1 YOHANES 2
2
Kristus Penolong Kita
1Anak-anakku, aku menulis surat ini kepada kamu, supaya kamu tidak berdosa. Tetapi jika seseorang berdosa, kita mempunyai seorang pembela, iaitu Yesus Kristus yang adil. Dia akan memohon bagi kita di hadapan Bapa. 2Melalui Kristuslah dosa kita diampunkan, dan bukannya dosa kita sahaja, tetapi juga dosa semua orang.
3Jika kita taat kepada perintah Allah, itulah tandanya kita mengenal Dia. 4Jika seseorang berkata, “Aku mengenal Allah,” tetapi tidak taat kepada perintah-Nya, orang seperti itu pendusta. Allah tidak ada di dalam hatinya. 5Tetapi sesiapa taat kepada firman-Nya, orang itu mengasihi Allah dengan sempurna. Itulah tandanya kita hidup bersatu dengan Allah. 6Sesiapa berkata bahawa dia hidup bersatu dengan Allah, orang itu harus hidup mengikut jejak Kristus.
Perintah yang Baru
7 Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Perintah yang aku tulis ini bukanlah suatu perintah yang baru. Perintah ini perintah lama, yang telah kamu terima sejak kamu percaya kepada Kristus. Perintah lama ini berita daripada Allah yang sudah kamu dengar. 8Walaupun demikian, perintah yang aku tulis ini baru juga, kerana kebenarannya nyata pada diri Kristus dan juga pada diri kamu. Hal ini demikian kerana kegelapan hampir berlalu, dan cahaya yang sejati mula bersinar.
9Sesiapa berkata bahawa dia hidup dalam cahaya tetapi membenci saudaranya, orang itu masih hidup dalam kegelapan sehingga saat ini. 10Sesiapa yang mengasihi saudaranya, hidup dalam cahaya sehingga tiada suatu pun pada dirinya yang akan menyebabkan orang lain berdosa. 11Tetapi sesiapa membenci saudaranya, orang itu hidup dalam kegelapan. Dia berjalan dalam kegelapan, dan tidak tahu ke mana dia pergi, kerana kegelapan itu sudah membutakan dia.
12Anak-anakku, aku menulis kepada kamu, kerana dosa kamu sudah diampunkan demi Kristus. 13Bapa-bapa, aku menulis kepada kamu, kerana kamu kenal akan Dia yang telah ada sejak permulaan. Aku menulis kepada kamu, orang muda, kerana kamu sudah mengalahkan Iblis.
14Anak-anakku, aku menulis kepada kamu kerana kamu kenal akan Allah Bapa. Aku menulis kepada kamu, bapa-bapa, kerana kamu kenal akan Dia yang telah ada sejak permulaan. Aku menulis kepada kamu, orang muda, kerana kamu teguh hati. Kamu menyimpan firman Allah di dalam hati, dan kamu sudah mengalahkan Iblis.
15Janganlah kasihi dunia ini, atau segala sesuatu di dunia ini. Jika kamu mengasihi dunia ini, kamu tidak mengasihi Allah Bapa. 16Segala sesuatu di dunia ini, iaitu yang diingini oleh keinginan hati orang berdosa, dan yang dilihat lalu dikehendaki, serta yang dibangga-banggakan, semuanya tidak berasal daripada Bapa, tetapi dari dunia. 17Dunia dan segala sesuatu di dunia yang diingini oleh manusia tidak kekal. Tetapi orang yang melakukan kehendak Allah, akan hidup selama-lamanya.
Musuh Kristus
18Anak-anakku, akhir zaman sudah dekat! Kamu diberitahu bahawa Musuh Kristus akan datang. Sekarang banyak orang yang memusuhi Kristus telah muncul. Oleh itu kita tahu bahawa akhir zaman sudah dekat. 19Musuh-musuh Kristus itu sebenarnya tidak termasuk dalam golongan kita, itulah sebabnya mereka meninggalkan kita. Jika mereka termasuk dalam golongan kita, tentu mereka tetap bersama-sama kita. Tetapi mereka meninggalkan kita, supaya nyata bahawa tidak seorang pun antara mereka yang benar-benar termasuk dalam golongan kita.
20Tetapi kamu sudah menerima Roh Allah yang dicurahkan oleh Kristus. Itulah sebabnya kamu semua mengenal ajaran yang benar. 21Aku menulis kepada kamu, bukan kerana kamu tidak mengenal ajaran yang benar; tetapi justeru kerana kamu mengenalnya. Kamu juga tahu bahawa tidak ada dusta dalam ajaran yang benar itu.
22Sesiapa berkata bahawa Yesus bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, orang itu pendusta. Orang seperti itu Musuh Kristus; orang itu tidak mengakui Bapa mahupun Anak. 23Sesiapa yang tidak mengakui Anak, juga tidak mengakui Bapa. Sesiapa yang menyambut Anak, menyambut Bapa juga.
24Oleh itu, perkhabaran yang kamu dengar sejak kamu mula-mula percaya kepada Kristus harus kamu simpan di dalam hati. Jika kamu berpegang kepada perkhabaran itu, kamu akan sentiasa hidup bersatu dengan Anak dan dengan Bapa. 25Inilah yang dijanjikan oleh Kristus sendiri kepada kita: hidup sejati dan kekal.
26Aku menulis surat ini kepada kamu tentang mereka yang berusaha untuk menipu kamu. 27Tetapi bagi kamu, Kristus telah mencurahkan Roh-Nya kepada kamu. Selama Roh-Nya ada pada kamu, kamu tidak memerlukan sesiapa pun untuk mengajar kamu. Hal ini demikian kerana Roh-Nya mengajar kamu tentang segala sesuatu, dan apa yang diajarkan-Nya itu benar, bukan palsu. Oleh itu, taatlah kepada ajaran Roh-Nya, dan tetaplah hidup bersatu dengan Kristus.
28Oleh itu, anak-anakku, tetaplah hidup bersatu dengan Kristus, supaya pada waktu Dia datang, kita dapat menghadap Dia dengan penuh keberanian. Kita tidak perlu bersembunyi kerana malu. 29Kamu tahu bahawa Kristus melakukan kehendak Allah. Oleh itu kamu harus tahu bahawa setiap orang yang melakukan kehendak Allah ialah anak Allah.
Currently Selected:
1 YOHANES 2: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.