1 Timotius 3
3
Syarat-syarat bagi penyelia jemaah
1Kata-kata ini benar: Jika seseorang ingin menjadi penyelia jemaah, maka dia ingin akan pekerjaan yang baik. 2#Tit 1:6-9.Seorang penyelia jemaah haruslah tidak bercela. Dia harus beristeri seorang sahaja, mengamalkan kesederhanaan dan penguasaan diri, dihormati, meraikan tetamu dengan tangan terbuka, dan berkebolehan mengajar. 3Dia seharusnya bukan pemabuk, tidak melakukan kekerasan, lemah lembut, bukan kaki gaduh, dan tidak tamak akan wang. 4Dia mesti tahu mengurus rumah tangganya dengan baik dan mendidik anak-anaknya supaya bersikap taat dan hormat. 5(Jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia hendak mengurus jemaah Allah?) 6Dia seharusnya bukan seorang yang baru beriman, takut kalau-kalau dia menjadi sombong dan dikutuk seperti Iblis dahulu. 7Dia mestilah mempunyai nama yang baik dan dihormati oleh orang di luar jemaah, supaya dia tidak dicela dan terjerumus ke dalam perangkap Iblis.
8Penolong jemaah juga haruslah orang yang dihormati, bukan orang yang lidah bercabang, pemabuk atau mengejar keuntungan secara haram. 9Mereka hendaklah berpegang teguh pada rahsia iman dengan hati nurani yang suci. 10Tetapi mereka harus diuji terlebih dahulu dan jika didapati mereka tidak bercela, barulah dijadikan penolong jemaah. 11Begitu juga isteri mereka, mestilah orang yang dihormati, tidak memfitnah orang, mengamalkan kesederhanaan dan penguasaan diri, dan jujur dalam semua hal. 12Setiap penolong jemaah haruslah orang yang hanya beristeri satu dan mendidik anak-anak serta mengurus rumah tangga dengan baik. 13Penolong jemaah yang telah menjalankan tugas dengan baik akan dihormati dan menjadi amat yakin dalam iman dalam Kristus Yesus.
14Aku menuliskan hal-hal ini kepadamu, sungguhpun aku berharap akan dapat mengunjungimu tidak lama lagi. 15Namun demikian, kalau-kalau aku tidak dapat datang dengan cepat, aku menuliskannya supaya engkau tahu bagaimana seharusnya berkelakuan dalam keluarga Allah, iaitu jemaah Allah yang hidup, tiang dan asas kebenaran. 16Tidak dapat dinafikan betapa mulianya rahsia iman:
Dia telah menampakkan diri sebagai manusia,
dinyatakan benar oleh Roh Kudus,
dilihat oleh para malaikat,
dikhabarkan kepada bangsa-bangsa,
dipercayai di seluruh dunia,
dinaikkan dengan kemuliaan.
Terpilih Sekarang Ini:
1 Timotius 3: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited