemuliaan dengan anak-anak Allah. Kita tahu bahawa sehingga saat ini alam semesta merintih kesakitan seperti kesakitan yang dialami wanita yang bersalin. Bukan sahaja alam semesta yang merintih, tetapi kita juga merintih dalam batin. Kita yang sudah menerima Roh Allah sebagai kurnia Allah yang pertama, pun masih menunggu masanya Allah menjadikan kita anak-anak-Nya dan membebaskan diri kita seluruhnya. Kerana dengan berharap, kita diselamatkan. Tetapi jika kita boleh melihat apa yang kita harapkan, maka hal itu bukan lagi harapan. Siapakah mengharapkan sesuatu yang sudah dilihatnya? Tetapi jika kita mengharapkan sesuatu yang belum kita lihat, kita menunggu dengan sabar. Begitu juga Roh Allah datang menolong kita yang lemah ini. Kita tidak tahu bagaimana kita patut berdoa; Roh itu sendiri bermohon kepada Allah dengan erangan yang tidak dapat diutarakan dengan kata-kata. Allah yang mengetahui isi hati manusia, mengerti apa yang dimaksudkan oleh Roh itu, kerana Roh itu bermohon kepada Allah bagi umat-Nya, sesuai dengan kehendak Allah. Kita tahu bahawa Allah mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia dan yang sudah dipanggil-Nya sesuai dengan rancangan-Nya. Mereka yang sudah dipilih oleh Allah, juga telah ditetapkan-Nya dari dahulu supaya menjadi seperti Anak-Nya, Yesus Kristus. Dengan demikian Anak itu menjadi yang pertama antara banyak saudara. Begitulah Allah memanggil mereka yang telah ditetapkan-Nya dari dahulu; Allah membolehkan mereka yang dipanggil-Nya itu berbaik semula dengan Dia, dan Allah memberikan sebahagian daripada kemuliaan-Nya kepada mereka yang dibolehkan-Nya berbaik semula dengan Dia.
ROMA 8:18-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Kŭrna pada sangkaku, adapun sŭngsara yang ada pada masa ini tiadalah layak dibandingkan dŭngan kŭmuliaan yang akan dinyatakan pada kita itu. Kŭrna harap dŭngan yakin deripada makhlok itu mŭnantikan kŭnyataan sagala kanak kanak Allah. Kŭrna makhlok itu tŭlah ta’loklah kapada sia sia adanya, bukannya dŭngan sŭngajanya, mŭlainkan tŭrsŭbab ulih Tuhan yang tŭlah mŭna’lokkan iya kapada harap itu. Kŭrna makhlok itu sŭndirinya pun akan dilŭpaskan deripada tawanan kabinasaan itu masok kapada kŭmuliaan bibas kanak kanak Allah. Kŭrna kita tŭlah mŭngtahui, bahwa sagala makhlok itu mŭngŭrang dan kŭloh kŭsah dalam kŭsakitan bŭrsama sama sampielah skarang ini. Dan bukannya marika itu sahja, mŭlainkan diri kita pun yang tŭlah mŭndapat buah bungaran sulong roh itu, kita sŭndiri pun mŭngŭrang dalam diri kita sŭndiri, sŭrta mŭnantikan akan diangkat anak, iya itu tŭbusan tuboh kita. Kŭrna kita dipliharakan ulih sŭbab harap, tŭtapi harap yang klihatan itu bukannya harap; kŭrna barang yang dilihat ulih manusia itu, mŭngapakah diharapkan lagi? Tŭtapi jikalau harap akan pŭrkara yang tiada kita lihat itu, maka tŭtkala itulah kita mŭnantikan dia itu dŭngan sabar. Dan dŭmkian lagi Roh itu pun mŭnulong akan kalŭmahan kita, kŭrna tiada kita kŭtahui apakah yang handak kita bŭrdoa dŭngan spatutnya, mŭlainkan Roh itu sŭndiri mŭmohonkan akan ganti kita dŭngan mŭngŭrang yang tiada dapat dibunyikan. Adapun Tuhan yang mŭnyŭlidek akan sagala hati itu, dikŭtahuinyalah akan kahandak Roh itu, sŭbab iya tulong mŭmohonkan kŭrna orang orang suchi itu spŭrti yang dikahandaki Allah. Maka kami mŭngtahui, bahwa sagala pŭrkara bŭkŭrja bŭrsama sama akan mŭndatangkan kŭbajikan kapada orang orang yang mŭngasihi Allah, iyaani kapada marika itu yang tŭlah dipileh itu sŭkŭdar kahandak Allah. Adapun orang yang tŭlah dikŭtahui tŭrdahulu itu, maka marika itulah ditakdirkannya akan mŭnjadi sŭrupa tauladan anaknya, supaya iya mŭnjadi anak sulong diantara saudara saudara yang banyak itu. Tambahan pula orang yang tŭlah ditakdirkannya itu, maka iyalah juga yang dipileh; maka orang orang yang dipilehnya itu, maka iyalah juga yang dibŭnarkannya, dan orang yang dibŭnarkannya itulah juga dipŭrmuliakannya.
ROMA 8:18-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku menganggap bahawa penderitaan kita sekarang terlalu kecil untuk dibandingkan dengan kemuliaan yang akan dinyatakan kepada kita. Seluruh ciptaan menanti-nantikan saatnya Allah menyerlahkan anak-anak-Nya. Kerana seluruh ciptaan telah ditundukkan dalam kebuntuan, bukan dengan pilihannya sendiri, tetapi dengan kehendak Dia yang telah menundukkannya, dengan harapan bahawa ciptaan itu sendiri akan dibebaskan daripada belenggu kemusnahan dan dibawa ke dalam kebebasan penuh kemuliaan anak-anak Allah. Kita tahu bahawa sampai ke saat ini seluruh ciptaan mengerang bagaikan sakit melahirkan anak. Lebih daripada itu, kita sendiri yang mendapat buah pertama Roh Allah, turut mengerang dalam batin sambil menanti-nantikan pengangkatan sebagai anak, iaitu penebusan tubuh kita. Melalui harapan ini, kita telah diselamatkan. Tetapi harapan yang dilihat bukanlah harapan. Siapa yang mengharapkan apa yang sudah ada padanya? Sebaliknya, jika kita mengharapkan apa yang belum ada pada kita, maka kita menantikannya dengan sabar. Demikian jugalah, Roh menolong kita dalam kelemahan kita. Kita tidak tahu apa yang patut kita doakan, tetapi Roh itu sendiri berdoa syafaat untuk kita dengan rintihan yang tidak dapat disampaikan melalui kata-kata. Dan Dia yang menyoroti hati kita tahu akan fikiran Roh, kerana Roh berdoa syafaat bagi pihak orang yang salih menurut kehendak Allah. Dan kita tahu bahawa dalam semua hal Allah bekerja untuk kebaikan orang yang mengasihi-Nya, yang telah dipanggil menurut rancangan-Nya. Kerana dari mulanya dahulu Allah telah menentukan mereka yang dipilih-Nya supaya menjadi selaras dengan rupa Anak-Nya, maka Anak itu merupakan yang sulung di antara saudara yang ramai. Dan orang yang ditentukan Allah dari mulanya dahulu dipanggil-Nya; orang yang dipanggil-Nya itu diperbenar-Nya; orang yang diperbenar-Nya itu dipermulia-Nya pula.