2 Raja-Raja 7

7
Elisa menjanjikan makanan
1Kata Elisa, “Dengarlah firman TUHAN. TUHAN berfirman begini, ‘Esok, pada waktu seperti ini, satu sukat tepung terbaik dan juga dua sukat barli akan dijual satu syikal di pintu gerbang Samaria.’ ”
2Tetapi perwira pengawal raja berkata kepada hamba Allah itu, “Sekalipun TUHAN membuat tingkap-tingkap di langit, dapatkah hal itu terjadi?”
Jawab Elisa, “Sesungguhnya, engkau akan melihat hal itu dengan matamu sendiri, tetapi engkau tidak akan menikmatinya sedikit pun.”
Larinya pasukan Aram
3Pada waktu itu ada empat orang berpenyakit kusta duduk di depan pintu gerbang. Mereka berkata antara satu sama lain, “Apakah gunanya kita duduk-duduk di sini sampai mati? 4Jika kita berkata, ‘Mari kita masuk ke kota,’ di kota ada bencana kebuluran, dan kita akan mati di sana. Tetapi jika kita tinggal di sini, kita akan mati juga. Sekarang, mari kita mendatangi perkhemahan pasukan Aram. Jika mereka membiarkan kita hidup, maka kita akan hidup. Jika mereka membunuh kita, maka kita akan mati.” 5Maka pergilah mereka pada waktu senja ke tapak perkhemahan orang Aram. Setelah mereka sampai di hujung perkhemahan orang Aram, ternyata tidak ada seorang pun di sana. 6Memang Tuhan telah membuat pasukan Aram mendengar bunyi rata dan bunyi kuda, iaitu bunyi pasukan yang besar, sehingga mereka berkata antara satu sama lain, “Tentu raja Israel telah mengupah raja-raja orang Het dan raja-raja orang Mesir untuk datang melawan kita.” 7Oleh sebab itu mereka segera melarikan diri pada waktu senja. Mereka meninggalkan khemah, kuda, dan keldai mereka serta perkhemahan itu begitu sahaja, lalu melarikan diri demi nyawa mereka.
8Sesampainya orang kusta itu di pinggir perkhemahan, masuklah mereka ke dalam sebuah khemah lalu makan dan minum. Mereka mengangkut dari sana perak, emas, dan pakaian, lalu pergi menyembunyikannya. Kemudian mereka kembali dan masuk ke dalam khemah yang lain, lalu mengangkut juga barang-barang yang ada di sana dan pergi menyembunyikannya. 9Setelah itu, mereka berkata antara satu sama lain, “Perbuatan kita ini tidak baik. Hari ini ada khabar baik, tetapi kita diam sahaja. Jika kita menanti sampai fajar menyingsing, maka hukuman akan menimpa kita. Sekarang, mari kita pergi memberitahu pihak istana raja.” 10Mereka pergi lalu berseru kepada para penjaga pintu gerbang kota dan memberitahukan demikian kepada orang itu, “Kami mendatangi perkhemahan orang Aram. Ternyata tidak ada orang di sana dan tidak terdengar suara manusia. Hanya ada kuda-kuda dan keldai-keldai tertambat, manakala khemah-khemah ditinggalkan begitu sahaja.”
11Kemudian para penjaga pintu gerbang mengumumkan khabar itu hingga sampai ke kalangan istana raja. 12Maka bangunlah raja pada malam hari itu lalu berkata kepada para pegawainya, “Kuberitahukan kepadamu apa yang disiapkan orang Aram itu bagi kita. Mereka tahu bahawa kita ini kelaparan, sebab itu mereka pergi dari perkhemahan untuk bersembunyi di padang sambil berfikir, ‘Apabila orang itu keluar dari kota, kita akan menangkap mereka hidup-hidup, lalu masuk ke dalam kota.’ ”
13Tetapi salah seorang pegawainya menjawab, “Sebaiknya beberapa orang mengambil lima ekor daripada kuda yang tersisa, yang masih tertinggal di dalam kota, kerana sesungguhnya nasib orang Israel yang tersisa di sini akan sama dengan nasib ramai orang Israel yang telah binasa. Jadi, biarlah kita mengutus orang untuk melihat apa yang terjadi.” 14Kemudian mereka mengambil dua buah rata dengan kuda, dan raja menyuruh mereka menyusul pasukan Aram, katanya, “Pergilah dan lihatlah.” 15Mereka pun pergi menyusul orang itu sampai ke Sungai Yordan. Ternyata sepanjang jalan itu penuh dengan pakaian dan kelengkapan yang dibuang oleh orang Aram ketika mereka lari tergopoh-gopoh. Maka para suruhan itu kembali dan memberitahukan hal itu kepada raja. 16Lalu orang ramai pun keluar menjarah perkhemahan orang Aram sehingga satu sukat tepung terbaik dan juga dua sukat barli dijual satu syikal, selaras dengan firman TUHAN.
17Sementara itu perwira yang menjadi pengawal raja diminta raja untuk mengawasi pintu gerbang. Namun demikian, orang ramai menginjak-injak dia di pintu gerbang itu sehingga dia mati, selaras dengan kata-kata yang diucapkan hamba Allah ketika raja datang menemuinya. 18Waktu itu hamba Allah berkata kepada raja, “Esok, pada waktu seperti ini, dua sukat barli dan sesukat tepung terbaik akan dijual satu syikal di pintu gerbang Samaria.” 19Tetapi si perwira berkata kepada hamba Allah itu, “Sekalipun TUHAN membuat tingkap-tingkap di langit, dapatkah hal semacam itu terjadi?” Kata Elisa, “Sesungguhnya, engkau akan melihat hal itu dengan matamu sendiri, tetapi engkau tidak akan menikmatinya sedikit pun.” 20Demikianlah yang terjadi kepada dirinya. Orang ramai menginjak-injak dia di pintu gerbang sehingga dia mati.

Terpilih Sekarang Ini:

2 Raja-Raja 7: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk