1 YOHANES 3
3
Anak-Anak Allah
1 Ketahuilah bahawa Allah Bapa sangat mengasihi kita! Dia amat mengasihi kita, sehingga kita diakui sebagai anak-anak Allah dan memang kita anak-anak Allah. Itulah sebabnya dunia ini tidak mengenal kita, kerana dunia ini tidak mengenal Allah. 2Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Kita sekarang anak-anak Allah, tetapi keadaan kita kelak belum jelas. Tetapi kita tahu bahawa apabila Kristus datang, kita akan menjadi seperti Dia, kerana kita akan melihat Dia dalam keadaan-Nya yang sebenarnya. 3Setiap orang yang mempunyai harapan ini kepada Kristus, menjaga dirinya supaya suci, sebagaimana Kristus pun suci.
4Sesiapa yang berbuat dosa, melanggar hukum Allah, kerana dosa itu pelanggaran terhadap hukum Allah. 5 Kamu tahu bahawa Kristus datang untuk menghapuskan dosa manusia, dan bahawa pada diri-Nya tidak ada dosa. 6Oleh itu, setiap orang yang hidup bersatu dengan Kristus, tidak terus-menerus berbuat dosa. Sesiapa yang terus-menerus berbuat dosa, tidak pernah melihat Kristus ataupun mengenal Dia.
7Anak-anakku, janganlah biarkan sesiapa pun menipu kamu. Sesiapa melakukan kehendak Allah, dia anak Allah, seperti Kristus. 8Sesiapa terus-menerus berbuat dosa, dia anak Iblis, kerana Iblis berdosa sejak permulaan. Justeru untuk hal inilah Anak Allah datang bagi memusnahkan pekerjaan Iblis.
9Sesiapa yang menjadi anak Allah, tidak terus-menerus berbuat dosa kerana sifat Allah sendiri ada padanya. Kerana Allah itu Bapanya, dia tidak dapat terus-menerus berbuat dosa. 10Inilah perbezaan antara anak Allah dengan anak Iblis: Sesiapa tidak melakukan kehendak Allah, atau tidak mengasihi saudaranya, dia bukanlah anak Allah.
Saling Mengasihi
11 Inilah perkhabaran yang kamu dengar sejak permulaan: Kita harus saling mengasihi. 12 Janganlah kita seperti Kain. Dia menjadi anak Iblis dan membunuh adiknya sendiri. Mengapakah Kain membunuh adiknya? Kerana perbuatan yang dilakukannya salah, tetapi perbuatan yang dilakukan adiknya benar.
13Oleh itu, saudara-saudaraku, janganlah hairan jika orang di dunia ini membenci kamu. 14 Kita tahu bahawa kita hidup dan sudah meninggalkan kematian, kerana kita mengasihi saudara-saudara kita. Sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya, masih dikuasai kematian. 15Sesiapa membenci saudaranya, dia pembunuh. Kamu tahu bahawa seorang pembunuh tidak mempunyai hidup sejati dan kekal. 16Dengan jalan ini kita mengetahui cara mengasihi orang lain: Kristus sudah menyerahkan hidup-Nya untuk kita. Oleh itu kita harus menyerahkan hidup kita untuk saudara-saudara kita! 17Jika seorang kaya melihat saudaranya yang miskin memerlukan pertolongan, tetapi tidak mahu menolong saudaranya itu, bagaimanakah dia dapat berkata bahawa dia mengasihi Allah? 18Anak-anakku! Janganlah kita mengasihi hanya dengan kata-kata belaka. Kita harus saling mengasihi dengan kasih yang sejati, yang dibuktikan dengan perbuatan.
Keberanian di Hadapan Allah
19Demikianlah caranya kita tahu bahawa kita tergolong sebagai anak-anak Allah yang benar, dan hati kita tenang di hadapan Allah. 20Jika hati nurani kita menyalahkan kita, maka kita tahu bahawa Allah lebih besar daripada hati nurani kita, dan bahawa Dia mengetahui semuanya. 21Oleh itu, sahabat-sahabat yang aku kasihi, jika hati nurani kita tidak menyalahkan kita, kita dapat menghadap Allah dengan penuh keberanian. 22Kita menerima apa yang kita minta daripada-Nya, kerana kita taat kepada perintah-Nya dan kita melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. 23 Inilah perintah-Nya: Kita harus percaya kepada Anak-Nya, Yesus Kristus, dan kita harus saling mengasihi, seperti yang diperintahkan Kristus kepada kita. 24Sesiapa yang taat kepada perintah Allah, hidup bersatu dengan Allah, dan Allah hidup bersatu dengan dia. Kita tahu bahawa Allah hidup bersatu dengan kita, kerana Dia telah mengurniai kita Roh-Nya.
Currently Selected:
1 YOHANES 3: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.