YouVersion Logo
Search Icon

Yesaya 10

10
1Malangnya mereka yang membuat ketetapan-ketetapan yang jahat
dan para jurutulis yang menuliskan kezaliman
2untuk menjauhkan fakir miskin daripada mendapat keadilan
serta merampas hak orang yang tertindas antara umat-Ku,
supaya mereka dapat menjarah balu
dan merampas harta anak yatim.
3Apa yang akan kamu lakukan pada hari penghukuman,
pada waktu kebinasaan datang dari jauh?
Kepada siapa kamu hendak berlari meminta tolong,
dan di mana kamu hendak meninggalkan kekayaanmu?
4Tak ada yang dapat dilakukan selain meringkuk antara tahanan
atau tewas antara orang yang terbunuh.
Meskipun semua ini terjadi,
belum juga murka-Nya surut,
dan tangan-Nya masih tetap terhulur.
Tentang bencana yang akan menimpa Asyur
5 # Yes 14:24-27; Nah 1:1—3:19; Zef 2:13-15. Malangnya Asyur, rotan amarah-Ku!
Tongkat di tangannya ialah murka-Ku!
6Aku mengutusnya kepada bangsa yang munafik.
Aku memerintahkannya melawan umat yang Kumurkai,
untuk melakukan penjarahan dan mengadakan perampasan,
serta menginjak-injak mereka seperti lumpur di jalan.
7Tetapi rupanya bukan demikian niatnya dan bukan demikian rancangan hatinya.
Hatinya malah berniat memusnahkan dan melenyapkan banyak bangsa.
8Dia berkata,
“Bukankah kesemua panglimaku itu raja?
9Bukankah Kalno sama seperti Karkemis?
Bukankah Hamat sama seperti Arpad?
Bukankah Samaria sama seperti Damsyik?
10Sebagaimana tanganku telah menjangkau kerajaan para berhala,
padahal patung-patung ukirannya melebihi patung-patung di Yerusalem dan Samaria,
11tidakkah demikian juga akan kulakukan terhadap Yerusalem dan berhala-berhalanya,
seperti yang kulakukan terhadap Samaria dan berhala-berhalanya?
12Jadi, apabila Tuhan telah menyelesaikan segala pekerjaan-Nya di Gunung Sion dan di Yerusalem, Dia akan menghukum raja Asyur atas kesombongan hatinya dan atas sikapnya yang angkuh.”
13Dia berkata:
“Aku telah melakukannya dengan kekuatan tanganku
dan dengan kebijaksanaanku, kerana aku memiliki pengertian.
Aku memindahkan batas bangsa-bangsa
dan menjarah perbendaharaan mereka.
Dengan perkasa telah kuturunkan orang yang duduk di atas takhta.
14Tanganku menjangkau kekayaan suku-suku bangsa seperti menjangkau sarang burung.
Seperti orang meraup telur-telur yang ditinggalkan induknya,
demikianlah aku meraup seluruh bumi.
Tidak ada yang mengepak-ngepakkan sayap,
yang membuka paruh untuk mencicit-cicit.”
15Masakan kapak memegahkan diri terhadap orang yang mengayunkannya?
Masakan gergaji membesarkan diri terhadap orang yang menggerakkannya?
Seolah-olah rotan menggerakkan orang yang mengangkatnya,
seolah-olah tongkat mengangkat orang, yang tentu bukan kayu!
16Itulah sebabnya Tuhan, ALLAH alam semesta,
akan menjadikan kurus orangnya yang tegap,
dan di bawah kemuliaannya suatu kobaran akan dinyalakan,
seperti api yang menyala-nyala.
17Cahaya Israel akan menjadi api,
Allahnya Yang Maha Suci akan menjadi nyala api.
Api itu akan membakar dan melahap duri dan onaknya dalam sehari sahaja.
18Dan Dia akan menghabiskan kelimpahan hutan Asyur dan ladangnya yang subur, jiwa ataupun jasad,
sehingga ia menjadi seperti orang sakit yang terus kian lemah sampai binasa.
19Sisa pokok hutannya akan berjumlah sedikit sahaja
sehingga seorang anak pun dapat mencatatnya.
Saki-baki Israel diselamatkan
20Pada waktu itu saki-baki umat Israel
dan orang yang terselamat daripada kalangan keturunan kaum Yakub
tidak akan bersandar lagi kepada dia yang mengalahkan mereka,
tetapi dengan sungguh-sungguh akan bersandar kepada TUHAN Yang Maha Suci, Allah Israel.
21Ada satu saki-baki yang akan kembali,
iaitu saki-baki keturunan Yakub,
kepada Allah yang perkasa.
22 # Rm 9:27. Sekalipun pendudukmu, wahai Israel,
sebanyak pasir di laut,
hanya segelintir bakinya yang akan kembali.
Kebinasaan telah ditentukan,
dan daripadanya kebenaran meluap-luap.
23Sungguh, kesudahan yang telah ditentukan
akan dilaksanakan dengan muktamad oleh Tuhan, ALLAH alam semesta, di seluruh bumi.
24Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan, ALLAH alam semesta,
“Wahai umat-Ku yang tinggal di Sion,
jangan takut kepada orang Asyur
apabila mereka memukul kamu dengan rotan
dan mengangkat tongkat mereka melawan kamu, seperti yang dilakukan orang Mesir dahulu.
25Kerana tinggal sebentar sahaja murka-Ku akan berakhir
dan amarah-Ku akan ditujukan untuk menghancurkan mereka.”
26TUHAN alam semesta, akan mendatangkan cemeti terhadap mereka,
seperti pada waktu orang Midian ditumbangkan di batuan Oreb.
Tongkat-Nya akan diangkat ke atas laut seperti di Mesir dahulu.
27Pada waktu itu, beban mereka akan disingkirkan daripada bahumu
dan kuk mereka dari tengkukmu.
Kuk itu akan musnah kerana kegemukanmu.
Orang Asyur maju menyerang
28Asyur telah memasuki Ayat, melalui Migron.
Disimpannya barang-barangnya di Mikhmas.
29Mereka melintasi tempat penyeberangan dan berkata,
“Geba ialah tempat kita bermalam.”
Rama gementar, penduduk Gibea-Saul melarikan diri.
30Memekiklah dengan nyaring,
wahai puteri Galim!
Perhatikanlah, wahai Laisha!
Anatot yang malang!
31Warga Madmenah melarikan diri,
penduduk Gebim mencari perlindungan.
32Hari ini juga Asyur akan berhenti di Nob.
Dia akan mengacung-acungkan tinjunya
kepada gunung puteri Sion, iaitu bukit Yerusalem.
33Sesungguhnya, Tuhan, ALLAH alam semesta,
akan memotong dahan-dahan pokok dengan kekuatan yang dahsyat.
Yang berukuran tinggi akan ditebang
dan yang menjulang akan direndahkan.
34Dia akan menebas belukar hutan dengan kapak besi,
dan Lebanon pun akan tumbang oleh Yang Maha Kuasa.

Currently Selected:

Yesaya 10: AVB

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

Video for Yesaya 10